Tuesday, October 26, 2010

Belanjawan Seluar Dalam dan Pak Guard

Merdeka Review

Seperti tahun-tahun yang lampau, setiap kali Belanjawan dibentang, rakyat akan menanti-nantikan gula-gula yang bakal diumumkan bagi manfaat dan meningkatkan taraf hidup. Amat terkejut apabila dikaji dan diteliti Belanjawan tersebut tidak menampakkan ianya memfokuskan keperluan dan kehendak rakyat kebanyakan, malah, ianya kembali ke era Mahathir dan projek meganya. Di sudut yang lain pula, golongan kemiskinan tegar berhempas-pulas mencari sesuap makanan.

Melalui temanya dan bibit-bibit ucapan politiknya, sudah tentu Belanjawan 2011 ini akan menjurus ke arah Negara berpendapatan tinggi. Namun sebarang petanda bahawa Belanjawan disediakan selaras dengan tema yang menjadi modal air liur sejak kebelakangan ini. Mereka mendakwa kononnya Belanjawan kali ini Belanjawan untuk rakyat, sedangkan rakyat sendiri menggelar Belanjawan kali ini sebagai "Belanjawan Seluar Dalam".

Gaji Posmen menjadi kayu ukur

Kononnya Belanjawan kali ini memberi pengiktirafan kepada posmen dan pegawai sekuriti (sebut pak guard). Selepas ditanya posmen yang menghantar surat setiap hari ke rumah, rupa-rupanya gaji pokok seorang posmen selama ini adalah sebanyak RM610.00 dan hanya dinaikkan sehingga RM710 sebulan. Sukar juga apabila cuba memahami logik di sebalik meletakkan gaji pokok minimum pegawai sekuriti yang ditetapkan antara RM500 hingga RM700 sebulan, mengikut pemerhatian dan pengetahuan kita, gaji minima pegawai sekuriti sememangnya di sekitar RM700 sebulan.

Mengikut Kajian Kementerian Sumber Manusia mengenai gaji pekerja dalam negara mendapati bahawa hampir 34% daripada kira-kira 1.3 juta pekerja memperolehi pendapatan bulanan bawah RM700. Barangkali posmen dengan pendapatan RM700.00 sebulan itu adalah kayu ukur kepada apa yang dimaksudkan dengan Negara berpendapatan tinggi.

Sama ada pendapatan sebanyak RM700.00 memadai untuk kadar tol yang sedia ada, harga petrol yang dinaikkan secara diam-diam, harga gula, kopi, teh, susu, dan sebagainya, itu cubalah kita serahkan kepada pengguna sendiri untuk dinilai. Kajian Bank Dunia mendapati bahawa pergerakan gaji di Malaysia hanya mencatatkan pertumbuhan 2.6% setiap tahun sejak 10 tahun lepas berbanding dengan peningkatan kos hidup dalam tempoh itu. Kita juga yakin Menteri Sumber Manusuia S. Subramaniam mengetahui hal ini, mungkin beliau gagal meyakinkan penasihat fesyen Yang Amat Berhormat Perdana Menteri yang segak berbaju Melayu berwarna merah jambu ketika membaca Belanjawan.

Pemilikan Rumah

Beralih pula kepada ilusi hebat dalam bajet kali ini, pinjaman kepada orang muda untuk memudahkan mereka memiliki rumah. Apa kerajaan mahu menjadikan semua rakyat sebagai penghutang sepanjang hayat? Apa logik di sebalik kemudahan pinjaman ini sedangkan laporan Bank Negara menerangkan bahawa sebanyak 50% daripada pemegang kad kredit yang diisytiharkan muflis adalah mereka yang berusia di bawah 30 tahun. Sedangkan pinjaman PTPTN dan kos menampung hidup pun sudah membebankan, siapa yang mahu membeli rumah?

Ilusi yang kedua pula, janji tidak menaikkan tol lebuh raya utara selatan bagi tempoh lima tahun yang akan datang, sedangkan kerajaan terpaksa membayar ganti rugi kepada PLUS yang hampir RM5 bilion ringgit bagi tempoh tersebut. Muslihat yang sama digunakan ketika potongan 20% bagi pengguna Touch & Go diumumkan. Jika disemak syarat-syarat untuk potongan tersebut diberi adalah berasaskan frekuensi penggunaan tol dan bukannya berasaskan nilai tol, dan cara tuntutannya pun tidak otomatik dan memerlukan tuntutan dibuat sebelum potongan diberikan.

