Thursday, September 30, 2010

Hubungan kaum: Formula kekayaan Mahathir boleh bawa negara muflis

MalaysiaInsider

Dr Mahathir berkata pertumbuhan ekonomi dapat menyelesaikan masalah kaum di Malaysia.—gambar fail
KUALA LUMPUR, 1 Okt — Preskripsi Tun Dr Mahathir Mohamad mengenai pertumbuhan dan pembahagian kekayaan bagi mengelakkan masalah hubungan kaum dialami Malaysia sekarang boleh menyebabkan negara muflis jika formula itu menjadi amalan pentadbiran Najib, demikian menurut penganalisis dan pemimpin-pemimpin Pakatan Rakyat (PR).

Mereka menekankan bahawa nasihat bekas perdana menteri itu sendiri telah gagal semasa pentadbiran beliau, di mana telah membawa kepada kemerosotan hubungan kaum meskipun perbelanjaan kerajaan meningkat besar.

“Bagai nak gila jika (Datuk Seri) Najib (Razak) ikut preskripsi Dr Mahathir kerana ia hanya akan memufliskan negara dan memburukkan hubungan kaum memandangkan punca kemerosotan hubungan kaum tidak diatasi terlebih dahulu,” kata setiausaha publisiti kebangsaan DAP, Tony Pua kepada The Malaysian Insider.

Kata beliau, hubungan kaum semakin buruk antara 2005 dan 2009, meskipun perbelanjaan kerajaan dan bajet mencatatkan rekod, dan sejumlah projek yang begitu banyak.

Kelmarin, Dr Mahathir memberitahu bahawa beliau merangka konsep Bangsa Malaysia di bawah Wawasan 2020 berdasarkan rancangan bahawa pertumbuhan ekonomi akan mengatasi masalah hubungan kaum.

Menurut Pua, bajet kerajaan telah meningkat daripada RM128 bilion pada 2004 kepada RM200 bilion tahun lalu.

“Tetapi hubungan kaum kelihatan menjadi semakin buruk dalam tempoh lima tahun lalu berbanding tahun-tahun sebelum itu,” kata Pua yang juga Ahli Parlimen Petaling Jaya Utara dengan merujuk kepada insiden menjulang keris ketika perhimpunan agung tahunan Umno beberapa tahun lalu oleh Datuk Seri Hishammuddin Hussein ketika menjadi ketua Pemuda Umno.

Sejak beberapa bulan lalu ketegangan dan hubungan kaum dilihat tidak menyenangkan ekoran kenyataan-kenyataan yang menyinggung perasaan kaum termasuk pada majlis-majlis 1 Malaysia dan Puteri Umno baru-baru ini.

Pada majlis dialog Puteri Umno seorang pegawai kanan Biro Tata Negara (BTN) menggunakan perkataan “si mata sepet” dan “si botol” dipercayai bagi merujuk masyarakat Cina dan India.

Ogos lalu, dua pengetua sekolah kerajaan didakwa menggunakan kenyataan yang menyinggung perasaan pelajar-pelajar Cina dan India.

Naib Presiden PAS Datuk Mahfuz Omar berkata, Perdana Menteri kini berhadapan dengan bajet yang ketat ekoran amalan pembaziran diamalkan oleh pentadbiran Dr Mahathir.

“Kita mempunyai masalah pengurusan kewangan disebabkan perbelanjaan keterlaluan ketika masa Dr Mahathir dan Pak Lah (Tun Abdullah Ahmad Badawi),” kata Mahfuz.

Malaysia berhadapan dengan prospek ekonomi tidak menentu dengan pertumbuhan dikatakan hanya sekadar enam peratus sepanjang lima tahun akan datang.

“Najib tidak perlu menerima nasihat Dr Mahathir kerana jika diterima, negara akan berhadapan dengan kehilangan lebih banyak wang sebagaimana berlaku ketika masa Dr Mahathir,” katanya lagi.

Ahli Parlimen Pokok Sena ini menekankan tentang insiden perkauman Kampung Medan yang berlaku ketika pentadbiran ketika era Dr Mahathir.

“Malah wujud masalah perkauman ketika era beliau seperti insiden Kampung Medan,” kata Mahfuz merujuk kepada peristiwa 2001 membabitkan masyarakat Melayu dan India yang menyebabkan enam nyawa terkorban.

Pua menolak strategi perbelanjaan bekas perdana menteri itu untuk mengatasi masalah hubungan kaum dengan menganggapnya sebagai tindakan tidak bertanggungjawab dan tidak mapan.

“Melihat ke depan, ia bukan langkah (amalan) berkekalan.

“Negara tiada wang untuk berbelanja sebagaimana Dr Mahathir mahu kita berbelanja,” kata beliau dengan menekankan hutang negara telah meningkat daripada 40 peratus kepada 52 peratus atau RM363 bilion sekarang.

“Kita tidak boleh berbelanja tanpa bertanggungjawab,” kata Pua.

Penganalisis politik Dr Lim Teck Ghee bersetuju dengan Pua sambil berkata, pengagihan kekayaan tidak adil yang disebabkan oleh dasar-dasar seperti Dasar Ekonomi Baru (DEB) adalah sebab mengapa wujudnya ketegangan kaum.

Dengan merujuk kepada langkah meneruskan matlamat DEB selepas 1990, menurut beliau, polarisasi kaum meningkat ketika pentadbiran Dr Mahathir.

Pengarah Centre for Policy Initiatives ini juga menyalahkan tindakan pentadbiran Dr Mahathir yang menghabiskan berbilion ringgit untuk melaksanakan projek-projek mega.

“Projek-projek besar dijalankan ketika masa Dr Mahathir, apabila begitu banyak wang dikeluarkan, ia berakhir dengan tindakan menyelamatkan (syarikat) antara 1970 dan 2007, menyebabkan beban kewangan kepada negara lebih RM100 bilion,” kata Lim.

Lim memberitahu tindakan itu membawa kepada malapetaka kerana langkah seumpama tidak mapan dari sudut ekonomi dan tidak diuruskan dengan baik.

Penganalisis politik Profesor Madya Dr Samsul Adabi juga memberi peringatan berhubung penggunaan wang negara secara sembarangan.

“Kita tidak boleh berbelanja sembarangan,” kata beliau.

Sebagaimana Dr Mahathir, beliau bersetuju bahawa penjanaan kekayaan boleh mengurangkan hubungan kaum tetapi menekankan faktor-faktor lain juga perlu diambil kira.

“Saya setuju kerana ia boleh jadi salah satu faktor dalam mengurangkan hubungan kaum, tetapi ada faktor-faktor lain,” kata beliau.


1 comment: