Friday, October 15, 2010

Pilihan raya kecil Batu Sapi serentak DUN Galas

Malaysian Insider

PUTRAJAYA, 15 Okt — Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menetapkan 4 November sebagai hari pengundian bagi pilihan raya kecil Parlimen Batu Sapi, Sabah manakala 26 Oktober sebagai hari penamaan calon.

Dengan keputusan itu, pilihan raya kecil kerusi DUN Galas di Kelantan dan Parlimen Batu Sapi, Sabah akan diadakan serentak sebagaimana diamalkan awal tahun lalu membabitkan tiga kawasan.

Pada minggu lalu, SPR menetapkan pilihan raya kecil kerusi Galas akan diadakan 4 November.

Tarikh pilihan raya kecil yang ke-13 ini diumumkan oleh Pengerusi SPR Tan Sri Abdul Aziz Mohd Yusof selepas mesyuarat khas hari ini.

Mengenai pilihan raya serentak, Aziz berkata keputusan itu berdasarkan faktor undang-undang tidak melarang berbuat demikian dan pengalaman SPR sebelum ini yang mengadakan pilihan raya kecil secara serentak di tiga tempat iaitu di Bukit Gantang, Bukit Selambau dan Batang Ai tahun lalu.

Beliau berkata jika dijalankan serentak, tempoh untuk mengadakan pilihan raya kecil itu menjadi pendek berbanding secara berasingan, sekali gus menjimatkan masa, perbelanjaan SPR dan mengurangkan ketegangan.

Katanya selain itu, SPR melihat tarikh berkenaan sebagai yang terbaik memandangkan faktor ruang yang terhad berikutan banyak peristiwa berlaku menjelang hujung tahun seperti sambutan perayaan Deepavali, Hari Raya Aidiladha, sidang DUN Sabah, awal Muharram, peperiksaan SPM.

“Dan yang paling penting, Sabah telah menyatakan kesediaannya untuk menghadapi pilihan raya kecil,” katanya selepas mengadakan mesyuarat khas berhubung pilihan raya kecil itu di sini.

Kerusi Batu Sapi kosong ekoran kematian penyandangnya, Datuk Edmund Chong Ket Wah pada Sabtu lalu.

Chong yang juga Bendahari Agung PBS meninggal dunia selepas motosikal berkuasa tinggi yang ditungganginya terlibat dalam nahas jalan raya dengan sebuah kereta di Jalan Coastal, Tanjung Aru, Kota Kinabalu.

Parlimen Batu Sapi mempunyai dua DUN iaitu Sekong diwakili Datuk Samsudin Yahya daripada BN dan DUN Karamunting oleh Timbalan Ketua Menteri Datuk Peter Pang En Yin yang kini wakil rakyat Bebas menyokong BN selepas keluar daripada Parti Liberal Demokratik bulan lepas.

Pada pilihan raya umum 2008, Chong memenangi kerusi tersebut setelah menewaskan calon Bebas Chung Kwong Wing dengan majoriti 3,708. Mendiang memperoleh 9,479 undi manakala Chung meraih 5,771 undi.

Aziz berkata daftar pemilih yang akan digunakan untuk pilihan raya kecil itu ialah Daftar Pemilih Induk (DPI) 2009 yang digabungkan dengan Daftar Pemilih Tambahan Suku Tahun Pertama dan Suku Tahun Kedua 2010 yang telah dikemas kini sehingga 9 Oktober lalu.

Katanya daftar pemilih tersebut mengandungi 25,582 pemilih berdaftar yang terdiri daripada 24,047 pemilih biasa dan 1,535 pemilih pos.

Beliau berkata dua DUN di kawasan Parlimen Batu Sapi iaitu masing-masing Sekong dan Karamunting, mempunyai 11,321 dan 14,261 pengundi.

Aziz berkata daripada segi kaum, di DUN Sekong, seramai 2,167 atau 19 peratus merupakan kaum Melayu, Cina - 2,366 (21 peratus), India - 37 (0.03 peratus), Bumiputera Sabah - 6,031 (53 peratus), Bumiputera Sarawak - 41 (0.36 peratus), Orang Asli - 3 (0.03 peratus), dan lain-lain - 676 (6 peratus).

Katanya bagi DUN Karamunting pula, seramai 5,000 atau 20 peratus ialah kaum Melayu, Cina - 9,546 (37 peratus), India - 92 (0.36 peratus), Bumiputera Sabah - 9,565 (37 peratus), Bumiputera Sarawak - 158 (0.62 peratus), Orang Asli - 8 (0.03 peratus), dan lain-lain - 1,213 (5 peratus).

Beliau berkata daripada segi bilangan umur, kedua-dua DUN tersebut membabitkan umur 21 hingga 90 tahun ke atas.

Katanya SPR melantik Setiausaha Majlis Perbandaran Sandakan Mohamad Hamsan Awang Supain sebagai Pegawai Pengurus Pilihan Raya dan empat orang penolong pegawai pengurus.

SPR akan menggunakan Dewan Masyarakat Sandakan sebagai pusat penamaan calon dan pusat penjumlahan rasmi undi manakala 11 buah sekolah dan sebuah perpustakaan wilayah akan digunakan sebagai pusat mengundi yang mengandungi 45 saluran tempat mengundi.

Aziz berkata SPR bersetuju untuk menubuhkan dua pasukan penguat kuasa kempen pilihan raya bagi tujuan memantau semua aktiviti kempen pilihan raya sepanjang tempoh rasmi berkempen.

Katanya RM1.3 juta diperuntukkan untuk menjalankan pilihan raya kecil itu yang akan dikendalikan oleh 405 petugas.

Beliau berkata pihaknya menjangkakan peratusan keluar mengundi akan meningkat kepada 80 peratus berbanding 63.1 peratus pada pilihan raya umum lalu.

SPR turut menjangkakan pengumuman keputusan akan dibuat serentak bagi kedua-dua pilihan raya kecil berkenaan iaitu kira-kira pukul 8 malam.

Beliau berkata selepas 28 April tahun depan, pilihan raya kecil tidak perlu diadakan berikutan hanya tinggal tempoh dua tahun sebelum pilihan raya umum ke-13 diadakan.

No comments:

Post a Comment