Thursday, September 30, 2010

Dialog Namewee - Tang Ah Chai: Masalahnya bukan kata kesat, tapi Rasisme

Merdeka Review

Perbincangan masyarakat sebenarnya hilang fokus seandainya hanya tertumpu kepada "kata-kata kesat" yang digunakan Namewee dalam karya lagunya, memandangkan ia sekadar satu "medium" untuk menyampaikan pandangan. Malah, kontroversi yang dicetuskan Namewee hanya bermakna apabila dibaca dalam konteks masyarakat terkini.

Masalah pokoknya rasisme, bukannya kata-kata kesat. Demikianlah kesimpulan yang dicapai dalam satu dialog yang mempertemukan Namewee, pemain muzik rap kontroversial dengan Ketua Eksekutif Dewan Perhimpunan Cina Kuala Lumpur-Selangor (KL-SCAH), Tang Ah Chai. Dialog dalam dewan SCAH yang menarik hampir 400 orang hadirin ini diprotes kira-kira 70 orang anggota PERKASA di luar. 【Gambar Namewee dibakar: Dialog ditamatkan sebelum demo PERKASA surai

Tanpa mahu melanjutkan pertikaian berhubung "kata-kata kesat" yang terkandung dalam lagu Namewee, Tang Ah Chai menekankan bahawa hasil karya seharusnya dibaca dalam konteks dan latar belakang masyarakat yang kita sedang berada.

Make Love, Not War dan Shit @ PukiMak @ PM

Beliau selanjutnya mengambil contoh slogan "Make Love, Not War" (Berasmara, Bukan Berperang) yang dilaungkan pada zaman 1960-an, menyaksikan bagaimana masyarakat Amerika Syarikat (AS) ketika itu diselubungi sentimen "anti-perang".

"540 ribu orang tentera AS dihantar untuk berperang di Vietnam. Lebih daripada 10%, iaitu 58 ribu orang terkorban di Vietnam. Rakyat AS, terutamanya orang muda, tak faham apa perlunya untuk berperang di Vietnam, berperang untuk siapa dan apa. Akhirnya, semua orang anti perang, sehingga sanggup berkonsert untuk tiga hari tiga malam..."

"'Make Love, Not War' dijadikan tema, memperlihatkan sentimen masyarakat ketika itu, iaitu anti-perang. Seandainya anda tidak meletakkan isu ini dalam konteks (ketika mentafsir isu ini), dan hanya menyalahkan orang muda kerana asyik dengan berasmara (make love), maka anda gagal menjelaskan apa yang berlaku pada ketika itu," kata Tang Ah Chai (gambar kanan, kanan).

Tidak cukup dengan contoh peringkat "global", Tang Ah Chai memetik contoh lokal, dengan menunjukkan kepada hadirin buku yang ditulis Sasterawan Negara (tahun 1982), Shahnon Ahmad yang berjudul Shit @ PukiMak @ PM.

Profesor Emeritus Universiti Sains Malaysia ini cuba menonjolkan "mahazalim" yang wujud selepas pemecatan Anwar Ibrahim selaku Timbalan Perdana Menteri dalam buku beliau yang mencungkil kontroversi - apabila menyifatkan ahli politik yang rasuah, menyalahgunakan kuasa bagaikan najis yang saling menghimpit dalam usus besar.

"Kalau perbincangan hanya tertumpu kepada penggunaan PM (PukiMak) dalam buku, ia juga merupakan satu perbincangan yang hilang fokus untuk saya," tambah Tang Ah Chai, yang menganggap bahawa isu pokok pada ketika buku diterbitkan adalah rasuah dan penyalahgunaan kuasa.

Hilang fokus

Tang Ah Chai, 49, mendapati dua pandangan yang ekstrem dalam isu Namewee, yang mungkin ada hubung kaitnya dengan unsur umur. Sementara golongan muda mengambil sikap "apa masalahnya" dengan kata-kata kesat dalam lagu Namewee, golongan yang usianya lebih lanjut pula sebaliknya tidak senang dengannya, dan mungkin menganggap Namewee agak "kurang ajar" dalam kelakuannya.

