Malaysia KiniSebuah gereja dibaling dengan bom petrol mengakibatkan tingkat bawahnya terbakar, kata sumber gereja.Insiden tersebut berlaku sewaktu memuncak kontroversi berhubung penggunaan perkataan Allah oleh satu penerbitan Katholik.Dua lagi gereja di Lembah Kelang dipercayai turut jadi sasaran dalam tempoh 12 jam lalu, termasuk Gereja Assumption di Jalan Templer Petaling Jaya dan Life Chapel di Seksyen 17, Petaling Jaya.
Manakala Ketua Polis Negara, Tan Sri Musa Hassan menafi cakap-cakap yang mendakwa ada lagi gereja yang menjadi sasaran. Ianya ekoran khabar angin yang mendakwa sebuah gereja di Kampung Subang turut jadi sasaran.
Polis juga menafikan khabar angin yang mendakwa kenderaan yang memaparkan simbol Katholik, telah dipecahkan oleh orang yang tidak dikenali di Bangsar.
Seorang pegawai jabatan bomba berkata semua balai diletakkan dalam keadaan berjaga-jaga bagi memantau kebakaran di rumah-rumah ibadat, menjelang bantahan besar-besaran tengah hari ini anjuran beberapa NGO Islam.
Bangunan tiga tingkat Gereja Metro Tabernacle di Desa Melawati, Kuala Lumpur, adalah sebahagian pergerakan Assemblies of God, terbakar kira-kira tengah malam tadi, kata pemimpin gereja itu, Peter Yeow, 62.
Beliau memberitahu AFP bahawa ada saksi yang ternampak empat orang - yang datang menaiki motosikal - memecahkan kaca dan membaling bahan api ke dalam bangunan gereja.
Tiada sebarang kecederaan berlaku dalam kejadian tersebut. Gereja itu yang terletak di bahagian hujung lot rumah kedai di situ, dihadiri kira-kira 1,500 setiap minggu.