Pengerusi PKR Selangor itu melahirkan pendirian tegasnya di sebalik spekulasi akan ada lagi Ahli Parlimen dan Dewan Undangan Negeri bakal mengikut langkah wakil rakyat Bayan Baru Datuk Seri Zahrain Hashim, yang memutuskan untuk bertindak sebagai anggota Dewan Rakyat bebas.
Kata beliau, kemungkinan mereka merasakan tidak boleh memenuhi kehendak masing-masing dengan kekal bersama PKR.
“Jadi lebih baik mereka tinggalkan (PKR sekarang),” katanya lagi.
Khalid berkata demikian ketika mengulas laporan The Malaysian Insider hari ini bahawa lima lagi Ahli Parlimen PKR disebut-sebut bakal keluar parti itu - sebahagian daripada tindakan wakil rakyat yang dikatakan kecewa dengan kepimpinan Pakatan Rakyat khususnya parti itu.
Mereka dijangka membuat pengumuman tentang pendirian masing-masing dalam beberapa hari lagi, tindakan yang dikatakan akan sekali lagi menguji kepimpinan penasihatnya Datuk Seri Anwar Ibrahim yang kini berhadapan dengan kes liwat buat kali kedua sejak 1998.
Kelmarin Zahrain, bekas pengerusi PKR Pulau Pinang, memutuskan untuk keluar PKR berkuat kuasa serta-merta, sekali gus bertindak sebagai Ahli Parlimen Bebas bagi kawasan Bayan Baru.
Beliau merupakan Ahli Parlimen PKR yang pertama berbuat demikian selepas dipilih pada 8 Mac 2008.
“Berdasarkan maklumat semasa, akan ada empat hingga lima wakil rakyat yang mahu keluar PKR, akan umumkan pendirian mereka selepas sambutan Tahun Baru Cina... tunggu sidang media kedua minggu depan,” kata seorang sumber kepada The Malaysian Insider.
Khalid yang juga Ahli Parlimen Bandar Tun Razak berkata adalah lebih baik wakil rakyat yang disebut-sebut itu meninggalkan PKR sebelum pilihan raya umum akan datang.
“Saya merasakan ini adalah masa yang sesuai untuk apa saja perkara berlaku sebelum kita menghadapi pilihan raya umum ke-13.
“Jadi saya juga merasakan ini juga masanya untuk memahami apa yang kita sedang perjuangkan,” kata beliau pada majlis yang dihadiri ahli politik dari kedua-dua Pakatan Rakyat dan Barisan Nasional.
Khalid kemudian menghadiri majlis sambutan Tahun Baru Cina yang diadakan buat kali pertama di Dewan Hamzah, Klang.
No comments:
Post a Comment