Namun, pandangan tersebut bukan apa yang diambil berat oleh Tang Ah Chai (gambar kanan). Beliau berkata, "Saya andaikan tujuan asal Namewee adalah untuk menentang rasisme, terutamanya menyasarkan kenyataan Pengetua ini. Jadi, sebelum Namewee muncul, Pengetua adalah tumpuan masalah yang sebenar. Setiap orang menyasarkan Pengetua, 'kamu belum meminta maaf', 'Kementerian Pelajaran masih tidak mengambil tindakan untuk menghukumnya'."

"Bila Namewee muncul, Namewee telah menggantikan kedudukannya. Pengetua pergi minum teh tarik...beliau tidak apa-apa. Sebaliknya Namewee dianggap sebagai orang yang nampaknya bermasalah," ulasnya.

Tang Ah Chai menambah, "Ini peralihan fokus pada pusingan pertama. Secara ringkasnya, tujuan asal untuk menentang orang yang bermasalah, (berakhir dengan) dirinya pula yang menjadi seorang yang bermasalah."

Beliau menyambung, "Keduanya, lagu itu dengan sendirinya bertujuan untuk menentang perkauman. Tetapi lagu sebagai hasil karya...setiap pencipta lagu mempunyai corak masing-masing, bergantung kepada faktor umurnya, latar belakang pendidikannya, suasana kerja yang berlainan...maka beliau mentafsir apa yang berlaku mengikut corak dirinya."

"Ada yang menganggap Namewee cukup berani, meluahkan suara yang terpendam dalam hati kita, meluahkan suara yang tidak berani untuk kita keluarkan, maka kita memberi tepukan kepadanya, " kata-kata Tang Ah Chai ini disambut tepukan gemuruh dari bawah pentas.

Sementaranya itu, ada pula orang yang semasa mentafsir karya ini, asyik berlegar dengan "kata-kata kesat" yang terkandung di dalam lagu, menurut Tang Ah Chai. "Malah mereka mempertikaikan, mengapa tidak menggunakan kelakuan yang lebih senonoh? Ini peralihan fokus pada kali kedua."

Beliau menjelaskan pendiriannya, "Saya bukan bermaksud untuk mengkritik bahawa Namewee melakukan kesilapan, atau karyanya tidak baik, tetapi hasil selepas karya ini disiarkan, sedikit sebanyak terlari dari matlamat asalnya. Satu-satunya matlamat yang tidak terpesong adalah, ia mendesak agar setiap orang berdepan dengan masalah secara langsung."

"Dan masalah ini adalah, rasisme yang wujud dalam negara ini," kata Tang Ah Chai, yang menegaskan bahawa "kata-kata kesat" bukan isu sebenar.

Namewee: Bukan masalah saya

Bagaimanapun, Namewee, 27, menafikan hujah "hilang fokus". Beliau berkata, dari kaca mata kerajaan, isu kenyataan rasisme oleh Pengetua bernama Siti Inshah Mansor telah selesai, sama ada Namewee muncul atau tidak. Mengulas "kata-kata kesat" dalam lagunya, Namewee menyalahkan mereka yang "kotor mata dan telinganya", kerana hanya nampak kata kesat dalam lagunya yang panjang lebar itu.

Sebaliknya, Namewee (gambar kanan) mempersalahkan media yang memperbesarkan isu "kata-kata kesat", sehingga terkaburnya fokus perbincangan. Ketika dihujani soalan daripada pengacara, Wong Shu Qi, juga wartawan senior MerdekaReview, Namewee menekankan bahawa kata-kata kesat bukan dibawa dan dipromosikan oleh dirinya, sebaliknya berkembang subur di kopitiam.

