Saturday, October 31, 2009

Rancangan jahat UMNO

sumber

Di dalam Sains Politik, konsep Kerajaan Perpaduan adalah merujuk kepada National Unity Government atau kadangkala disebut juga Unity Government. Konsep ini bermaksud kesemua parti politik dalam sesebuah negara bergabung membentuk sebuah kerajaan bersama bagi menghadapi situasi yang mendesak seumpama serangan musuh, bencana alam dan lain-lain. Dengan pengertian lain konsep Kerajaan Perpaduan itu berbeza daripada Kerajaan Campuran (Coalation Government). Dalam sejarah politik moden, pembentukan sesebuah Kerajaan Perpaduan jarang-jarang sekali berlaku, berbeza dengan pembentukan Kerajaan Campuran. Dunia politik hari ini kerapkali menyaksikan pembentukan Kerajaan Campuran terutama di negara-negara yang mengamalkan perwakilan berasaskan peratusan undi. Negara Indonesia merupakan antara contoh negara yang kerapkali menyaksikan pembentukan Kerajaan Campuran mutakhir ini. Gagasan Kerajaan Perpaduan yang dicetuskan oleh Tuan Guru Presiden PAS adalah merujuk kepada keterlibatan semua parti politik di Malaysia demi menghadapi situasi ekonomi global yang merudum. Dalam sebuah ucapannya di Parlimen, beliau menggagaskan perkara tersebut. Ketika gagasan ini dicetuskan UMNO sedang merancang peralihan kuasa daripada Abdullah Badawi kepada Najib Tun Razak. Peralihan kuasa ini seharusnya tidak berlaku ketika negara mula menghadapi kegawatan tersebut. Kemelut politik dalam UMNO sepatutnya tidak mengheret negara dan rakyat untuk menerima apa-apa sahaja kehendak perwakilan UMNO termasuklah menukar taraju kepimpinan ketika negara dalam situasi tidak menentu. Betapa pula, bakal pengganti Abdullah Badawi adalah seorang yang kelihatan tidak bersih daripada pelbagai tuduhan yang dilemparkan kepadanya. Dengan kesedaran itu, Tuan Guru Presiden menyarankkan supaya kepentingan negara dan rakyat diutamakan melalui gagasan Kerajaan Perpaduan. Dengan gagasan tersebut peralihan teraju kepimpinan negara tidak seharusnya berlaku, sebaliknya semua parti politik sama ada dalam PR dan BN bersama-sama membentuk kerajaan demi menghadapi kemelesetan. Sekiranya UMNO tetap meneruskan hasrat mereka menukar Presiden, keputusan ini tidak akan menjejaskan kerajaan, kerana kerajaan didukung oleh semua parti-parti politik. Sekiranya kesemua ahli-ahli Perlimen UMNO tetap mahukan Najib Tun Razak,, Abdullah Badawi masih mendapat sokongan majority dalam Kerajaan Perpaduan tersebut. Sikap UMNO yang ingin memaksakan hasrat mereka ke atas seluruh rakyat Malaysia ketika negara sedang menghadapi kegawatan jelas merupakan satu tindakan tidak patriotik. Kemelut dalaman UMNO tidak seharusnya dipikul oleh negara dan seluruh rakyat. UMNO seperti sebuah parti diktator untuk menentukan perjalanan politik negara secara unilateral. Maka, gagasan Tuan Guru Presiden memberikan satu alternative supaya masalah negara diselesaikan secara perundingan. Bagaimanapun, ketika gagasan itu dicadangkan sebelum Perhimpunan Agung UMNO yang lalu, tiada seorangun pimpinan UMNO yang berminat, jauh sekali untuk mengatakan Presiden PAS seorang yang ikhlas. Tidak ada sokongan padu daripada pihak-pihak lain termasuklah Mufti Perak. Malah ketika itu, UMNO terus mempertahankan pencabulan hak rakyat dan hak parti-parti politik lain melalui rampasan kuasa di Perak. Secara tiba-tiba isu Kerajaan Perpaduan ini dibangkitkan semula oleh media menjelang Muktamar PAS dan berterusan sehingga selepas muktamar. Bukan sekadar itu, konsep Kerajaan Perpaduan itu disempitkan ruang-lingkupnya kepada pembentukan Kerajaan Campuran antara PAS dan BN. Gagasan Tuan Guru Presiden PAS tiada kait-mengait dengan kerjasama dua hala seperti yang difahami oleh UMNO. Namun demikian perkara inilah yang digembar-gemburkan. Tindakan UMNO dan media-media yang pro kepadanya tidak sukar dibaca. Berdasarkan latar belakang bermulanya isu gagasan Kerajaan Perpaduan, jelas sekali sambutan pimpinan UMNO terhadap gagasan tersebut adalah untuk memecahkan PR dan menghakis kepercayaan terhadap pimpinan PAS yang baru dipilih. Tidak dapat dinafikan, fitnah jahat UMNO itu sedikit sebanyak mengeruhkan hubungan baik dalam PR. Bagaimanapun UMNO lupa bahawa para pimpinan PAS seperti Tuann Guru Mursyidul Am dan Tuan Guru Presiden adalah golongan ulama. Mereka bertindak tanpa ada sebarang kepentingan peribadi. Oleh sebab itu, mereka pada bila-bila masa boleh menarik balik pendirian mereka demi kepentingan perjuangan Islam dan menegakkan keadilan. Maka,, apabila Tuan Guru Mursyidul Am menarik balik kenyataannya dan Tuan Guru Presiden bertindak menghentikan cadangan beliau, fitnah jahat UMNO itu mulai tidak berkesan. Seperti ‘biduk lalu kiambang bertaut’ persaudaraan Islam dalam PAS kembali bertaut dan hubungan dalam PR kembali pulih. Kini UMNO terus memainkan isu tersebut dengan sekali lagi cuba menyuburkan politik perkauman. Percakapan mereka tentang perkauman tersebut sekali lagi mencurigakan rakan-rakan mereka dalam BN. MCA mula mempersoalkan, bagaimana kalau mereka pula mengemukakan gagasan kesatuan Cina. Kini fitnah jahat UMNO itu telah ‘makan tuan’.

