Monday, December 20, 2010

Nasionalisme Ala UMNO : Pelampung Bocor Di Tengah Lautan

Ekoran dinasihatkan oleh doktor untuk berehat, saya tidak berkesempatan untuk turut serta di Konvensyen Pakatan Rakyat kali ke-2 yang diadakan di Kepala Batas, Pulau Pinang bermula esok, 19 Disember 2010. Bagaimanapun,saya sentiasa mengutuskan harapan agar konvensyen tersebut berjalan dengan lancar dan dapat menyimpulkan resolusi-resolusi penting khususnya di dalam mendepani pilihanraya umum yang akan datang.

Saya sentiasa optimis, UMNO dan Barisan Nasional sudah sampai di penghujung hayat di dalam memimpin negara. Jika saya boleh datangkan perumpamaan, UMNO adalah umpama pohon yang sedang mereput akarnya, sekalipun mungkin kelihatan dari zahir daunnya masih merimbun, ia sebenarnya menunggu masa untuk rebah ke bumi. Jika ada yang masih memilih untuk berteduh di bawah pohon yang bernama UMNO ini, mereka perlu bersedia untuk ditimpa bahaya. Jika diumpamakan pelampung di tengah lautan, nasionalisme yang dibawa UMNO tidak lebih daripada pelampung yang bocor, mereka yang berpaut padanya mengharapkan untuk selamat, sayang sekali ia bukan menyelamatkan, tetapi menenggelamkan.

Saya nukilkan demikian kerana jelas sekali Ketuanan Melayu yang dibawa oleh UMNO semakin tidak laku untuk dipasarkan kepada rakyat yang semakin cerdik. Hari ini akhbar-akhbar menyiarkan keputusan Jawatankuasa Fatwa yang menolak cadangan untuk membuka peluang kepada orang bukan Islam menjadi Peguam Syarie. Dalam erti kata lain, Islam menjadi syarat kepada sesiapa untuk menjadi Peguam Syarie.

Soalan saya mudah sahaja, kenapa tidak ditambah syarat Melayu? Adakah seorang bukan Melayu yang beragama Islam boleh menjadi Peguam Syarie? Jika boleh, apakah bezanya dengan menjadi Timbalan Perdana Menteri? Baru sahaja beberapa minggu lepas saya dihentam teruk apabila menyatakan persetujuan terhadap cadangan melantik YB Lim Kit Siang sebagai Timbalan Perdana Menteri jika Pakatan Rakyat menawan Putrajaya, ketika itu saya sudah meletakkan syarat persetujuan bahawa beliau hendaklah seorang muslim. Bukankah pada masa itu saya digelar pengkhianat Melayu? Atas nama Ketuanan Melayu, saya dianggap sanggup menjual maruah bangsa, hari ini adakah Jawatankuasa Fatwa pula menjual maruah bangsa?

Hakikatnya, Melayu yang kononnya dibela oleh UMNO hanyalah omong-omong kosong semata-mata. Berkali-kali saya nyatakan, ancaman kononnya Melayu akan menghadapi bahaya jika Pakatan Rakyat memenangi pilihanraya hanyalah cerita dongengan UMNO, ia tidak lebih daripada cerita seorang pengembala kambing berbohong dengan bertempik menyatakan kambingnya dimakan oleh serigala. Kali pertama mungkin dipercayai, tapi kali seterusnya, bohong itu semakin tidak laku. Jika keputusan yang dibuat oleh Jawatankuasa Fatwa itu masih belum mencukupi untuk menyokong hujah saya, bagaimana pula dengan tulisan Presiden Persatuan Peguam Muslim Malaysia (PPMM), Saudara Zainul Rijal Abu Bakar seperti yang tersiar di dalam Berita Harian, 13 Disember yang lepas? (rujuk di sini) Jika ada yang terlepas pandang, sukalah saya nukilkan sedikit tulisan beliau yang antara lain menyebut :

“Jika kita melihat dalam Perlembagaan, memang benar tidak disebut dengan jelas bahawa PM dan timbalannya mesti terdiri daripada kalangan orang Melayu. Oleh kerana tiada syarat spesifik seorang PM dan TPM adalah Melayu, saya berpandangan orang bukan Melayu boleh dilantik menjadi PM atau TPM.”

dan :

“Disebabkan itu, saya berpandangan seorang bukan Melayu boleh dilantik menjadi PM atau timbalannya dengan syarat orang bukan Melayu itu adalah seorang mukmin yang tegas melaksanakan ubudiahnya kepada Allah SWT.”

