Friday, January 8, 2010

Konvoi Viva Palestina Mengakhiri Misi Dengan Jayanya

Daripada Kuzaimah Idris

GAZA, 9 Jan (Bernama) -- Selepas 48 jam berada di bumi Gaza dan menyaksikan keadaan sendiri keadaan di sini, konvoi Viva Palestina akhirnya mengucapkan selamat tinggal kepada rakyat Palestin untuk bertolak pulang pada kira-kira pukul 10 pagi waktu tempatan.

Walaupun misi itu tidak lama namun 450 sukarelawan yang menyertai konvoi itu berpuas hati kerana mereka berjaya melaksanakan misi mereka untuk menghantar bekalan ubat-ubatan, makanan dan peralatan pembelajaran yang dibawa dalam trak dan ambulans secara terus kepada penduduk Palestin di Gaza.

Malaysia menyumbangkan empat trak bantuan kemanusian dan sebuah ambulans bernilai 100,000 pound kepada Hospital Elwafa Gaza.

Dr Khamis Elessi, Ketua Perubatan Pemulihan Hospital Elwafa berkata penduduk Palestin gembira dengan pelbagai bantuan yang disumbangkan oleh rakyat Malaysia.

"Kami berterima kasih kepada kerajaan Malaysia, rakyat Malaysia yang menyumbangkan trak kepada Hospital Elwafa, Kami rasa bersyukur dengan sumbangan rakyat Malaysia ini dan kesemua mereka yang datang dari jauh, terpaksa menempuh kesusahan sepanjang perjalanan ke Gaza, kami sangat bersyukur dengan sikap jujur, berani dan murah hati orang-orang Malaysia.

"Penduduk Palestin di Gaza memerlukan ribuan tan (bekalan ubat-ubatan), sumbangan seperti ini sudah pasti dapat membantu mereka yang cedera dan menyelamatkan ramai nyawa yang hidup dalam keadaan penderitaan yang mengerikan selama ini," katanya.

Bagi pengasas dan penganjur Viva Palestina, George Galloway misi ini bukanlah yang terakhir.

"Semoga tuhan memberkati Tun Dr Mahathir, Viva Palestina, rakyat Malaysia yang memberikan sumbangan dengan pelbagai cara termasuklah wartawan yang menyertai misi ini sehingga berjaya," katanya.

Misi yang sama telah dilakukan pada bulan Mac dan Julai tahun lepas.

"Kami tidak akan berhenti selagi sekatan tidak ditarik balik, kami tidak akan berhenti, mungkin kita akan kembali menggunakan jalan laut untuk misi yang seterusnya. Mungkin halangan yang bakal ditempuh agak kurang berbanding jalan darat," katanya.

Konvoi yang disertai oleh pelbagai negara itu memulakan perjalanan dari London pada 6 Dis yang lepas, menempuh perjalanan melalui bandar-bandar di Turki, Syria dan Jordan.

Konvoi itu terpaksa melalui banyak halangan terutamanya daripada Kerajaan Mesir yang tidak membenarkan konvoi itu melalui bandar Nuweiba sebagai laluan ke Rafah untuk ke Gaza yang menyebabkan misi yang dijadualkan tiba di Gaza pada 27 Dis 2009, sempena genap setahun kekejaman Israel terhadap rakyat Palestin di Gaza itu, terlewat daripada jadual asal.

Sebaik tiba di bandar Pelabuhan El-Arish, konvoi 220 kenderaan seperti trak, ambulans dan kereta itu, 59 buah kenderaan konvoi terbabit dilarang oleh Kerajaan Mesir untuk dibawa keluar dari pelabuhan itu untuk ke Gaza.

Malah lebih 10 anggota konvoi Viva Palestina cedera, empat daripadanya parah, dan tujuh ditahan polis Mesir termasuk seorang pelajar Malaysia dalam kejadian tunjuk perasaan ketika membantah keputusan kerajaan Mesir melarang 59 buah kenderaan itu dibawa ke Gaza.

-- BERNAMA

No comments:

Post a Comment