Wednesday, September 1, 2010

Demi pendidikan anak, Penan tinggal dalam rumah ayam...

"Biar betapa miskin sekalipun, pendidikan jangan dipapakan. Biar betapa perit sekalipun, kanak-kanak jangan disusahkan." Demikianlah yang dilaungkan oleh akhbar bahasa Cina di negara kita, ketika merayu derma untuk disumbangkan kepada anak-anak yang miskin di negeri China, melalui "Projek Harapan" pada tahun 1990-an.

Namun demikian, kemiskinan dan kesusahan tidak hanya berlaku di China. Di Sungai Asap, Bintulu, sekumpulan orang Penan terpaksa berpindah dan tinggal di dalam sebuah kandang ayam, kerana jarak tempat tinggal asal yang terlalu jauh dari sekolah.

Sebagaimana yang diketahui, rumah panjang di Sarawak diberi pelbagai nama yang mudah untuk dikenalpasti, misalnya Rumah Balui Liko. Tetapi, rumah panjang ini tidak mempunyai nama khas, sekadar digelar "Rumah Ayam". Tuan rumahnya, Laing Kilah, memaklumkan bahawa mereka yang mendiami rumah ini berasal dari rumah panjang Long Wat di kawasan hidroelektrik Murum, yang pada asalnya diduduki 54 keluarga. Mereka berpindah ke "kandang ayam" yang terbiar ini untuk memudahkan anak atau cucu mereka ke sekolah.

Mereka berpindah ke sini pada tahun 2007, selepas Kumpulan Shin-Yang memasuki kawasan Murum untuk menebang balak, menghalang orang asli daripada memasuki hutan dengan pelbagai sekatan. Kini, "rumah ayam" ini didiami 20 keluarga.

Berpindah ke "rumah ayam"

Empangan Murum merupakan salah satu empangan daripada 12 yang tersenarai dalam projek kerajaan negeri Sarawak. Pada 2 September 2008, Sarawak Energy Berhad secara rasmi memaklumkan Bursa Malaysia bahawa projek ini telah diserahkan kepada China Three Gorges Project Corporation.

Empangan Murum yang jaraknya hanya 60 km dari Empangan Bakun ini bernilai RM3 bilion, dianggar dapat menjana kuasa setinggi 944 MW. Lantaran daripada projek ini, kerajaan negeri menempatkan semula kira-kira 1000 orang asli, yang kebanyakannya orang Penan. Laing dan 20 keluarga yang tinggal dalam rumah ayam adalah kaum asli yang menerima kesan daripada projek ini.

Wawancara bersama Laing Kilah (gambar kiri, kanan) dijalankan dengan penterjemahan Miko Loyang (gambar kiri, kiri), kaum asli yang menyambut kedatangan kami (MerdekaReview bersama wartawan yang lain). Menurut Laing, tempat asal yang didiami mereka sejak turun-temurun tidak mempunyai sekolah. Berkali-kali pemohonan pembinaan sekolah oleh penduduk ditolak. Kerajaan memberikan alasan bahawa kawasan pedalaman tersebut terlalu jauh, tiada guru yang sudi mengajar di situ. Sekolah gagal dibina di situ, melainkan sekiranya orang Penan yang berpendidikan menawarkan diri untuk mengajar.

Namun, anak-anak membesar sehari ke sehari, apakah pendidikan masih boleh menunggu? Mereka yang gagal memperolehi sekolah terpaksa menghantar anak mereka ke Sekolah Kebangsaan Batu Keling di Sungai Asap. Untuk memudahkan mereka semasa menghantar anak mereka, maka mereka menumpang untuk tinggal di dalam kandang ayam yang terbiar di ladang kelapa sawit, setelah mendapat persetujuan tuannya.

Perjalanan sejam ke sekolah

Menurut penduduk di situ, tuan kandang yang mempunyai gelaran "Datuk" ini sudi membekalkan air yang percuma. Setelah sedikit pengubahsuaian dilakukan, maka penduduk pun masuk mendiami "kandang ayam" tersebut. Bau najis ayam masih terhidu ketika wartawan menjenguk ke "kandang ayam" ini.

"Rumah" penduduk semuanya amatlah kecil, dengan ampaian, kerusi, buaian yang bersahaja, bilik tidur dan dapur yang lapuk. "Bilik mandi"-nya tidak berdinding, dan berbumbungkan langit. Bahkan, dari "bilik mandi" salah seorang penduduk, kami nampak kandang ayam, yang mana bekas menampung makanan ternakan masih tertinggal di situ. Inilah wajah asal kandang ayam.

Biarpun inilah tempat duduk yang secara bandingnya lebih dekat jaraknya dari sekolah, tetapi anak-anak masih mengambil masa perjalanan satu jam untuk ke sekolah. Laing berkata, lebih daripada 30 pelajar dari rumah ini pergi sekolah dengan berjalan kaki, menaiki motorsikal ataupun dengan kereta. Pelajar yang berjalan kaki terpaksa memulakan perjalanan mereka pada jam 6 pagi ke sekolah.

Ketika ditanya sama ada mereka menerima pampasan, Laing berkata, kerajaan pernah memberitahu bahawa setiap keluarga akan menerima pampasan yang mencukupi, termasuklah rumah, tanah dan kemudahan asas. Tetapi, tiada tempat duduk atau tanah penanaman untuk mereka setakat ini. Mereka mencari rezeki dengan bekerja untuk orang lain, memetik koko, membuat parang dan sebagainya.