Namewee menganggap ia hanya sebagai cara penyampaian yang berbeza, melontarkan soalan sebaliknya, "Kalau saya nak tulis lagu untuk mengajak awek makan malam, apakah saya akan selitkan kata-kata kesat di dalam lagu?"

Namewee mengambil kesempatan untuk mengkritik media cetak yang dikawal pemerintah. "Ketika saya menerima wawancara bersama BBC, mereka media British... Mereka tanya, ada tak apa-apa yang tidak boleh saya katakan? Saya kata, saya boleh kata apa-apa sahaja, kerana kamu media British. Kalau media di Malaysia, maka benarlah mereka (media Malaysia) tak boleh kata sewenang-wenang."

Malah, Namewee menyeru agar orang awam tidak lagi membaca media cetak, sebaliknya membaca berita dari media internet. Untuk Namewee, internet adalah satu-satunya "tanah suci" untuk kebebasan bersuara, sambil mengingatkan bahawa seseorang perlu bersedia untuk berdepan dengan maklumat yang melambak di ruang internet.

Apa yang membezakan antara generasi zaman dahulu dengan zaman kini adalah, generasi zaman kini harus belajar untuk menapis sendiri maklumat ketika berdepan dengan internet melalui komputer, kata Namewee.

Bukan tanggungjawab pencipta muzik

Namewee menafikan sebermulanya bahawa lagunya mempunyai agenda, menegaskan bahawa dirinya adalah "pemuzik", dan bukan "politikus". Beliau sekadar mahu "meluahkan perasaannya" melalui muzik, tanpa mempeduli sama ada lagu itu memberi impak untuk membawa perubahan.

Beliau yang mendakwa dirinya hanya memberi reaksi apabila ditekan, dan bertujuan untuk menyebarkan kesedaran "anti-rasisme", diajukan soalan mengapa tidak menulis lagu untuk menyokong golongan minoriti seperti kaum India?

"Saya bukan pemain muzik politik, saya hanya pemain muzik," jawabnya dengan ringkas. Namewee yang sudah beberapa kali mencetuskan kontroversi, bermula dari Negarakuku sebelum Ogos 2007, dianggap bersikap "lepas geram sahaja", tanpa mahu bertanggungjawab ke atas perbuatan atau hasil karya dirinya.

"Bukannya saya tidak mahu bertanggungjawab, (kononnya) saya tidak bertanggungjawab selepas saya habis menulis lagu saya, bukan begitu..." Namewee (gambar kanan) kemudiannya membalas, "Takkan seseorang pencipta lagu perlu mengadakan satu sidang media untuk menjelaskan setiap lagu yang ditulisnya, seandainya orang tak faham lagunya itu?"

Tang Ah Chai menyokong pandangan Namewee ini, sambil menambah, "Kita tidak boleh mengarahkan seorang seniman atau karyawan untuk berkarya ikut cara ini dan itu, melainkan kita mengupahnya untuk menulis lagu iklan."

Tang Ah Chai mengambil contoh bagaimana penyampaian boleh terjelma dalam pelbagai bentuk, misalnya lagu Blowin' in the Wind, yang lembut iramanya, tetapi sarat dengan sentimen anti-perang semasa zaman 1960-an. Penyanyi Taiwan, misalnya Lo Da Yu yang muncul dengan pakaian hitam dan cermin mata gelap pada tahun 1980-an, mencabar masyarakat Cina yang pantang dengan warna hitam ketika itu.

Seandainya dilihat zaman sekarang, pakaian hitam telah menjadi trend, seolah-olah Lo Da Yu telah mendahului kita untuk 20 tahun. Untuk Tang Ah Chai, pertikaian terhadap cara penyampaian ini tidak memberi makna, "Siapakah kita untuk menentukan pakaian orang lain?"