Ramai yang tidak mengetahui bahawa bajet kali ini merupakan bajet yang paling besar dalam tempoh 12 tahun yang lalu dengan nilai RM213.9 billion. Apa yang ganjil adalah nilai yang diperuntukan bagi pembangunan hanya sebanyak RM23.9 billion manakala kos operasi pula sebanyak RM76.1 billion. Adakah wajar apabila meletakkan kos operasi kerajaan lebih tinggi daripada peruntukan pembangunan?

Hina rakyat

Persoalan yang lebih menarik adalah penghapusan duti impot terhadap kira-kira 300 barangan yang kononnya kegemaran pelancong dan rakyat tempatan dimansuhkan bagi menjadikan Malaysia syurga membeli belah. Siapa yang membeli-belah? Rakyat kebanyakan menanggung beban hutang yang pelbagai sehinggakan bil-bil isi rumah pun tidak terbayar. Yang selalu membeli-belah di Malaysia adalah isteri-isteri ahli politik yang disegani. Jika benar bajet kali ini bajet daripada rakyat, kami ingin tahu rakyat mana yang mahukan cukai terhadap beg, kemeja, pengilat kuku, seluar dalam, dan baju tidur dihapuskan? Tidakkan mereka peka bahawa setiap minggu orang ramai berpusu-pusu dan snggup bersesakan ke pasar-pasar malam mingguan. Adakah mereka mencuci mata? Sudah tentu untuk mendapatkan barangan keperluan harian yang murah di di pasar malamlah tempat mereka memperolehinya.

Sedangkan seluar dalam yang dipakai rakyat kebanyakan pun tidak lebih RM10.00, ini pula mahu menghapuskan cukai terhadap seluar dalam import yang digemari pelancong dan isteri-isteri menteri? Apa kerajaan sudah gila? Pelancong asing, seluar dalam, dan baju tidur menjadi keutamaan, sedangkan ramai lagi rakyat Malaysia yang perit mencari wang untuk yuran pendidikan, untuk menyara keluarga, untuk membeli susu bagi bayi mereka. Ini menghina rakyat namanya, sanggup kerajaan mempersenda keperitan yang menimpa golongan kelas bawahan dengan memansuhkan cukai terhadap barangan yang tidak bermakna bagi mereka.

Penghinaan yang paling ketara dalam Belanjawan kali ini semestinya projek Warisan Merdeka yang semegah 100 tingkat. Jika ditinjau dalam ruang internet, laman sosial terkemuka FacebookMalaysians Reject 100-storey Mega Tower. Kerajaan telah menafikan bahawa kos pembangunan tersebut adalah daripada perbendaharaan Negara, jika begitu mengapa diumumkan oleh Yang Amat Berhormat Perdana Menteri dalam Belanjawan tahunan? telah mencatatkan lebih 160,000 (setakat ini) penyokong bagi laman

Pada 13 Februari 2010 penulis sendiri pernah melawat Dubai dan mengambil peluang untuk ke Burj Khalifah (bangunan tertinggi di dunia dengan ketinggian 828m). Kos pembinaannya ialah USD1.5 billion (RM4.6 billion) sahaja.

Projek tersebut kini menjadi sasaran kemarahan orang ramai yang berpendapat wang sebanyak RM5 billion lebih berbaloi jika digunakan untuk memperbaiki bidang pendidikan, kesihatan dan usaha-usaha untuk membasmi kemiskinan. Kami berasa senang apabila rakyat sudah mula sedar akan tindak-tanduk kerajaan yang tidak masuk akal. Mungkinkah projek tersebut sebenarnya satu muslihat untuk mengikat kerajaan Persekutuan dengan kontrak sebegitu besar sementara menanti kekalahan dalam pilihanraya umum yang akan datang?

*Faisal Mustaffa dan Lingswaran Singh ialah penulis bebas.


No comments:

Post a Comment