Sunday, July 18, 2010

Protes naik harga dilancar 28 Julai

Malaysiakini

Gabungan Memprotes Kenaikan Harga Minyak (PROTES) akan melancar kempen bantahan terhadap tindakan kerajaan menaikkan harga petrol, diesel, gula dan gas petroleum cecair (LPG) pada 28 Julai ini.

Pelancaran bantahan tersebut akan berlangsung di Dewan Perhimpunan Cina Selangor-Kuala Lumpur.

Penyelaras PROTES, Dr Hatta Ramli berkata dalam mesyuarat hari ini, pihaknya turut membincangkan untuk mengadakan demonstrasi membantah tindakan kerajaan itu.

Bagaimanapun, kata beliau, tarikhnya akan ditentukan dalam mesyuarat yang diadakan pada hari pelancaran kempen tersebut.

"Pada hari itu (28 Julai) kita akan menyusun cadangan aktiviti seperti penyelerasan risalah dan maklumat dan tarikh 'road show' di seluruh negara.

protes pc"Kita juga akan mencadangkan tarikh demonstrasi yang dilihat sangat berkesan (sebagai bantahan kepada kerajaan)," katanya dalam sidang akhbar selepas mesyuarat tersebut.

Turut hadir ialah pengarah strategi PKR Tian Chua, Setiausaha Agung PSM S Arutchelvan dan wakil Dewan Muslimat PAS Aiman Athirah, wakil Suaram dan Dema.

Ditanya sama ada demonstrasi itu akan dibuat menjelang ramadan, Dr hatta berkata beliau lebih cenderung untuk mengumumkan pada hari pelancaran itu.

"Kalau boleh kita nak buat segera. Kita tidak boleh berlengah-lengah sangat," katanya.

Beliau menyifatkan demonstrasi itu sebagai acara kemuncak kempen bantahan itu terhadap keputusan kerajaan itu.

Menurutnya, ini kerana cadangan untuk mengadakan demonstrasi itu adalah susulan daripada kesan kejayaan bantahan rakyat terhadap Dasar Pengajaran dan Pembelajaran Sains dan Matematik dalam bahasa Inggeris (PPSMI) dan pemberian lesen judi sukan.

Dr Hatta yang juga bendahari PAS berkata, pihaknya juga akan berusaha untuk mengajak lebih banyak NGO bersama dengan gabungan itu membantah kenaikan harga barangan itu.

"Kita akan gerakkan NGO, kesatuan sekerja dan pelajar untuk bersama-sama (dengan PROTES)," katanya.

Beliau berkata, pihaknya akan menggerakkan bantahan di seluruh negara khususnya kepada kelompok yang menanggung kesan kenaikan harga barang seperti rakyat berpendapatan rendah dan rakyat yang menghadapi defisit perbelanjaan setiap bulan.

"(Jadi) dasar anti orang miskin adalah sangat pelik (diamalkan) di sesebuah negara (seperti Malaysia)," katanya.

Dr Hatta yang juga ahli parlimen Kuala Krai berkata, kenaikan harga bahan bakar dan bahan makanan itu adalah "tidak wajar" semata-mata untuk menyelamatkan RM750 juta bagi menanggung membiayai projek klinik 1Malaysia dan program pendidikan oleh Permata.

"Tidak wajar kalau kerajaan mengambil duit daripada rakyat untuk wujudkan program 1Malaysia," katanya.

Sementara itu, dalam sidang media yang sama, Arutchelvan berkata kesan kenaikan harga bahan api dan gula itu bakal dirasai oleh rakyat dalam beberapa minggu lagi dan lebih terkesan apabila menjelang musim perayaan bulan depan.

Manakala Tian Chua mendakwa kenaikan harga bahan-bahan tersebut adalah satu permulaan dan menjangkakan bahan-bahan asas yang lain juga akan terbabit susulan potongan subsidi.

No comments:

Post a Comment