Persepsi pun kena urus juga

Oleh: Man Bom
sumber

Tuan Azizi,

Pertama sekali, minta maaf banyak-banyaklah kerana kirim surat ini dekat tuan. Tuan tak minta pun, saya yang terlebih hemoi. Tapi saya nak minta tolong dekat tuan. Saya mohon dekat tuan, tolong siarlah surat ini dalam blog tuan. Biar orang-orang Pas, orang-orang yang sokong Pas yang bukan Melayu, macam Ah Seng dan Muthu pun boleh baca.

Saya nak cakap tentang gambaran orang. Depa kata ‘persepsi’ orang terhadap Pas. Apakah kesan persepsi ini dalam PRU13 nanti.

Mai kita buka kamus sikit. Mengikut Kamus Dewan, edisi keempat, 2005 ‘persepsi’ itu “gambaran atau bayangan dalam hati atau fikiran(tentang sesuatu), pandangan (menerusi pancaindera)”.

Itu persepsi. Mai kita tengok satu-satu...

Siapa pengundi kita

Kalaulah kita tanya seorang rakyat Malaysia itu, “Apa pandangan tuan tentang Pas?” Jawapan yang kita terima mungkin bergantung pada ‘persepsi’ orang itu terhadap Pas. Mungkin ‘persepsi’ ini bergantung pada ‘asal usul’ dia. Apakah orang itu:

i) Seorang penyokong kuat Pas yang tak undi yang lain kecuali Pas. Ada orang kata ini ‘hard core’ Paslah. Ada istilah yang lebih teruk lagi: Sang ‘fanatik’ Pas.

ii) Apakah orang itu ‘hard core’ Umno? Jika kita pakai istilah di atas, yang ini si ‘fanatik’ Umno yang karatnya biru.

Kedua-dua kumpulan yang ini, biasanya orang-orang Melayulah.

Lepas itu, ada juga pengundi kita yang datangnya dari kelompok-kelompok macam:

iii) Adakah orang itu bukan Melayu; Cinakah atau pun Indiakah.

iv) Apakah sumber maklumat orang-orang ini, banyakkah atau sikitkah maklumat yang dia ada: Banyak maklumat, rajin membaca, banyak bergaul dengan orang dll.

v) Adakah orang itu tinggal di bandar atau di luar bandar.

Sebagai pengundi orang-orang ini ada persepsi dia sendiri-sendiri. Kecuali untuk golongan yang ‘hard core’ yang selalunya tak berubah, kelompok-kelompok lain mungkin berubah.

Ada benda lain yang kita kena perhati..

Parti lawan pun makan nasi juga

Bila kita nak masuk PRU13 nanti, apakah mood masa itu? Apakah orang-orang Malaysia masih dok kata ‘undilah siapa pun kecuali Umno/BN?’ Mood ini akan berulang lagikah? Apakah kesan 1 Malaysia dan program-program lain yang Tok Jib nak buat menjelang PRU13 tak memukau pengundi, lebih-lebih lagi yang dok atas pagar?

Strategi untuk menang

i) Adakah kita masih dok harap lawan lemah, supaya kita boleh menang?

ii) Adakah kita Pas ni, di mata rakyat, sudah betul-betul nampak macam parti yang dah bersedia untuk perintah Malaysia? Atau kita masih dok serak parau dengan slogan ‘pemerintahan Islam’ hingga berbuih-buih keluar dari kepala (atau mulut?) ulamak kita?

iii) Adakah kita masih dok raba-raba, tercari-cari apakah yang patut kita buat dulu. Macam sembahyanglah mesti tertib, yang dulu didahulukan. Apakah dia keutamaan yang pengundi kita tuntut?

iv) Atau apakah kita juga, macam Umno juga dok syok betul dengan slogan?

Persepsi terhadap Pas di mana saja, on the ground setelah PRU12

Persepsi pengundi terhadap kita: Pas itu parti yang boleh belot bila-bila masa saja

i) Apakah persepsi yang kita ni (baca: Pemimpin besar Paslah) yang nak belot lepas PRU12 dah betul-betul tak akan belot lagi? Kira semua orang dah betul-betul tak ingat lagilah yang kita ni pernah nak belot? Orang dah lupa? Pengundi bukan Melayu dan bukan Islam pun sudah yakin yang Pas ni baik dan takkan main kayu tiga? Susah tu. Macam mana nak tahu yang orang betul-betul yakin? Kata depa bolehkah ‘damage control’ ala sumpah ‘wa tatak buat lagi’, diterima? Ini kes Mongolia yang buat semua orang tak yakin sampai bila-bila.. Nak buat macam mana? Apakah cukup dengan kata, “Dak, sumpah, abang tak buat, percayalah!!” Itu EGMlah yang kena tengok. Biar cuci macam kata iklan; bersih sebersih-bersihnya. Tak boleh? Tuan Azizi, tak boleh begitu?

ii) Apakah kita yakin yang semua jenis pengundi yang bukan hard core Pas telah yakin, cukup-cukup yakinlah yang Pas boleh ini boleh diharap? Atau adakah kita ni, sama macam Umno tak berdaya nak betul-betul mengaku INILAH masalah besar kita sekarang ni? Pemimpin-pemimpin besar kita, macam pemimpin besar Umno juga ada kisah macam Mongolianya sendiri. Mereka pernah mau main kayu tiga.

iii) Apakah kita yakin yang hard core Pas juga tidak meluat yang amat sangat dengan skandal belot yang menyakitkan hati depa ini?

Pas, macam Umno parti untuk Melayu: Islam hanya sebagai pelaris jualan saja

“Pas for all” atau “Pas untuk semua” tak banyak berbeza dengan 1Malaysia atau Islam Hadhari. Ini gimik jualan murah musim raya. Tak betul? Serangan Pas terhadap beer, dok bisu masa tragedi kepala lembu dll contoh perangai kita. Itu belum lagi masuk gian kita dok ligan konsert maksiat. Ah Chong dan Muthu pun dok pening. Awat tak ligan Khir?

Penutup

Tuan

Rasanya ada yang marah dengan tulisan ini. Mungkin ramai yang tuduh tuan ni agen Umno kerana siar tulisan ini di blog tuan. Saya, depa kata pecacai busuk Umno yang dibayar untuk buat fitnah.

