Wednesday, December 8, 2010

PAS harus adil dan jujur dalam bentang kain rentang


Merdeka Review

Saya merujuk kepada kenyataan Ketua Penerangan PAS, Idris Ahmad hari ini yang menjemput semua cawangan PAS di seluruh negara untuk menaikkan kain rentang di setiap kampung untuk membantah kenaikkan 4-dalam-1 harga petrol, diesel, gas dan gula.

Minggu lalu, harga petrol RON95 naik 5 sen menjadi RM1.90 (2.7%), diesel naik 5 sen menjadi RM1.80 sen (2.85%), gas pula naik 5 sen menjadi RM1.90 sen (2.7%) sekilogram dan gula juga naik 20sen menjadi RM2.10 sen (10.5%).

Beliau turut berkata seluruh jentera penerangan PAS dan Pakatan Rakyat mesti bangkit untuk menimbulkan kesedaran politik di kalangan rakyat terutama mereka yang tidak banyak menggunakan media baru.

Saya setuju bahawa ia merupakan suatu langkah baik bagi PAS untuk membangkitkan kesedaran politik dan menyalurkan maklumat tepat di kalangan rakyat.

Sekiranya, PAS ikhlas dalam membangkitkan kesedaran rakyat dalam hal membabitkan semua rakyat, maka PAS juga harus memberi maklumat kepada rakyat bahawa kerajaan PAS Kedah telah menaikkan tarif air antara 25% sehingga setinggi 100% baru-baru ini. Lebih teruk lagi, kenaikkan tidak munasabah 100% tarif air tersebut membabitkan pengguna kecil air (kurang daripada 8 m3) dan membebankan golongan miskin. Analisa dan maklumat lanjut tersebut boleh diperolehi di laman tankengliang.blogspot.com.

Kenaikkan tarif air tersebut juga berlaku di negeri Pulau Pinang.

PAS harus bersikap adil dan jujur dalam membentangkan maklumat kepada rakyat. PAS tidak harus berdiam diri terhadap masalah rakyat di negeri-negeri Pakatan Rakyat.

Jikalau PAS ikhlas dalam membantu rakyat, saya cadangkan agar PAS juga mengambil langkah segera mengkaji semula kenaikkan tarif air di negeri Pakatan Rakyat. Saya syorkan agar kenaikan tarif air tersebut diseleraskan pada kadar 10% supaya tidak membebankan rakyat secara mendadak.

Sekiranya PAS tidak ingin membangkitkan isu kenaikan tarif air di negeri-negeri Pakatan Rakyat, maka jemputan PAS kepada ahlinya untuk menaikkan kain rentang adalah tindakan pembaziran sumber dan wang rakyat. Maka ia adalah lebih baik bagi PAS menggunakan sumber dan wang tersebut untuk membantu mangsa banjir di Kedah, Perlis dan Kelantan.

No comments:

Post a Comment