Jika saya yang menyatakan demikian dituduh sebagai menjual maruah bangsa Melayu, maka bagaimana dengan tulisan tersebut di atas yang tersiar di dalam akhbar pro-UMNO? Di mana pemimpin-pemimpin UMNO yang sibuk menghentam saya sewaktu saya mengeluarkan pandangan yang sama beberapa minggu lepas? Terlampau sibuk mengasap keris untuk dijulang mempertahankan Ketuanan Melayu, hingga leka dengan ribut petir di luar jendela? Saya menyeru sekali lagi, baliklah kepada Islam. Islam menjanjikan keadilan untuk semua bangsa. Tanpa mengira warna kulit, Islam sebagai agama yang sempurna jauh lebih bernilai daripada nasionalisme yang dijunjung oleh sesetengah pihak di negara ini.

Renungilah firman Allah SWT :

لَقَدْ أَرْسَلْنَا رُسُلَنَا بِالْبَيِّنَاتِ وَأَنْزَلْنَا مَعَهُمُ الْكِتَابَ وَالْمِيزَانَ لِيَقُومَ النَّاسُ بِالْقِسْطِ وَأَنْزَلْنَا الْحَدِيدَ فِيهِ بَأْسٌ شَدِيدٌ وَمَنَافِعُ لِلنَّاسِ وَلِيَعْلَمَ اللَّهُ

مَنْ يَنْصُرُهُ وَرُسُلَهُ بِالْغَيْبِ إِنَّ اللَّهَ قَوِيٌّ عَزِيزٌ

Yang bermaksud : Demi sesungguhnya! Kami telah mengutus Rasul-rasul Kami dengan membawa bukti-bukti dan mukjizat yang jelas nyata, dan Kami telah menurunkan bersama-sama mereka Kitab Suci dan keterangan yang menjadi neraca keadilan, supaya manusia dapat menjalankan keadilan dan kami telah menciptakan besi dengan keadaannya mengandungi kekuatan yang handal serta berbagai faedah lagi bagi manusia. (Dijadikan besi dengan keadaan yang demikian, supaya manusia menggunakan faedah-faedah itu dalam kehidupan mereka sehari-hari) dan supaya ternyata pengetahuan Allah tentang orang yang (menggunakan kekuatan handalnya itu untuk) menegak dan mempertahankan ugama Allah serta menolong Rasul-rasulNya, padahal balasan baiknya tidak kelihatan (kepadanya); sesungguhnya Allah Maha Kuat, lagi Maha Kuasa. – Surah al-Hadid, ayat 25.

Lihatlah bagaimana ayat di atas jelas sekali menyatakan tujuan al-Quran diturunkan oleh Allah SWT ialah untuk dilaksanakan kandungannya yang tentu sekali akan membawa kepada keadilan. Lalu disebut peranan besi sebagai satu ibarat terhadap kekuasaan yang perlu dimiliki oleh orang Islam. Justeru, PAS berjuang untuk mendapatkan kuasa kerana dengan kuasa itulah keadilan dapat ditegakkan. Contohnya di Kelantan, dengan kuasa yang ada untuk memerintah negeri, PAS mampu melaksanakan dasar-dasar yang selari dengan syariat Islam yang tidak pernah dilakukan oleh UMNO. UMNO sudah terlalu lama berada di tampuk kuasa, namun tanpa Islam sebagai asas perjuangan, UMNO hanya mampu bertempik di atas nama bangsa Melayu semata-mata yang tentu sekali tidak akan memberikan kepuasan kepada bangsa lain. Lebih jauh lagi ada pula yang mendakwa tindakan mempersoalkan Ketuanan Melayu ialah budaya pluralisme!