Saya rasa para pemimpin kita, pemimpin besar Pas, sebagai ulamak tentu lebih mengetahui. Depa tau, sebab depa ulamak... (Tak boleh diteruskan, nanti dicap menghina..itu dan ini.)

Tuan tahu, apa dia tragedi kita? Kita, sama macam Umno tak terupaya nak urus pandangan yang tak sama. Kita kutuk orang yang tak setuju dengan kita. Saya mengarut? Tak apalah kalau tuan tak setuju. Biarlah kita berbeza pandangan. Saya juga tidak berbeza, sama seperti Umno? Ya, tuan mungkin juga betul. Saya manusia biasa yang makan nasi macam orang-orang Umno, dan tentulah saya bukanlah ulamak.

Tuan,

Tuan tak payah pergi jauh-jauh, tuan tengok gaya pengurusan kita.... termasuk yang ulamak. Tengok macam mana kemelut yang akhir-akhir itu diurus. Ada tikar, ada sampah. Biarlah tuan marah, bagi saya Pas ini tak banyak beza dengan Umno/BN yang selalu tergila-gila nak tubuh jawatankuasa bila ada masalah.

Agak-agak berapa juta jawatankuasa yang dah kita tubuh, sejak merdeka? Pas nak jadi macam tu?

Semua ini fitnah jahat yang dikutuk Tuhan? Nah, itulah sebabnya kita, Pas mesti belajar mengurus: Termasuk nak urus persepsi pengundi untuk PRU13 nanti.
Tak perlu? Lambat lagi?

Itulah sikit pandangan. Terima kasihlah kerana bagi laluan. Lepas ni tuan terimalah peluru depa-depa yang mengamuk!! Ha..haa..

Salam tuan,

Daripada:
Man Bom


Komen:

Saudara Mat Bom,

Rasa berat nak siarkan tulisan anda. Tetapi apabila saya membaca dengan teliti, ada baiknya juga, lebih-lebih lagi jika ini dibaca oleh pemimpin Pas yang kita sayangi. Saya juga sayangi Pas tetapi takkan tidak ada cacat pula.

Salam, azizi abdullah

Thursday, October 29, 2009

Usah gelisah saudaraku

Salam Kamunting,

Lebih 25 tahun kita dalam PAS hidup aman, selesa dan sentosa selepas hadirnya kepimpinan ulama. Sewajibnya kita mensyukurinya. Keselesaan kita itu telah banyak membantu kita untuk membantu masyarakat mengenali kita secara lebih dekat.

Adakah anda menjangkakan Allah tidak akan menguji kita dengan sesuatu yang menggugat kestabilan yang kita kecapi itu? Bahkan, ujian Allah tetap berlaku dan tiada siapa tahu dari daerah mana ujian itu datang. Yang pasti, ujian itu datang untuk menukar keamanan kepada perpecahan.

Dalam aman kita lena terbuai. Dalam kocakan kita sedar dan bersedia. Ertinya, ujian itu penuh hikmah. Allah menginginkan kita untuk tidak lena dan sentiasa berjaga – jaga. Siapa lena di dunia ini, dia tidak akan lena di akhirat nanti.

Semakin ujian itu sukar, semakin besarlah kesannya, baik ataupun buruk. Samada kita keluar daripadanya dengan seribu kebaikan atau jika sebaliknya, dengan seribu keburukan.

Pernahkah anda melihat atau mendengar mengenai perselisihan di antara dua kumpulan dalam agama yang mengelirukan sekali. Ditelan mati anak diluah mati ibu? Apatah di sebelah adalah Ali dan di sebelah lagi adalah Aisyah ( radiaLlahu anhuma ). Ia begitu sukar tetapi siapa dapat menjangka ujian Allah?

Yang penting anda mesti kena selamat. Duduk pada kedudukan yang selamat dan diredhaiNya.

Antaranya,1) Anda mesti ikhlas 2) Anda mesti memohon pembabasan denganNya daripada keburukan fitnah itu 3) Anda mesti adil menilai 4) Anda mesti menjaga adab dengan Allah dan sesama makhluk 5) Anda mesti merujuk kepada sumber yang pertama 6) Anda mesti mendengar daripada semua dan mengambil yang terbaik 7 ) Anda mesti menapis daripada perkhabaran sang fasiq dan munafik 8 ) Anda mesti kepinginkan kesatuan, bukan perpecahan. 9 ) Anda jangan mengambil bahagian atau kacau daun tak tentu pasal 10) Anda jangan berkata dusta, mengejek dan menghuru harakan 11) Anda jangan nak jadi hero.

Diberitakan daripada sumber yang sahih bahawa al Ikhwanul Muslimin di Mesir juga ada kucah dan kacau hari ini. Antara sebabnya adalah dunia blog. Dunia blog hari ini adalah cukup tanpa adab seolah – olah ada lesen daripada ugama untuk tidak berakhlak dalam berblog!

Di mana – mana pun ujian mesti ada dan kena ada. Kerana Allah ada di mana – mana.

Saya melihat sesetengah ahli PAS cukup berani di dalam berblog. Malangnya, mereka hanya berani berbohong, memfitnah dan menyebar semua kata – kata manusia dan peristiwanya. Lebih malang, mereka tidak berani untuk berkata benar, apatah mengakuri pada yang benar.

Jika anda gian sangat nak menulis, menulislah yang kekal baik hingga ke lubang kubur. Yang memberkati anda dan kehidupan manusia.

Adapun isu EGM, saya yakin ianya akan selesai. Ia bukan balah orang jahil. Ia isu orang alim yang disayangi dan yang tidak ingin kecuali kebaikan untuk ummah. Justeru ia mungkin panas di awal, tetapi akan ada penyelesaian selepas ada persefahaman.

Yang payah nak selesai ialah balah orang jahil, payah nak faham apatah nak bersefahaman.

Yang saya takut ialah balah ini sengaja dipanjangkan selepas ianya disurutkan dan diredakan. Saya harap saya dan anda tidak terlibat walaupun saya tak mungkin boleh mengharapkan semua jangan terlibat.

Saya tinggalkan anda dengan sebuah ayat daripada Allah yang maha bijaksana. Hayatinya, ianya sungguh menenangkan.

