Sunday, March 21, 2010

Anwar diberi seminggu jelaskan 'One Israel'


Dewan Rakyat kecoh hari ini apabila ketua pembangkang diminta menjelaskan kenyataannya di dalam dewan minggu lalu yang mengaitkan kerajaan dengan sebuah firma penasihat Israel.

Datuk Abdul Rahman Dahlan (BN - Kota Belud) bangun menyatakan perkara itu bawah perkara 37 (1) yang dibacakan sekali dengan perkara 36(12) peraturan mesyuarat.

Katanya, beliau meminta Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim menjelaskan hal berkenaan ketika membahas usul menjunjung kasih Yang DiPertuan Agong pada 17 Mac lalu.

Abdul Rahman juga berkata, ahli parlimen Permatang Pauh dengan jelas menggunakan kenyataan yang memalukan dewan ini semasa membuat kenyataan tersebut.

Tindakan itu bagaimanapun menerima bantahan daripada wakil-wakil pembangkang yang bertindak menghalang Kota Belud meneruskan hujahnya, menyebabkan perbahasan tertangguh hampir sejam.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Nazri Aziz kemudiannya memberitahu timbalan speaker, Datuk Ronald Kiandee bahawa kerajaan memberi Anwar tempoh seminggu untuk membuktikan dakwaannya itu.

Sekiranya, Anwar gagal memberikan dalilnya, Nazri berkata kerajaan akan membentangkan usul supaya ketua pembangkang itu diheret ke jawatankuasa khas mengenai hak dan keistimewaan parlimen.

Kiandee kemudiannya bersetuju dengan cadangan itu memandangkan Anwar tidak berada di Dewan Rakyat hari ini.

Jumaat lalu, Nazri berkata jemaah menteri akan bermesyuarat untuk memutuskan sama ada Anwar perlu diheret ke jawatankuasa khas berkenaan.

Anwar sebelum ini, mendakwa Apco Worldwide, sebuah agensi perunding dilantik oleh kerajaan Malaysia adalah syarikat yang sama melakarkan slogan "One Israel'.

Menurut beliau, Apco pada 1999 menasihatkan perdana menteri Israel ketika itu, Ehud Barak untuk memperkenalkan slogan 'One Israel'.

Sekiranya Anwar didapati bersalah, beliau boleh digantung daripada menghadiri sidang parlimen untuk jangka masa yang ditetapkan oleh jawatankuasa berkenaan.

Bagaimanapun, Apco dalam satu kenyataan telah menafikan pembabitan pihaknya dengan konsep "One Israel' itu.

1 comment:

  1. Kehidupan pejuang, tetap meneruskan perjuangan miskipun sentiasan dihalang dan ditentang. Teruskan perjuangang jika perkara yang cuba ditegakkan akan membawa kepada kebangkitan umat islam dan mampu memelihara agama islam daripada kehancuran.
    Insyallah

    ReplyDelete