Saturday, December 19, 2009

Pakatan Rakyat bertunjangkan muafakat pimpinan dan rakyat

KUALA LUMPUR, 12 April (Hrkh) - Para pemimpin Pakatan Rakyat dalam satu kenyataan bersama menegaskan bahawa Pakatan amat komited untuk meneruskan agenda besar membangunkan negara dan memakmurkan rakyat tanpa ada sempadan kaum, agama serta budaya dan selaras dengan hak asasi sejagat manusia.

Dasar-dasar Pakatan adalah berpaksikan kepada perkara-perkara yang telah dipersetujui dan disepakati oleh semua pemimpin tiga parti iaitu, KeADILan, DAP dan PAS, kata kenyataan bersama Presiden PAS, Dato' Seri Tuan Guru Abdul Hadi Awang; Penasihat DAP, Lim Kit Siang dan Presiden KeADILan, Datin Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail hari ini.

Antaranya ialah membina negara ini atas landasan keadilan, membuka peluang untuk semua rakyat menikmati kemakmuran negara dengan memberi keutamaan kepada mereka yang miskin dan terpinggir, kata kenyataan itu.

Pakatan bukanlah medan bagi mana-mana pihak untuk memperjuang ideologi persendirian atau parti masing-masing, katanya.

Walaupun ada pihak yang memberi pandangan berbeza dari yang telah dipersetujui oleh pemimpin-pemimpin utama tiga parti dalam Pakatan, pandangan itu adalah pandangan peribadi yang tidak sama sekali mewakili mana-mana parti dalam Pakatan, kata kenyataan itu.

Oleh demikian, semua pemimpin dan ahli dalam Pakatan telah diarahkan menghentikan pandangan yang lain daripada muafakat bersama ini, katanya.

"Tidak ada parti yang menjadi tunjang Pakatan. Bahkan tunjang kekuatan Pakatan berpaksikan prinsip sama taraf dan berasaskan semangat pemuafakatan pimpinan Pakatan berteraskan mandat yang diberikan oleh rakyat dalam Pilihan Raya Umum Ke-12 yang lalu.

"Pakatan berazam melaksanakan dan membawa perubahan berlandaskan prinsip-prinsip demokrasi, keadilan sosio-ekonomi, peluang ekonomi yang saksama dan kebebasan beragma. Tugas besar ini kami tanggung bersama selaras dengan janji kami semasa Pilihan Raya Umum Ke-12 yang lalu," katanya.

Menurut kenyataan itu Pakatan telah melangkah ke hadapan dengan menyusun dan memantapkan lagi dasar untuk dilaksanakan oleh semua kerajaan negeri yang ditadbir oleh Pakatan dan juga untuk digunapakai oleh semua ahli Parlimen Pakatan apabila Parlimen bersidang nanti.

"Kami akan mengumumkan satu perisytiharan prinsip yang lebih menyeluruh kelak," kata kenyataan bersama itu

Dibawah adalah teks ucapan pemimpin Pakatan Rakyat

Anwar Ibrahim : Keyakinan kepada rakyat
Tuan Guru Hj Abdul Hadi Awang : Memperkukuh Pakatan Rakyat

Lim Guan Eng : Anak Malaysia milik semua

No comments:

Post a Comment