"Balik tempat asal"

Tang Ah Chai bagaimanapun sempat berkongsi pengalamannya, bahawa kenyataan seperti "Balik China" atau "Balik India" telah didengarnya 20 tahun lebih awal lagi. Beliau menghadiri "Simposium Dasar dan Akta Pendidikan menjelang abad ke-21" pada tahun 1986, berdepan dengan seorang hadirin yang berucap selepas kertas kerja dibentangkan para ahli akademik.

"Ada sesetengah kaum dengan sengaja enggan memahami dasar pendidikan, dengan sengaja tidak menghormati Akta Pendidikan. Kalau tak suka, pulang ke tempat asal mereka!" Demikianlah kata-kata dari hadirin tersebut, tetapi cuma dibalas Menteri Pelajaran ketika itu, Abdullah Ahmad Badawi (gambar kiri) dengan "Ok, terima kasih", tanpa mengulas selanjutnya. Maka, segala-galanya berhenti di situ.

Untuk Tang Ah Chai, graduan National Taiwan University yang mengkaji sejarah, isu "balik ke tampat asal" adalah soalan yang palsu. Ini kerana definisi "bumiputera" dan "bukan bumiputera" hanyalah definisi politik, bukan takrifan sejarah malah bukan takrifan akademik.

"Jadi, tak apa...Kalau nak saya balik China, jadi kamu balik ke Sumatera. Orang India balik ke India. Jadi kita tinggalkan tanahair ini kepada Sakai dan Senoi. Kita tinggalkan sini bersama-sama."

Tang Ah Chai yang sudah puluhan tahun bergiat dalam gerakan sosial sempat memberi peringatan kepada mereka yang "syiok sendiri" dalam zon yang selesa buat dirinya. Beliau berkongsi pengalamannya ketika memperjuangkan pengiktirafan sijil Universiti Nanyang dan universiti di Taiwan pada tahun 1985.

Sekumpulan akademik cuba menjustifikasikan perjuangan itu dengan hujah bahawa taraf universiti Taiwan adalah setanding dengan taraf antarabangsa. Mereka yang keghairahan dalam tepukan masyarakat Cina ketika itu akhirnya sedar dari mimpi, apabila berdialog dengan sekumpulan wakil dari kaum Melayu dan India.

"Maka dia (salah seorang wakil) tanya, mengapa kamu asyik berlegar dengan Taiwan sahaja? Mengapa kamu tidak menyebut India? Ramai graduan dari India di Malaysia, malah mungkin antara doktor yang merawat kamu. Dan mereka juga tidak diiktiraf..."

Nanyilah kepada Melayu, India...

Tang Ah Chai berkata, "Maksud saya, dalam kebanyakan masa kita telah biasa untuk berada dalam zone yang amat selesa buat diri kita. Namun, apakah keselesaan itu sesuatu yang objektif? Kalau kita mendakwa diri melakukan sesuatu demi Malaysia, saya cadangkan kita jenguklah sikit dunia di luar sana."

Mereka akhirnya menukar konsepnya dari "tempat" (univerisiti) kepada "taraf akademik', dalam perjuangan mereka untuk pengiktirafan sijil universiti. Maka, Tang Ah Chai mencadangkan agar Namewee untuk bernyanyi di gelanggang yang berlainan. "Nyanyilah kepada Melayu, nyanyilah kepada India, dan dengar apa reaksi mereka."

Malah, Tang Ah Chai ketika memulakan dialog ini, secara berterus-terang berkata, "Sebenarnya, pada pandangan saya, orang yang paling sesuai untuk berdialog dengan Namewee pada hari ini ialah Siti Inshah, kalau bukan Ibrahim Ali...tetapi bukan saya..."

Bagaimanapun, Tang Ah Chai mungkin tidak menyedari bahawa sekumpulan anggota PERKASA telah berkumpul di luar dewan KL-SCAH, menuntut agar Namewee dan penganjurnya, Pemuda KL-SCAH untuk meminta maaf dan membatalkan aktiviti forum tersebut segera.


No comments:

Post a Comment