“Tiadalah terjadi sebarang musibah di bumi dan tiada juga (terjadi) di dalam diri kamu sendiri kecuali ianya telah sedia termaktub di dalam kitab ( di sisi kami ) sebelum Kami lepaskannya. Sesungguhnya itu di sisi Allah adalah teramat mudah. Yang demikian adalah agar kamu tidak berduka cita di atas apa yang telah hilang daripadamu dan kamu tidak pula bersuka ria dengan apa yang kamu perolehi. Allah tidak menyukai setiap orang yang sombong dan bermegah – megah.” al Hadid:22,23

Janganlah terlalu gundah dan janganlah terlalu bersuka ria.

Sumber disini

Nota: Memang hak anda sebagai ahli untuk menyuarakan pandangan namun harus diingat, kewajipan anda sebagai ahli untuk memperkuatkan dan menjaga kehormatan parti. Ingat pesan Ust Idris Ahmad agar bijak menghadapi fitnah media.

PAS S'gor: Siasat pembocor rahsia parti

Malaysia Kini

PAS Selangor hari ini menggesa parti itu turut menyiasat pembocor "rahsia parti" kepada umum, selain isu kerajaan perpaduan yang dikaitkan dengan pesuruhjayanya Datuk Dr Hassan Ali.

Mesyuarat khas jawatankuasa pusat parti itu malam tadi memutuskan PAS Selangor dihadapkan kepada jawatankuasa disiplin berhubung dakwaan Dr Hassan masih terlibat dengan isu tersebut.

Menyokong keputusan mesyuarat khas itu, setiausaha perhubungan PAS negeri Mohd Khairuddin Othman turut mendesak jawatankuasa disiplin menyiasat dan mengambil tindakan terhadap mereka yang membuat tuduhan terhadapnya jika didapati ia tidak benar.

"Seluruh kepimpinan dan ahli PAS negeri bersedia untuk disiasat dan memberikan kerjasama sepenuhnya kepada jawatankuasa disiplin parti.

"Kami menyeru agar siasatan ini dilakukan dengan serta-merta bagi mengembalikan integriti seluruh ahli-ahli PAS di Selangor," katanya dalam satu kenyataan.

"Bagi memulihkan imej parti, PAS Selangor menggesa agar jawatankuasa disiplin parti dapat membuat penyiasatan secara menyeluruh dan membersihkan PAS daripada anasir yang mengganggu-gugat parti seperti mengambil tindakan yang tegas terhadap ahli-ahli yang mendedahkan rahsia parti kepada umum melalui saluran media dan blog."

Tindakan disiplin berhubung isu rundingan PAS-Umno, yang berlarutan lebih setahun sehingga mencetus konflik berpanjangan, dibuat susulan desakan tegas Mursyidul Amnya Datuk Nik Aziz Nik Mat untuk mengadakan muktamar khas.

Menulis di blognya seminggu lalu, tokoh besar PAS itu mendesak sedemikian untuk membincangkan "beberapa kerat pemimpin bermasalah", sehingga membawa kesan kemerosotan undi parti itu, seperti pada pilihan raya Bagan Pinang awal bulan ini.

Selain Dr Hassan, nama-nama yang disebut di Blog Tok Guru yang dianggap bermasalah itu termasuklah Timbalan Presiden PAS Nasharuddin Mat Isa dan Setiausaha Agungnya Datuk Mustafa Ali.


Berikut kenyataan penuh PAS Selangor

PAS Selangor ingin merujuk kepada keputusan mesyuarat khas jawatankuasa kerja PAS pusat pada 28 Oktober 2009 di Pejabat Agung PAS.

Pendirian PAS Selangor adalah seperti berikut:

PAS Selangor mengalu-alukan kesediaan PAS pusat untuk menangani kemelut yang berlaku dalam PAS sebagaimana yang diputuskan dalam mesyuarat khas jawatankuasa kerja PAS pusat pada 28 Oktober 2009.

PAS Selangor juga menyambut baik keputusan untuk menolak EGM (mesyuarat agung khas) dan seterusnya menyelesaikan masalah dalaman melalui siasatan yang dilakukan oleh jawatankuasa disiplin parti.

Seluruh kepimpinan dan ahli PAS negeri Selangor bersedia untuk disiasat dan memberikan kerjasama sepenuhnya kepada jawatankuasa disiplin parti. Kami menyeru agar siasatan ini dilakukan dengan serta-merta bagi mengembalikan integriti seluruh ahli-ahli PAS di negeri Selangor.

Bagi memulihkan imej parti, PAS Selangor menggesa agar jawatankuasa disiplin parti dapat membuat penyiasatan secara menyeluruh dan membersihkan PAS daripada anasir yang mengganggu-gugat PAS seperti mengambil tindakan yang tegas terhadap ahli-ahli yang mendedahkan rahsia parti kepada umum melalui saluran media dan blog.

Bagi meninggikan prinsip-prinsip al-'adalah yang ditetapkan oleh Islam, PAS Selangor ingin menekankan jawatankuasa disiplin parti hendaklah juga menyiasat orang yang membuat tuduhan dan mengambil tindakan yang tegas kepada mereka sekiranya tuduhan tersebut tidak benar kerana mencetuskan suasana yang tidak stabil dalam parti dan seterusnya merosakkan imej parti.

Merujuk kepada beberapa isu yang dibangkitkan, kami ingin menegaskan bahawa ahli-ahli PAS Selangor di semua peringkat telah menyatakan sokongan yang tidak berbelah bahagi kepada pimpinan PAS negeri sebagaimana yang telah diputuskan melalui mesyuarat khas badan perhubungan PAS negeri Selangor yang bertarikh 27 September 2009.

PAS Selangor menyeru kepada semua ahli-ahli parti agar menghormati jawatankuasa disiplin parti di dalam menjalankan tugasnya dengan tidak membicarakan isu ini sehinggalah proses penyiasatan dan pendakwaan selesai.

PAS Selangor seterusnya menyeru kepada ahli-ahli PAS di Selangor agar bertenang dan membiarkan proses siasatan yang dilakukan oleh jawatankuasa disiplin parti selesai sepenuhnya. Semua ahli-ahli PAS di Selangor mestilah menyatakan taat setia yang tidak berbelah bahagi kepada kepimpinan YB Tuan Guru Presiden.

