Sunday, March 28, 2010

Najib sedia jumpa Zul cari kebenaran fitnah kes Altantuya

KUALA LUMPUR, 27 Mac — Datuk Seri Najib Razak bersedia untuk bertemu dengan Ahli Parlimen Kulim-Bandar Baharu, Zulkifli Nordin yang mendedahkan telah ditawarkan ganjaran lumayan untuk mengaitkan beliau dan isterinya Datin Seri Rosmah Mansor dengan kes pembunuhan wanita Mongolia, Altantuya Shaariibuu empat tahun lalu.

Perdana Menteri berkata beliau ingin bertemu dengan bekas wakil rakyat Parti Keadilan Rakyat (PKR) itu kerana mahu mencari kebenaran, yang menurutnya kebenaran akan muncul juga pada akhirnya.

“Saya mahu mencari kebenaran kerana saya percaya kebenaran akan muncul juga akhirnya,” kata beliau selepas mempengerusikan mesyuarat Majlis Tertinggi (MT) Umno malam tadi.

Semalam genap setahun Najib dipilih sebagai Presiden Umno.

Menjawab soalan sama ada satu jawatankuasa khas wajar ditubuhkan untuk menyiasat dakwaan Zulkifli, Najib yang juga Presiden Umno dan Pengerusi Barisan Nasional memberitahu, beliau menyerahkan kepada polis untuk menjalankan siasatan mereka.

“Saya biarkan kepada polis (untuk siasatan),” kata beliau.

Tiga hari lalu Zulkifli, yang telah dipecat dari PKR memberitahu beliau akan berjumpa dan meminta maaf kepada individu tertentu termasuk Najib yang menjadi mangsa fitnah melibatkannya.

“Saya dah jumpa, dah cerita dan minta maaf kepada orang tertentu yang kena fitnah disebabkan duti yang telah saya laksanakan. Alhamdulillah diterima baik.

“Ada juga akan datang yang saya akan jumpa beberapa orang tertentu yang kita telah aibkan atau fitnahkan yang saya terlibat… (Perdana Menteri) saya akan jumpalah, kalau dia nak jumpa,” katanya.

Ketika membahas titah ucapan Yang di-Pertuan Agong di Dewan Rakyat Rabu lalu, Zulkifli membuat pendedahan mendakwa ditawarkan ganjaran besar untuk mengaitkan Najib dan isteri Datin Seri Rosmah Mansor dengan kes pembunuhan Altantuya.

Zulkifli juga mendedahkan bahawa beliau telah mengaitkan anak Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Seri Mohamed Nazri Aziz dengan kes pembunuhan sekitar tahun 2004.

Sementara itu Najib mengesahkan Menteri Luar Datuk Seri Anifah Aman kini semakin pulih selepas menjalani pembedahan pintasan jantung minggu lepas dan akan menyambung tugasnya seperti biasa apabila pulih kelak.

Malaysian insider

No comments:

Post a Comment