Sunday, February 21, 2010

Dilema kerajaan PR Selangor: Antara ideal dengan realiti


RSIS Malaysia Programme dari S. Rajaratnam School of International Studies (Nanyang Technological Universiti) telah membentangkan satu kertas akademik berjudul "The Current Prospect for the Pakatan Rakyat in Malaysia" pada Ogos 2009, dan menyentuh beberapa masalah pentadbiran kerajaan Pakatan Rakyat di negeri Selangor.

Menurut kertas tersebut, sektor perniagaan terutamanya pemaju telah menjadi salah satu punca konflik dalaman PR Selangor. Semasa PRU ke-12, sektor perniagaan menyokong parti-parti yang kemudiannya bergabung menjadi Pakatan Rakyat, dengan harapan untuk mewujudkan satu suasana yang terbuka, telus supaya sektor ini akan berkembang dengan bebas, tanpa bergantung kepada hubungan dengan politikus.

Pada permulaan PR menjadi kerajaan negeri, mereka cuba mengambil langkah untuk membebaskan informasi, mengamalkan tender terbuka dan sebagainya, supaya mewujudkan satu suasana yang sihat dan mesra peniaga.

Merindui zaman BN

Tetapi, 16 bulan selepas itu, sektor perniagaan pula berharap agar kerajaan negeri "melonggarkan" dasar kerajaan, supaya mereka memperolehi manfaat daripadanya. Misalnya, sektor perniagaan tidak menyambut baik keputusan kerajaan untuk membekukan projek pembangunan di cerun bukit selepas kejadian tanah runtuh di Bukit Antarabangsa. Keputusan membekukan pembangunan ini mendatangkan kerugian kepada banyak pemaju.

Oleh yang sedemikian, pemaju berharap untuk memulihkan keadaan di mana pembangunan tidak dikawal dengan ketat, sebagaimana yang dilakukan bekas kerajaan negeri BN.

Pada Ogos lalu, kerajaan negeri Selangor merancang untuk merangka satu garis panduan pembangunan di cerun bukit, malah mengadakan public consultationuntuk mengutip pandangan awam. Walau bagaimanapun, garis panduan tersebut masih berada dalam proses "merangka" sekarang.

Selain itu, sebagaimana yang difahamkan MerdekaReview, sebahagian penyokong PR berharap agar mereka memperolehi projek setelah PR menjadi kerajaan. Namun demikian, bukan kesemua permintaannya boleh dipenuhi. Misalnya, hanya kontraktor kelas F layak untuk mengambil bahagian dalam tender terbuka, tetapi kebanyakan penyokong PR bukan kontraktor kelas F. Jadi, mereka menjadi marah tetapi kerajaan negeri gagal berbuat apa-apa dalam hal ini.

Antara ideal dan realiti

Menurut kertas akademik tersebut, kerajaan PR kini berdepan dengan dilema bagaimana untuk berpegang kepada ideal perjuangannya dalam dunia realiti. Politik yang ideal menuntut agar kerajaan melaksanakan pentadbiran berlandaskan prinsip, malah tidak boleh berganjak langkah dalam mempertahankan prinsip ini. Prinsip ini perlu dijadikan panduan pentadbiran.

Namun demikian, politik realiti adalah sebaliknya, malah "berkompromi" itu dengan sendirinya adalah sebahagian daripada permainan politik.

PR telah menabur janji untuk mempertahankan demokrasi, anti-perkauman, ketelusan, kredibiliti dan sebagainya, maka tidak harus mengingkari janji-janji tersebut demi survivalpolitik. Dalam kes pembangunan di cerun bukit, membelakangi dasar pembekuan pembangunan di cerun bukit akan meraih sokongan pemaju, tetapi mengingkari janjinya terhadap pengundi di sebaliknya.

Sesetengah pengundi menganggap tiada bezanya antara BN dengan PR. PR perlu menekankan perbezaan antara dirinya dengan BN. Kalau tidak, PR mungkin kehilangan sokongan, dan segala-galanya kembali ke titik asal.

Menurut kertas akademik tersebut, seandainya PR gagal mengekalkan idealismenya, malah tunduk kepada politik realiti, mereka akan membayar harganya. "PR tanpa ideal adalah PR yang kehilangan segala-galanya."

Langkah pendemokrasian

Walaupun prestasi kerajaan negeri belum mencapai apa yang dijangkakan oleh umum, tetapi kerajaan masih meneruskan langkahnya dalam proses pendemokrasian. Misalnya, kerajaan negeri berjaya mendesak agar kerajaan persekutuan mengklasifikasikan laporan tanah runtuh Bukit Antarabangsa; menggunakan kuasa yang diperuntukkan Akta Rahsia Rasmi kepada Menteri Besar untuk mengklasifikasikan beberapa dokumen rasmi, mengisytiharkan harta EXCO, merangka draf pembentangan Enakmen Kebebasan Informasi, mengkaji pemulihan pilihan raya kerajaan tempatan dan sebagainya.

Selain itu, kerajaan Selangor juga mengadakan beberapa public consultation untuk mengutip pandangan awam secara terbuka. Antara isu yang terlibat termasuklah SELESA (Enakmen Suruhanjaya Perkhidmatan Dewan Negeri Selangor) dan garis panduan pembangunan di cerun bukit.

Walaupun PR tidak memperlihatkan pembaharuan secara besar-besaran, tetapi seandainya dibandingkan dengan keadaan tidak telus, enggan mendengar suara rakyat semasa pemerintahan BN, keadaan dikatakan sudah bertambah baik.

Pemimpin PR gagal menggoyah kedudukan Khalid Ibrahim (gambar kanan) sebagai Menteri Besar walaupun tidak berpuas hati dengannya, melainkan melalui "undi tidak percaya" dalam DUN. Namun, untuk mengekalkan kuasa kerajaan di Selangor, PR dijangka tidak akan berbuat demikian. Lebih-lebih lagi, Khalid Ibrahim masih dianggap sebagai teknokrat yang agak baik di kalangan ADUN Selangor.

Namun, apa yang lebih penting adalah, bagaimana kerajaan PR menunjukkan kesungguhannya untuk membebaskan diri dari politik lama, dalam keadaan musuh berada di luar dan dalam selimut. Antaranya, menyingkirkan EXCO dan pegawai kanan yang tidak cekap, dan memperbaiki prestasi kerajaan negeri. Malah, PR perlu menggerakkan proses pendemokrasian, satu usaha yang tidak mungkin disaingi oleh BN. Kalau tidak, rakyat mungkin hilang sabar dan PR mungkin hilang kuasa kerajaan negerinya pada PRU yang akan datang. (Bahagian kedua, tamat)

Bahagian pertama: Dari korporat ke politik: Cabaran Khalid di Selangor

*Chen Shaua Fui ialah Assistant Editor MerdekaReview, edisi bahasa Cina. Diterjemah dan disunting Lim Hong Siang.

No comments:

Post a Comment