Wednesday, October 28, 2009

PAS adakan seminar ganti muktamar khas

Harakah Daily
Zulkifli Sulong

KUALA LUMPUR, 29 Okt: PAS akan mengadakan satu seminar khas bagi membincangkan halatuju parti itu bagi menggantikann muktamar khas yang dicadangkan oleh Mursyidul Amnya.

Seminar yang bakal disertai oleh lebih 1000 perwakilan dari seluruh negara itu akan diadakan 7 Disember ini di Dewan Datuk Fadzil Noor, Markas Tarbiyah PAS Pusat, Taman Melewar, Kuala Lumpur.

Antara yang akan dijemput memberikan pandangan nanti adalah Profesor Dr Abdul Aziz Bari.

Demikian beritahu Presiden PAS, Datuk Seri Tuan Guru Abdul Hadi Awang dalam sidang medianya jam 1.00 pagi tadi.

Sidang media itu diadakan selepas mesyuarat khas Jawatankuasa Pusat yang diadakan di Pejabat Agung PAS, Jalan Raja Laut.

Selain itu, mesyuarat khas itu juga mengambil ketetapan agar Lembaga Disiplin PAS yang dipimpin oleh Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man menyiasat semua dakwaan terhadap PAS Selangor.

Lembaga ini akan mencadangkan tindakan disiplin kepada mana-mana pihak yang didapati bersalah melanggar disiplin parti.

Dalam sidang media itu juga, Abdul Hadi memaklumkan, isu Kerajaan Perpaduan ditutup sepenuhnya dan tidak akan berbangkit lagi.

Turut serta dalam sidang media selepas mesyuarat berjalan mulai jam 9.00 malam hingga 1.00 pagi itu adalah Naib Presiden, Tuan Ibrahim Tuan Man, Salahudin Ayub, Mahfuz Omar dan Setiausaha Agung, Datuk Mustafa Ali serta Ketua Pemuda, Nasrudin Hassan Tantawi

Terus Gelisah

Dah nak Start

Tapi belum habis lagi

Tungguuuu
Gambar ehsan utara online
Live dri Pejabat Agung PAS disini

Malam Debaran 281009

Malam ini malam gelisah
Terhantuk bendul bagai memberi
Petanda


Aku mesti
Langkah pergi mencari
Penawar jampi
Petua
Penuh sakti

Luar kedinginan
Dalam bahang menyala
Kalaulah ada pilihan
Antara hidup dan mati

Tuesday, October 27, 2009

Kenyataan Media: Ahli PAS Kena Bijak Menghadapi Fitnah Media

Ditulis oleh Ustaz Idris Ahmad

Font size
Parti Islam Se-Malaysia (PAS) mengingatkan setiap ahli agar bijak dalam membaca sebaran berita di internet khususnya dalam blog, facebook dan juga media massa lainnya. Pada waktu ini PAS mendapati semakin banyak tuduhan liar dilontarkan oleh CyberTrooper Umno yang menyamar sebagai ahli PAS atau wakil pimpinan PAS di dalam media alternatif ini.

PAS mendapati mereka mengunakan isu Unity Goverment dan juga cadangan Tuan Guru Datuk Nik Abd Aziz Nik Mat bagi menunjukan bahawa PAS kini berpecah.

Pemimpin Umno seperti Najib Tun Razak, Muhyiddin Yasin dan Zahid Hamidi bersilih ganti menangguk di air keruh dengan memberikan komen seolah-olah PAS kini sedang berpecah yang mana sebahagiannya mengambarkan seperti ada kumpulan dalam PAS yang mahu bergabung dalam Umno, sebahagian lagi mahu Mursyidul Am dan Presiden letak jawatan.

Dalam ucapan Muktamar yang lepas, telah dijelaskan oleh Presiden, Tuan Guru Dato Seri Abdul Hadi Awang, bahawa PAS tiada hasrat untuk bergabung dengan Umno dan isu Unity Goverment tidak berbangkit lagi.

Sehubungan dengan itu, kewujudan fitnah seolah-olah wujudnya pertemuan sulit pimpinan PAS yang Pro Unity Goverment dan Pro-Erdogan wajar difahami ahli sebagai satu gerak kerja saraf Umno untuk memecahkan parti ini kepada dua kelompok. Sesungguhnya tiada sebarang pertemuan sulit yang dilaporkan dan belum ada bukti yang diterima diperingkat kepimpinan PAS tentang kewujudan dua kumpulan ini melainkan individu-individu yang berbeza pandangan dengan pimpinan.

PAS melihat, selain jalan Musyawarah perlu juga Laporan Disiplin dibuat bagi mengesahkan setiap tuduhan yang dibuat untuk memudahkan kita mengetahui asal punca masalah ini.

Lembaga Disiplin PAS juga membuka ruang yang seluas-luasnya terhadap mana-mana pimpinan dan ahli yang mempunyai bukti mengenai fitnah ini atau mereka-mereka yang menyebarkan berita bahawa terdapat segelintir pimpinan PAS sedang berusaha membawa PAS bergabung dengan Umno untuk membuat Laporan Disiplin. Jika ada laporan dan bukti yang sahih kita akan membuat keputusan, walaupun yang didakwa itu Mursyidul Am, Presiden atau mana-mana pemimpin tertinggi parti sekalipun.

PAS yakin kerja-kerja fitnah CyberTrooper Umno dan mereka-mereka yang kononnya menjadi ahli PAS tetapi bekerja untuk Umno akan mati dengan sendirinya jika sebarang Laporan Disiplin gagal dibuat dan tiada sebarang pembuktian diserahkan kepada pihak Lembaga.

PAS meminta ahli bertenang dan tidak membuat sebarang ulasan terbuka mengenai perkara ini dan memberikan ruang kepada pemimpin bermusyawarah bagi mencari punca masalah ini. Gunakanlah saluran yang ada (Lembaga Disiplin) bagi mencari kebenaran dan menguatkan Ukhuwah dalam parti.

Marilah kita bersama-sama melakukan solat hajat moga mereka yang cuba menganiaya parti ini diberikan hidayah oleh Allah untuk menginsafi perbuatan mereka. Kita mohon pada Allah semoga PAS dileraikan dari belenggu fitnah dan perjuangan kita terus mendapat hidayah dariNya.

