KEPALA BATAS, 19 Dis — Pakatan Rakyat (PR) menawarkan Program 100 Hari yang terdiri daripada 10 inisiatif jika pihaknya mengambil alih Putrajaya dalam pilihan raya umum ke-13.
“Pakatan Rakyat akan melaksanakan reformasi menyeluruh dalam semua aspek pengurusan negara, ekonomi, pendidikan dan sebagainya berdasarkan prinsip yang digariskan dalam Dasar Bersama,” kata Pakatan Rakyat dalam “Buku Jingga” yang dikeluarkan pada konvensyen keduanya di sini, hari ini.
Kata “Buku Jingga” itu, sebagai permulaan kepada reformasi tersebut, dalam 100 hari “kami mendapat mandat rakyat, kami akan melaksanakan 10 program”, antaranya memansuhkan Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA), mengarahkan Khazanah Berhad dan Kumpulan Wang Simpanan Pekerja dan lain-lain badan milik kerajaan yang memiliki konsesi lebuh raya untuk menyempurnakan ambil alih aset lebuh raya oleh kerajaaan dengan tujuan menghapuskan tol.
— Merombak struktur subsidi negara bagi mengurangkan subsidi kepada pihak swasta seperti subsidi gas sebanyak RM19 bilion kepada penjana bebas dengan memindahkannya bagi menampung perbelanjaan subsidi rakyat
— Menghargai peranan guru sebagai pendidik bangsa dengan menaikkan memperkenalkan imbuhan perguruan sebanyak RM500 sebulan setiap seorang
— Menjadikan air sebagai hak rakyat dengan mengembalikan semua konsesi pengurusan air yang diuruskan swasta kepada kerajaan
— Menyediakan perkhidmatan internet wifi percuma kepada semua rakyat di kawasan bandar dan separa Bandar
— Membatalkan Felda Plantations bagi tujuan membuka ladang-ladang yang kini diuruskannya kepada generasi kedua dan ketiga Felda
— Menaikkan royalti minyak kepada Sabah dan Sarawak kepada 20 peratus
— Menubuhkan Suruhanjaya Diraja bagi memulihkan sistem kehakiman
— Menubuhkan Suruhanjaya Diraja bagi menyelesaikan kemelut pendatang tanpa izin dan kerakyatan di negeri Sabah
Sementara itu, Setiausaha Agung DAP Lim Guan Eng (gambar) dalam ucapan majlis perasmian berkata, sekiranya Dasar Bersama Pakatan Rakyat boleh membawa perubahan kepada rakyat Malaysia, maka Program 100 Hari menggariskan secara terperinci dan menyeluruh langkah-langkah spesifik secara permulaan untuk menjalankan urus tadbir baik demi kesejahteraan rakyat Malaysia.
“Program 100 Hari ini benar-benar adalah harapan rakyat Malaysia yang dapat melihatkan reformasi kompreshensif yang kian mantap dan mendalam diusahakan oleh kerajaan-kerajaan negeri Pakatan di Pulau Pinang, Kedah, Selangor dan Kelantan.
“Bagi pihak Pakatan Pulau Pinang, kesediaan Program 100 Hari ini menerima pakai dua inisiatif kami amatlah dihargai iaitu program liputan Wifi percuma yang akan siap akhir tahun depan dan RM100 setahun kepada warga emas melebihi 60 tahun akan diberikan pula RM1,000 setahun kepada semua warga emas di Malaysia oleh Pakatan di peringkat pusat,” katanya.
Bagaimanapun menurut Ketua Menteri Pulau Pinang ini, Program 100 Hari bukanlah untuk semua orang.
“Bukan untuk orang yang menentang konsep kerajaan berjiwa rakyat, melawan martabatkan rakyat dan memusuhi ketuanan rakyat.
“Program 100 Hari ini adalah untuk rakyat Malaysia sebenar, tulen dan watan.
“Siapa rakyat Malaysia sebenar ini yang sering dilupakan oleh media massa dan kerajaan BN?” katanya. Sehubungan itu kata beliau, sebelum mengenal pasti mereka, Pakatan Rakyat terlebih dahulu harus menyatakan siapa yang bukan Malaysia sebenarnya.
“Saya ingin mula dengan mereka yang hanya tahu benci-membenci dengan menggunakan fahaman eskstremis baik aspek kaum, jantina mahupun agama.
“Golongan yang hanya tahu mendisrkiminasi, menganiayai dan merendahkan orang lain malah meraikan peristiwa berdarah 13 Mei bukanlah rakyat Malaysia sebenar. “Kebanyakan mereka pendokong dan peminat Utusan Malaysia dan BN yang hanya peralatkan isu 3R (kaum, agama dan raja),” katanya.
Katanya lagi, satu lagi gologan ialah yang bukan ‘real Malaysians’ adalah yang tamak haloba di mana demi godaan wang rasuah atau yang lain rela menjualkan segala-galanya.
“Tambah pula kaki fitnah dan tohmah, golongan mata duitan, materialisme dan penipu ini bukan juga rakyat Malaysia sebenar.
“Kita tidak boleh pertimbangkan suatu lagi golongan yang hanya mahu syok sendiri atau suka tunjuk pandai. Kalau tak diberikan tempat atau ikut nafsu jahat mereka, maka mereka akan lompat atau belah sahaja.
“Yang kesemua ini bukan rakyat Malaysia sebenar, mereka ini Malaysia Celup or ‘pseudo-Malaysians’,” kata beliau.
Rakyat Malaysia yang sebenarnya adalah rakyat biasa yang pentingkan hak ekonomi dan masa depan agar kehidupan mereka bukan sahaja lebih senang tetapi masa depan untuk anak-anak adalah lebih cerah dan baik. Inilah rakyat Malaysia sebenar yang kita di Pakatan harus tumpukan.
Lim berkata, beliau percaya rakyat Malaysia sebenar mahukan sebuah masayarkat aman, tenteram dan penyayang serta menyokong prinsip keadilan, kebenaran, kebebasan, kebajikan dan ketakwaan kepada Tuhan.
“Pakatan harus fokuskan perhatian dan usaha gigih kita ke atas golongan pertengahan ini yang merupakan majoriti terbesar dan sering dilupai oleh media massa dan BN,” katanya.
No comments:
Post a Comment