KUALA LUMPUR, 10 Ogos: Polis dan Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) tidak mempunyai hak serta kuasa menghukum mangsa saman ekor, tegas pasukan guaman, badan bertindak Kempen Anti Saman Ekor (KASE).
Zulhazmi Shariff, salah seorang anggotanya menegaskan bahawa polis trafik sebenarnya antaranya mengeluarkan saman dan notis salah laku trafik.
Manakala tanggungjawab JPJ, menurut beliau, antaranya adalah memperbaharui lesen memandu serta cukai jalan kenderaan sama ada milikan persendirian atau perniagaan.
"Polis dan JPJ tidak ada kuasa untuk menghukum pesalah trafik, hanya mahkamah boleh menghukum mangsa saman ekor selepas dibuktikan bersalah," ujarnya malam tadi di Auditorium Majlis Perbandaran Ampang Jaya (MPAJ).
Beliau yang juga pengamal undang-undang sivil berkata, syor kerajaan menyenaraihitamkan serta menghalang mereka yang terbabit dari memperbaharui cukai jalan dan lesen memandu adalah suatu tindakan yang bertentangan dengan prinsip keadilan hak serta hak asasi manusia.
Ini kerana, katanya, prinsip umum undang-undang memberitahu bahawa 'seseorang itu tidak boleh dianggap bersalah sehinggalah dibuktikan bersalah'.
Berpijak pada prinsip tersebut, ujarnya, kaedah perlaksanaan saman ekor yang disyorkan, iaitu seseorang boleh dianggap bersalah walaupun tidak dibuktikan bersalah adalah sesuatu yang bertentangan dengan Seksyen 17 dan Seksyen 29(1A), Akta Pengangkutan Jalan 1997 sendiri.
Lanjutan itu, beliau berkata, mereka yang menerima notis saman ekor tidak perlu membayar sebarang kompaun atau denda kerana beban membuktikan kesalahan mereka yang terbabit di mahkamah sepatutnya dilakukan oleh JPJ dan polis trafik.
Tambahnya lagi, mereka yang disaman berdasarkan CCTV trafik atau notis saman yang ditinggalkan pada kenderaan sebenarnya adalah tidak sah.
Ini kerana, katanya tidak ada peruntukan Akta Pengangkutan Jalan, 1987 membolehkan pihak berwajib memeras kompaun atau denda dari mereka yang terbabit.
Pengerusi Kase, Datuk Mahfuz Omar pula berkata, pihak berwajib tidak berani mengheret lebih 2.5 juta pemilik kenderaan yang disenaraihitamkan ke mahkamah.
Ini kerana, katanya pentadbiran Datuk Seri Najib Tun Razak, Perdana Menteri sendiri tidak yakin bahawa kaedah saman ekor apabila merujuk ketetapan Hakim Mahkamah Tinggi Sarawak, Datuk Abdul Aziz Abdul Rahim dalam kes Leonard Lim Yaw Chiang vs Pengarah Jabatan Pengangkutan Jalan Negeri Sarawaka & Anor (2009) .
"Kalau tindakan ini (saman ekor), kenapa mereka tidak mengheret kesemua kira-kira sejuta lebih mangsa saman ekor ini ke mahkamah?”
"Apa yang saya nak tegaskan di sini, sama ada Najib, (Datuk) Abdul Aziz Yusof (Ketua Trafik Pasukan Polis Bukit Aman) atau (Datuk Seri) Hishammuddin Tun Hussein (Menteri Dalam Negeri) sendiri tidak mempunyai hujah perundangan untuk mengheret mangsa-mangsa ini," tegasnya sambil menganggap saman ekor mencabul 'hak terhadap harta' (kenderaan) sebagaimana dijamin oleh Perkara 13, Perlembagaan Persekutuan.
No comments:
Post a Comment