Ust. Idris Ahmad
Ketua Penerangan PAS Pusa
t

kerja – kerja bodoh dalam pas


Oleh: Nik Abdul Nik Abdul Aziz

sumber disini

Salam Kamunting,

Di meja makan di bahagian dapur di rumah ayahanda yang saya masih kekal tinggal bersama sedari kelahiran dulu, selalulah saya bersembang dengan ayahanda pasal macam – macam hal kehidupan yang biasanya akan panas dan panjang bila ianya berulamkan politik dan perjuangan.

Terbaru saya lontarkan kepadanya hujahan para ulama daripada buku yang saya baca mengenai keabsahan seorang muslim untuk hadir dan turut sama menjawat dan memerintah di dalam sebuah kerajaan yang bukan Islam.

Saya sebutkan kepada ayahanda bagaimana para ulama mengambil bahagian cerita Nabi Yusuf alaihissalam menjawat jawatan sebagai menteri kewangan di dalam sebuah kerajaan syirik Mesir kuno sebagai hujah utama dan vital yang membenarkan penawaran untuk turut membantu pemerintahan bukan negara Islam.

Syarat terpenting yang menjadi pemutus ialah jemputan kepada jawatan itu mestilah dalam kemuliaan dan kekuatan. Mereka meminta dan kita berhak memutus, bukan mereka. Kemudian kita tidak diikat dengan syarat – syarat yang menghalang unsur keadilan Islam untuk ditegakkan. Masuk dengan kemuliaan sebagaimana Nabi Yusuf dijemput untuk turut mempersembahkan kebijaksanaan dan keadilannya ke atas rakyat dalam pemerintahan tersebut.

Saya kemukakan untuk memukaddimahkan perbincangan mengenai kerajaan Pakatan Rakyat dan Unity Government yang dicadangkan sebagai alternatif kepada kerajaan BN hari ini sedang merasai kepedihan dihimpit kemarahan rakyat yang melata.

Saya memberanikan untuk berhujah bahawa samada BN atau Pakatan Rakyat, kedua – duanya bukan daripada jenis negara Islam. Maka menerima kerajaan mana pun, hujahnya ada dan hujah itu terpakai dengan syarat ketat sebagaimana yang digariskan ugama tersebut.

Selamba saja ayahanda memberi komen. “Ya, jika BN mahu kita bersama, mereka mestilah bersedia memberikan kita jawatan – jawatan yang penting yang kita akan laksanakan program Islam di dalamnya. Berikan Kementerian Kewangan dan Kementerian Pendidikan misalnya. Kita nak jadi PM mesti mereka tak terima. Jadi kita minta apa yang penting untuk kepentingan rakyat dan negara. Kita boleh bersama.”

Saya memiliki banyak cerita menarik di sebalik apa yang anda tahu mengenai ayahanda. Komennya di atas bukankah mencetuskan persoalan ini di benak anda, bukankah Tok Guru lantang menolak Unity Government? Bukankah Tok Guru berang dengan cadangan Tuan Guru Hj Hadi ini?

Biar saya bagitahu anda, ayahanda hidup dengan hujah. Itulah makanan berkhasiat yang memanjang dan memberkati umurnya. Bila hujah ugama itu ada, bagaimana ayahanda akan tolak mentah – mentah?

Justeru fahami ini bahawa ‘Unity Government’ yang ditolak ayahanda adalah jenis kerajaan yang difahamkan kepadanya oleh pembantu – pembantu ayahanda yang berpakaian serba tahu. Mereka seronok untuk melaga -lagakan di antara TGNA dan TGHH.

Mereka menyangka mereka telah melakukan kebaikan, sedang telah sesatlah segala usaha mereka di sisi tuhan. Semoga Allah membalasi mereka dengan kejahatan yang mereka lakukan!

Bukankah anda dapat lihat bagaimana semacam ayahanda menghentam ‘kerajaan campuran’ bukan unity Government? Bukankah selepas pertemuan kurang sepuluh mata bersama TGHH, ayahanda tidak lagi menyerang. Ertinya sesuatu yang baru dan meyakinkan telah diperolehinya daripada TGHH. Itulah yang disembunyikan secara sengaja daripadanya.

Di mana pergi pembantu – pembantu ayahanda yang sesat pekerjaan mereka itu di sisi tuhan!? Semoga Allah melaga- lagakan di antara mereka pula di dunia ini agar mereka segera bertaubat!

Modus Operandinya sama. Selepas pertemuan ayahanda dengan ulama PAS di JKR 10 beberapa bulan lepas, ayahanda menerima muzakarah atau muqabalah selepas bermatian menolaknya. Saya diberitahu daripada sumber yang diyakini, sesetengah pembantu ayahanda ini menyumpah seranah kerana kegagalan mereka mengekalkan ayahanda dalam suasana keruh dan panas dengan TGHH. Mereka gagal selepas mereka yakin berjaya. Allah menggagalkan usaha jahat mereka.

Ayahanda seorang yang hebat. Antara kehebatannya adalah ‘husnuzhan’ dengan semua orang. Semua orang boleh hidup di sekelilingnya. Pembantu, pengampu, pencacai dan sesiapa pun. Tolak babi dan anjing! Tuhan membalas atas pekerjaan masing – masing.

Adapun penghormatan ayahanda terhadap TGHH, maka ia adalah penghormatan yang gagal diperolehi kecuali oleh para ulama. Ayahanda sering memuji TGHH. Saya pernah mendengarnya menakjubi ucapan TGHH di Parlimen yang dibacanya di dalam Harakah sedang masa itu suasana panas isu muzakarah masih memuncak. Sesetengah pembantu ayahanda merasa iri dan hasad selepas penghormatan itu gagal menempati diri mereka.

Bagaimana mereka akan memperolehinya, sedang mereka hanya belajar ugama sekadar ‘mi celup’, lalu mendakwa mereka pun ulama juga dengan istilah – istilah ugama yang dihafal, bukan difaqihi?