Laing tidak begitu yakin dengan projek penempatan semula di Murum, setelah melihat nasib orang asli yang tertipu di bawah projek penempatan semula Empangan Bakun. Beliau berkata, janji kerajaan untuk memberi rumah yang baru kepada mereka masih tidak ditunaikan sehingga sekarang, dan beliau mengharapkan bantuan daripada orang luar.

Mungkin kerajaan pernah membuat perjanjian dengan Tuan Rumah Long Wat, tetapi Laing tidak pasti sama ada perjanjian ini dihitam-putihkan, malah juga tidak pasti apakah kandungan perjanjian sebenarnya.

"Saya nak anak saya cemerlang seperti orang lain"

Sementara Projek Penjanaan Elektrik Murum berjalan, kerajaan negeri telah meminjamkan tanah penempatan semula untuk orang asli kepada syarikat perladangan, untuk penanaman kelapa sawit. Penduduk mengadu bahawa syarikat pembalakan dan syarikat penanaman Kumpulam Shin-Yang membuat sekatan untuk menghalang kemasukan orang asli ke dalam hutan. Malah, samseng dikerah untuk berdepan dengan penduduk apabila kedua-dua pihak berada dalam ketegangan.

Orang Penan menyara hidup dengan aktiviti pemburuan. Hutan bagaikan pusat membeli belah yang membekalkan keperluan harian. Orang Penan kehilangan sumber setelah hutan diterokai. Keperluan harian menjadi masalah kepada mereka.

Ketika ditemuramah MerdekaReview, Ngo Ajai (gambar kanan), 40, memberitahu bahawa dirinya tidak mempunyai pekerjaan yang tetap. "Mereka (tuan ladang) panggil kami kerja, kami kerjalah," katanya.

Beliau mengenang kehidupan asalnya, yang tidak memerlukan wang untuk membeli belah. Mereka hanya perlu memburu, menangkap ikan untuk menyara hidup sekeluarga. Tetapi kini, semuanya memerlukan wang. Tiada kerja, maka tiada wang.

Ngo Ajai yang asalnya hidup dengan pemburuan kini tidak memiliki tanah, kelapa sawit mahupun getah. Anak menjadi aset yang paling penting untuk dirinya. Demi pendidikan anaknya, mereka sekeluarga berpindah ke kandang ayam yang terbiar ini. Generasi mereka dah habis dah, harapannya hanya ditaruh pada bahu anak mereka, katanya.

"Dulu saya tidak dapat ke sekolah. Sekarang saya sedar kepentingan pendidikan. Oleh itu, saya mahu anak saya belajar. Saya mahu mereka cemerlang dan berjaya seperti orang lain," katanya.

Ngo Ajai mempunyai enam orang anak, tiga orang daripadanya masih bersekolah. Seorang telah berhenti sekolah kerana jarak yang jauh dari sekolah ke rumah asalnya. Ngo Ajai berkata, "Enam jam dari situ ke sini. Dah separuh hari dah."

Reaksi Tycoon media dan balak

Masalah pendidikan yang dihadapi orang Penan sama seperti masalah yang menimpa kanak-kanak di kawasan pedalaman China. Tetapi, isu hak orang asli ini membabitkan kepentingan syarikat pembalakan dan penanaman. Tycoon Cina yang menguasai akhbar di Sarawak mengabaikan masalah pendidikan, malah kehidupan yang dihadapi orang asli, sebaliknya lebih terpanggil untuk memberi sumbangan dalam pembinaan sekolah di China. Mereka tampil dengan imej sebagai seorang peniaga yang berbudaya dan bermurah hati.

Kini, akhbar bahasa Cina Sarawak See Hua Daily News dan akhbar bahasa Inggeris Borneo Post dikuasai KTS, sementara empat akhbar bahasa Cina di Malaysia pula dimonopoli Tiong Hiew King (gambar kanan), melalui Media Chinese International Limited.

Menurut laporan, Tiong Hiew King pernah terlibat dalam Projek Harapan, yang memberi sumbangan kepada kanak-kanak yang miskin di China. Malah, Tiong Hiew King diberi gelaran "dermawan untuk kanak-kanak" di China.

Ironinya, dermawan yang belas kasihannya melimpah-limpah ke China ini, memilih untuk membutakan diri dari apa yang berlaku terhadap anak orang asli di Sarawak. Ketika menikmati tepukan dan pujian daripada sumbangannya itu, "dermawan" ini tidak kelihatan pula untuk menyumbangkan dana untuk pembinaan sekolah untuk kanak-kanak orang asli. Malah, isu kaum asli yang tertindas juga kurang mendapat ruang di dada akhbar milikan Tiong Hiew King.

Pernah Ketua Pengarang Kumpulan Sin Chew Media Corporation Berhad, N C Siew mengambil inisiatif untuk mengetuai projek membantu anak-anak di China, setelah terharu dengan laporan tempatan semasa melawat ke China pada tahun 2005. Projek ini seterusnya merangsang Sin Chew untuk meneruskan bantuan kepada anak-anak miskin di China.

Persoalannya, bilakah NC Siew akan melawat kawasan kediaman orang Penan sendiri di Sarawak, dan mengerah sokongan pembaca akhbarnya untuk menghulurkan tangan kepada anak-anak miskin Penan?


No comments:

Post a Comment