Apabila kita hendak menipu orang, ilmu menipu perlu ada dalam diri kita. Kalau ilmu itu tidak ada, orang akan dapat mengesan penipuan kita dengan mudah. Kita akan diperlekehkan dan dianggap tidak cerdik.
Hal ini berlaku kepada Shafie Afdal. Dia mendakwa UMNO-BN tidak merasuah dalam kempen pilihan raya. Alasannya ialah semua yang diberikan pada masa itu sudah diluluskan oleh kerajaan melalui NKRA.
Orang yang cerdik akan segera ternampak aspek kurang cerdik menteri dari Sabah ini. Maksud kenyataan yang dikeluarkannya itu ialah BN sudah menyiapkan wang untuk setiap bahagian pilihan raya sebelum wakil rakyatnya meninggal dunia lagi. Wang itu terus disalurkan setelah wakilnya pergi untuk selama-lamanya. Sejak bila pula UMNO-BN bijak dalam soal ramal-meramal ni?
Jika demikian keadaannya, rakyat ingin mencabar Shafie supaya mendedahkan berapakah peruntukan yang diberikan kepada DUN Kubang Rotan yang menghadapi kemungkinan diadakan PRK? Berapa pula peruntukan yang telah disediakan kepada DUN Changkat Jering, DUN Behrang, dan DUN Jelapang sekiranya ada PRK di situ?
Kenyataan mendahului masa itu sangat perlu dihebahkan untuk menutup mulut pembangkang yang setiap kali PRK menuduh UMNO-BN merasuah pengundi. Rakyat akan tabik menteri ini jika berani mengeluarkan statistik lengkap tentang peruntukan sebelum sesuatu PRK diadakan. Mustahil untuk beliau mengetahui wakil rakyat mana yang akan meninggal dunia!!!
Dia perlu ingat bahawa selepas diberi tabik hormat, dia akan dikutuk habis-habisan. Rakyat akan kata, "Sudah tahu peruntukan itu ada, mengapa tidak disalurkan sebelum PRK diadakan? Mengapa terhegeh-hegeh memberikannya semasa berkempen? Tidakkah itu bermakna UMNO-BN menangguk di air keruh? Tidak rasuah politikkah namanya?"
Kong kali kong, UMNO-BN kena juga. Mereka tidak boleh menutup kesalahan moral itu. Rasuah politik ialah senjata mereka. Pengundi-pengundi di Sibu perlu menyedari hal ini. Anda sedang diulet dan digiankan dengan dadah berbentuk rasuah politik sekarang ini. Apa-apa juga yang didakwa oleh Shafie Afdal itu kelentong saja. UMNO-BN memang kaki kelentong nombor wahid.
No comments:
Post a Comment