Dunia ulama adalah penuh disiplin. Taqwa adalah disiplin terbaik. Taqwa adalah milik ulama, bukan milik orang yang mengaku ulama atau ulama mini sekali pun. Kita tidak mampu merebutinya kerana ia adalah kurniaan khas daripada Allah. Kita hanya mampu meminta daripadaNya.

Menghampiri proses pemilihan menjelang Muktamar PAS nanti, anda sedang menyaksikan usaha daripada pelbagai sudut dan penjuru, jauh dan dekat oleh sesetengah yang mungkin saja saya sifatkan sebagai sekumpulan ‘pejuang nafsu’ yang tersusun untuk memisahkan di antara ulama yang disayangi rakyat.

Ayahanda digunakan. Inilah calon restuan Tuan Guru Nik Abdul Aziz! Inilah calon restuan Kelantan!Bukankah sebelum ayahanda berangkat ke Mekah, beliau secara jelas mengumumkan untuk tidak berpihak dan menyatakan keenggananya bersuara, bimbang ia mengganggu emosi ahli PAS di dalam kebebasan memilih?

Di mana adab? Di mana kesetiaan? Di mana sifat malu?

Masihkah anda mahu hanyut dalam dunia politik yang kotor hatta dalam PAS? Jika begitu, sayalah musuh anda!

Sunday, October 25, 2009

PAS panggil mesyuarat khas JK Rabu ini


Harakah Daily

KUALA LUMPUR, 26 Okt: PAS akan memanggil satu mesyuarat khas Jawatankuasa PAS Pusat Rabu ini bagi membincangkan cadangan Mursyidul Am, Tuan Guru Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat agar diadakan satu mesyuarat agung luar biasa.

Setiausaha Agung PAS, Datuk Mustafa Ali dalam sidang medianya berkata, mesyuarat itu akan diadakan jam 8.30 malam, Rabu ini di Pejabat PAS, Jalan Raja Laut, dekat sini.

"Mesyuarat insyaAllah akan diadakan pada 28 haribulan ini, hari Rabu malam," katanya.

Surat jemputan untuk mesyuarat ini akan dikeluarkan segera oleh beliau.

Mustafa berkata, beliau mendapat arahan dari Presiden PAS, Datuk Seri Tuan Guru Abdul Hadi Awang agar memanggil mesyuarat khas itu.

"Beliau (presiden) telah mengarahkan saya supaya mencari satu tarikh yang sesuai untuk mengadakan mesyuarat khas jawatankuasa pusat dalam waktu terdekat," katanya lagi.

Mesyuarat ini yang akan dihadiri oleh pimpinan pas pusat dan pesuruhjaya setiap negeri itu katanya, akan membuat keputusan tindakan yang akan dibuat selepas ini.

"Jadi apa-apa yang berkait kita akan bincang dalam mesyuarat pusat nanti," katanya.

Nik Aziz akan hadir sebagai pesuruhjaya Kelantan dan jemputan khas bagi membolehkan ahli mesyuarat mendengar sendiri penjelasan beliau berhubung cadangan dalam blognya agar diadakan satu muktamar agung khas.

Menjawab soalan pemberita mengenai cadangan mengadakan muktamar khas, beliau berkata mengikut perlembagaan PAS, mesyuarat agung luar biasa hanya boleh diadakan mengikut tiga cara.

Ia boleh dilakukan apabila ada arahan daripada presiden parti, ada permintaan bersurat satu pertiga daripada ahli jawatankuasa pusat, atau permintaan bertulis satu pertiga daripada PAS kawasan-kawasan.

Semalam, Naib Presiden, Salahuddin Ayub selepas mengadakan pertemuan dengan Nik Aziz di Kota Bharu memberitahu, mesyuarat agung luar biasa tidak akan diadakan kerana Nik Aziz sendiri mencadangkan ianya ditukar kepada mesyuarat khas.

Ditanya sama ada cadangan Nik Aziz itu berkait dengan beberapa pemimpin yang dikatakan pro kerajaan perpaduan, beliau berkata isu itu tidak lagi berbangkit kerana ianya telah diputuskan dalam muktamar Jun lalu.

"Saya pernah buat kenyataan dulu, masalah kerjasama dengan Umno sudah tutup buku. Ia satu keputusan yang dibuat oleh pimpinan dalam muktamar sendiri," katanya.

su Dalaman Parti Islam SeMalaysia (PAS)


Dengan Nama Allah Yang Maha Pemurah Lagi Maha Penyayang.

PAS adalah merupakan sebuah organisasi siyasah, dakwah dan tarbiyah yang ditubuhkan sejak dari tahun 1951 dan pernah berhadapan dengan suasana yang lebih getir dalam lipatan sejarah perjuangannya.

Semuanya berjaya dihadapi dan terus menerus mematangkan organisasi parti sehinggalah PAS mencapai kedudukan yang ada pada masa kini.

Sehubungan dengan itu, saya meminta seluruh ahli dan kepimpinan PAS di pelbagai peringkat untuk bersabar dan bertenang dalam menghadapi persoalan dalaman parti pada waktu ini.

Persoalan yang timbul ini tidak akan dapat diselesaikan menerusi penggunaan media massa dan media baru.

Ianya perlu diselesaikan secara musyawarah dengan berpegang kepada budaya dan panduan yang menjadi pegangan PAS, sebagaimana yang termaktub dalam perlembagaannya.

Saya juga sudah mengarahkan Datuk Setiausaha Agung PAS untuk menentukan tarikh yang sesuai di waktu terdekat ini untuk diadakan satu mesyuarat bagi membincangkan persoalan yang timbul ini.

Kita berdoa agar Allah SWT senantiasa memberikan taufik dan hidayah Nya kepada kita semua dalam usaha untuk merungkai permasalahan ini dan seterusnya memperkukuhkan parti.

Datuk Seri Tuan Guru Abdul Hadi Awang

Presiden Parti Islam SeMalaysia (PAS)

6 Zulkaedah 1430 H bersamaan 25 Oktober 2009

TGNA Sedia PAS Terbaik Menjelang PRU 13

"Operasi bersih PAS yang telah dan sedang dilakukan oleh TGNA , dikira sebagai langkah penting menjelang PRU 13 nanti. Ini penting supaya PAS bersiap sedia dari semua segi , fizikal dan mental. Boleh dikatakan , tidak ada pemimpin PAS yang begitu faham dan arif serta benar – benar tahu dengan UMNO , kecuali TGNA. Tidak haruslah 3 , 4 orang pimpinan yang disebut secara direct oleh TGNA , berasa hati , kecil hati atau kecewa dengan nya.

