KUALA LUMPUR, 9 Dis: Semua pihak mestilah menumpukan keutamaan untuk mengalahkan Umno dan Barisan Nasional (BN) terlebih dahulu dan jangan tersasar dengan isu-isu tidak relevan dan tidak matang, kata Naib Presiden PAS Datuk Mahfuz Omar.
"Dalam hal ini, adalah sangat tepat penegasan (Presiden PAS) Tuan Guru (Datuk Seri) Abdul Hadi Awang bahawa apa yang penting kita menang pilihan raya dan Pakatan Rakyat (PR) boleh menilai siapa pemimpin yang boleh diterima semua rakyat.
"Ada isu yang tidak relevan buat masa ini dan ada pula yang belum matang untuk diperdebatkan. Yang paling penting dan paling relevan ialah usaha habis-habisan untuk mengalahkan Umno dan BN dalam pilihan raya akan datang," katanya.
Mahfuz percaya, banyak perkara yang masih belum matang untuk dibangkitkan boleh diselesaikan dengan penuh hemah berdasarkan prinsip demokrasi dan perundingan yang seimbang dan bertanggungjawab.
"Bagi PAS, setiap kali kita berunding dengan mana-mana pihak pun, kita berpegang tegas dengan tujuan perjuangan kita untuk mendirikan agama dan berpolitik dengannya sambil memberikan pertimbangan kepada realiti semasa.
"Malah, Rasulullah s.a.w. sendiri sentiasa memberi pertimbangan kepada realiti semasa sehingga dibantah oleh sahabat-sahabat tertentu kerana menganggap baginda terlalu bertolak ansur," kata Ahli Parlimen Pokok Sena itu.
Mahfuz begitu yakin, pendirian tegas untuk mendirikan agama dan berpolitik dengannya dan kerananya akan membawa kesejahteraan kepada semua pihak kerana Islam bukan sahaja ajaran yang sangat rasional dalam hubungan sesama manusia malah ia adalah rahmat bagi seluruh alam.
"Apa yang penting, adalah menjadi tanggungjawab kita untuk membuktikan Islam adalah rahmat kepada seluruh alam dengan tingkah laku, perbuatan dan amalan politik kita dan jangan melakukan tindakan yang menyebabkan Islam dituduh akibat persepsi terhadap kita," katanya.
Presiden PAS baru-baru ini menegaskan bahawa PR bergerak secara kolektif.
"Apa yang penting kita menang pilihan raya dan Pakatan Rakyat boleh menilai siapa pemimpin yang boleh diterima semua rakyat
“Ketua bukan semesti PAS, bukan semesti PKR, tidak semestinya... kemungkinan ada orang Umno yang masuk PAS, ada orang Umno yang masuk PKR ada tokoh-tokoh mereka atau daripada kalangan kita sendiri yang jadi pemimpin,” katanya. |
No comments:
Post a Comment