Senario yang berubah selepas "tsunami politik" memberi impak kepada semua parti. Masing-masing berlumba-lumba untuk menawarkan sesuatu agar terus mendepani, dan bukannya tenggelam dalam arus perubahan. PKR misalnya, mengambil langkah yang berani dengan memperkenalkan sistem pemilihan langsung dalam parti, kini cuba ditiru UMNO yang tidak mahu dilihat ketinggalan. DAP pula, semakin proaktif untuk menembusi masyarakat Melayu/Muslim, antara usaha terbarunya, perlancaran laman bahasa Malaysia-nya, Roketkini.
Tidak kurang pemerhati politik yang gusar dengan perkembangan PAS - parti yang memainkan peranan kunci ketika politik Malaysia berada di persimpangan jalan. Untuk beberapa tahun kebelakangan ini, PAS dihantui isu rundingan bersama UMNO. Pendekatan untuk menggarap imaginasi rakyat Malaysia pula sering ditambat langkahnya apabila "kepimpinan ulamak" diketengahkan, meletakkan PAS di jurang antara "harapan rakyat Malaysia" dengan "sentimen akar umbi PAS".
Justeru itu, sasarannya jatuh ke atas Presiden, dan golongan yang cuba membawa perubahan dalam PAS, ketika membincangkan senario terkini. Seperti biasa, pakar perundangan, Profesor Abdul Aziz Bari melepaskan peluru pertamanya dengan mengibaratkan parti yang mempunyai sejuta orang ahli ini sebagai "gajah tak berkepala"; sementara Wan Saiful Wan Jan melontarkan soalan provokasi, "Mengapa golongan yang ingin membawa perubahan dalam PAS (yang dilabel sebagai Erdogan) tidak berani bangkit dan mengakui secara terbuka, 'Ya, ini visi yang ingin kami bawa dalam PAS'?"
Demikianlah perbincangan hangat dalam satu forum berjudul "Pemilihan PAS: Mampukah PAS membuat lonjakan?", anjuran Free Public Forum Malaysia (FPF) dengan kerjasama ILHAM Centre dan Institute for Democracy & Economic Affairs (IDEAS) di Dewan Perhimpunan Cina KL-Selangor, pada 24 Mei 2011. Dewan forum penuh sesak dengan kehadiran kira-kira 150 orang, majoriti golongan muda Melayu.