Bahkan , 3 , 4 orang ini mesti faham , mereka lah sasaran sebenar UMNO , bagi melumpuhkan Pakatan Rakyat menjelang PRU 13 nanti. Gabungan tenaga professional dan ulamak ini lah yang sangat ditakuti UMNO. Maka sudah tentu , ini lah usaha kemuncak oleh UMNO , sebelum jatuh menjelang 2012 nanti.

Rasanya , sudah tidak ada cara dan jalan lain , melainkan tindakan yang telah dibuat oleh TGNA ini , bagi menyelamatkan PAS dan Pakatan Rakyat. Kalau dibuat secara senyap – senyap dan dalam mesyuarat sahaja , kesannya kurang. Hanya dengan cara ini saja , semua peringkat pimpinan hingga ke akar umbi terjaga dan aware kini.

Bukan saja PAS dan saf pimpinan bangun dan tersedar kini , malah juga komponen Pakatan Rakyat , begitu juga dengan Bahgian Perang saraf & Perisikannya juga terpaksa lebih berhati – hati. Tembelang sudah pecah , walaupun belum sampai ke kemuncaknya.

Itu sebenarnya kebijaksanaan TGNA.

Hadi Mahu Cadangan EGM Pas Diselesai Secara Musyawarah

Bernama

KUALA LUMPUR
, 25 Okt (Bernama) -- Kemelut dalaman yang sedang dihadapi PAS perlu diselesaikan secara musyawarah dan bukannya menerusi penggunaan media massa dan media baru, kata Presiden PAS Datuk Seri Abdul Hadi Awang.


Beliau berkata pendekatan musyawarah dengan berpegang kepada budaya dan panduan yang menjadi pegangan PAS sewajarnya dipilih, sebagaimana yang termaktub dalam perlembagaan parti.

"Sehubungan itu, saya meminta seluruh ahli dan kepimpinan PAS di pelbagai peringkat untuk bersabar dan bertenang dalam menghadapi persoalan dalaman parti pada waktu ini," katanya dalam kenyataan media di sini, pada hari Ahad.

Ini merupakan kenyataan pertama Abdul Hadi selepas Mursyidul Am PAS yang juga Menteri Besar Kelantan Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat, mencadangkan dalam blognya, www.bloktokguru.com supaya Mesyuarat Agung Luar Biasa (EGM) diadakan bagi menukar 'dua tiga kerat' pemimpin parti itu yang bermasalah.

Tiga pemimpin yang dinamakan dalam blognya itu ialah Timbalan Presiden Nasharuddin Mat Isa, Setiausaha Agung Datuk Mustafa Ali dan Pesuruhjaya PAS Selangor Datuk Dr Hassan Ali.

Abdul Hadi berkata beliau telah pun mengarahkan Mustafa supaya menentukan tarikh yang sesuai dalam masa terdekat untuk diadakan mesyuarat bagi membincangkan permasalahan yang timbul.

"Kita berdoa agar Allah sentiasa memberikan taufik dan hidayahnya kepada kita semua dalam usaha untuk merungkai permasalahan ini dan seterusnya memperkukuhkan parti," katanya.

Cadangan Nik Abdul Aziz itu menimbulkan pelbagai reaksi daripada anggota parti itu, manakala individu-individu yang dikaitkan sebagai 'pemimpin bermasalah' setakat ini mengambil pendekatan sama ada untuk berdiam diri atau mahu mendapatkan penjelasan lanjut berhubung kenyataan berkenaan.

Naib Presiden parti itu Salahuddin Ayub pula hari ini dilaporkan berkata isu mengadakan EGM sudah tidak berbangkit kerana parti itu sebaliknya akan mengadakan satu mesyuarat khas bagi membincangkan isu dalaman parti seperti yang disarankan Nik Abdul Aziz dalam pertemuan mereka di Kota Baharu semalam.

Saturday, October 24, 2009

Nik Aziz Tetap Mahu Muktamar Khas Walaupun Ada Yang Tolak

Bernama
KOTA BAHARU, 24 Okt (Bernama) -- Mursyidul Am PAS Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat tetap dengan keputusannya meminta pimpinan parti itu mengadakan muktamar agung khas bagi menentukan kedudukan beberapa pemimpin yang menimbulkan masalah dalaman kepada parti berhubung isu kerajaan perpaduan. Katanya beliau tidak kisah walaupun ada negeri yang menolak cadangan itu, kerana apa yang penting hasrat untuk menyampaikan isi hatinya demi menyelamatkan parti, tercapai. "Saya tidak akan menarik balik cadangan itu kerana ia dibuat atas hasrat dan isi hati saya sendiri yang mahu menyelamatkan parti," katanya kepada pemberita selepas merasmikan Masjid Noraini, Kampung Pasir Hor, dekat sini pada hari Sabtu. Turut hadir bekas Menteri Luar, Tengku Ahmad Rithaudden yang membiayai pembinaan masjid berharga RM500,000 di kampung itu. Menteri Besar Kelantan itu berkata demikian ketika ditanya mengenai cadangannya, supaya PAS mengadakan muktamar khas bagi menentukan kedudukan pemimpinnya, ditolak oleh sesetengah pemimpin PAS peringkat negeri atas alasan cadangan itu tidak perlu kerana tidak wujud pergolakan kepimpinan parti itu sama ada di peringkat pusat mahupun negeri ketika ini. Sambil menafikan bahawa cadangan itu dibuat kerana terpengaruh oleh individu tertentu dalam politik, Nik Abdul Aziz berkata beliau sudah matang dalam politik dan tidak perlu mengikut telunjuk mana-mana pihak. Pada majlis yang sama, Naib Presiden PAS, Salehuddin Ayub berkata pimpinan tertinggi PAS akan membincangkan amanat Mursyidul Amnya itu berhubung cadangan mengadakan muktamar khas parti itu dalam masa terdekat ini, selepas mengadakan pertemuan dengan Nik Abdul Aziz.