Saya sentiasa menyebut agar perlulah selamanya kita meyakini bahawa hidup ini akan berakhir dengan akhirat. Manusia akan berdiri di hadapan Allah SWT di padang mahsyar kelak untuk menjawab setiap persoalan yang akan dikemukan tanpa berpeluang lagi untuk berbohong atau memanipulasi undang-undang. Justeru, bukan pilihanraya yang digeruni oleh seorang muslim, tetapi keadaan dirinya di akhirat kelak. Sekurang-kurangnya perhatikanlah sepatah pesanan Allah SWT :

وَقِفُوهُمْ إِنَّهُم مَّسْئُولُونَ

Yang bermaksud : "Dan hentikanlah mereka (menunggu), kerana sesungguhnya mereka akan disoal” – Surah al-Shaffat, ayat 24.

Ingatlah perjalanan hidup ini hanyalah satu permusafiran yang sementara. Akan tiba masanya kita akan meninggalkan segala apa yang dimiliki untuk berada di hadapan Allah SWT kelak. Pada masa itu, jika sekular yang menjadi pegangan kita, sekularlah yang akan menjadi teman kita di sana. Kata pepatah Arab :

ليس الغريب غريب الدار و الوطن إن الغريب غريب اللحد و الكفن

Yang bermaksud : Tidaklah dagang itu dagang meninggalkan negeri dan tanah air, tetapi dagang yang sebenarnya ialah dagang di liang lahad diselimuti kain kafan.

Inilah tujuan hidup manusia. Manusia tidak hadir ke dunia hanya untuk memikirkan pembangunan fizikal semata-mata, tetapi yang lebih utama ialah melakukan persediaan untuk ke akhirat. Atas tujuan inilah, rebah bangun dan sakit pening rela saya harungi demi menyebarkan kefahaman Islam seluas mungkin. Saya harapkan dari amalan ini menjadi pahala di sisi Allah SWT kelak. Cuma izinkan saya bertanya, adakah pemimpin UMNO juga turut merasakan perjuangan mereka mengenepikan Islam dan berkiblatkan ideologi nasionalisme sekular turut menjadi pahala di sisi Allah SWT nanti?

Jika boleh, sekali sekala berfikirlah sejenak merenung kembali, kenapakah UMNO terus tegar melawan PAS? Jika apa yang tidak betul yang dilaksanakan oleh PAS sepanjang 20 tahun menjadi kerajaan di Kelantan, sila tunjukkan untuk kita perbetulkan. Syaratnya perkara yang didakwa tidak betul itu benar-benar bercanggah dengan Islam, bukan hanya kerana bercanggah dengan hawa nafsu. PAS hanya meyalin apa yang dibawa oleh Rasulullah SAW. Jika PAS tidak betul, maka Rasulullah SAW juga tidak betul, benarkah demikian? Tentu sekali tidak. Lalu, mana hujah UMNO untuk terus menentang PAS? Jangan hanya kerana tidak boleh berhujah, kami dinafikan pula hak kami sebagai rakyat negara ini.

Bukankah Allah SWT berfirman :

وَإِنْ كُنْتُمْ فِي رَيْبٍ مِمَّا نَزَّلْنَا عَلَى عَبْدِنَا فَأْتُوا بِسُورَةٍ مِنْ مِثْلِهِ وَادْعُوا شُهَدَاءَكُمْ مِنْ دُونِ اللَّهِ إِنْ كُنْتُمْ صَادِقِينَ

Yang bermaksud : Dan kalau kamu ada menaruh syak tentang apa yang Kami turunkan (Al-Quran) kepada hamba kami (Muhammad), maka cubalah buat dan datangkanlah satu surah yang sebanding dengan Al-Quran itu, dan panggilah orang-orang yang kamu percaya boleh menolong kamu selain dari Allah, jika betul kamu orang-orang yang benar. – Surah al-Baqarah, ayat 23.

Allah SWT sendiri mengajak manusia berhujah jika tidak yakin dengan kitab yang diturunkanNya. Hujah manusia ialah dengan mendatangkan kitab setanding al-Quran. Kami juga berdiri untuk bersedia menerima hujah UMNO jika dasar PAS salah dari sudut syarak. Jika UMNO tidak mampu mendatangkan hujah, jelas sekali UMNO yang perlu mengubah dasar, tinggalkan sahaja sekular, marilah kepada Islam

Pulau Melaka, Kota Bharu, Kelantan.

No comments:

Post a Comment