KUALA LUMPUR, 10 Jun: Para pemimpin PAS sememangnya wajar menjadi 'gila kuasa' untuk ke Putrajaya, bagi membolehkan PAS dan Pakatan Rakyat merampas kuasa pemerintahan daripada puak yang gila kuasa sekarang.
Sehubungan itu, para pemimpin dan ahli-ahli PAS tidak perlu risau dengan dakwaan Umno yang mengatakan para pemimpin PAS kini gila kuasa yang dikaitkan dengan pemilihan barisan kepimpinan sesi 2011-2013 pada Muktamar PAS Ke-57 pada 3 hingga 5 Jun lalu.
Timbalan Presiden PAS, Mohamad Sabu berkata, para pemimpin Umno BN yang sememangnya sudah diketahui umum yang gila kuasa sudah tidak sepatutnya dibiarkan terus memerintah negara demi kepentingan negara dan seluruh rakyat negara ini.
Menurut beliau, semenjak Umno BN memerintah, rakyat bukan semakin senang, malah semakin terhimpit dalam hidup akibat tindakan tidak sepatutnya yang dilakukan oleh para pemimpin Umno BN.
Katanya, antara tindakan tidak bertanggungjawab yang dilakukan oleh Umno BN termasuklah menaikkan harga barangan keperluan utama sehingga amat menyusahkan rakyat.
"Dalam masa yang sama, indeks rasuah dan jenayah dalam negara semakin meningkat sehingga amat mencemaskan rakyat," katanya pada program rakaman Persepsi Harakahdaily di pejabat Harakahdaily, di sini, petang semalam.
Demi kepentingan negara dan seluruh rakyat, menurut beliau, PAS perlu merampas kuasa dari Umno BN bagi melakukan perubahan di negara ini dengan corak pemerintahan yang jauh lebih baik dari Umno BN itu sendiri.
"Jadi kalau mereka (Umno BN) kata kita gila kuasa, memang benarlah kita gila kuasa kerana kita nak rampas kuasa dari orang gila kuasa yang sudah tidak boleh dibiarkan lagi memerintah negara.
"Kalau dibiarkan Umno BN terus memerintah, negara pasti menjadi bertambah teruk dan rakyat pasti menjadi semakin susah dari sehari ke sehari," katanya.
Jika PAS tidak merampas kuasa dari Umno BN, katanya, PAS dan Pakatan Rakyat tidak boleh memerintah bagi melakukan perubahan, sedangkan dalam masa yang sama rakyat sudah tidak tertahan berada di bawah pemerintahan Umno BN dan berharap kepada PAS untuk melakukan perubahan itu.
Bagi merealisasikan perubahan itu, PAS menjanjikan negara berkebajikan kerana ia selaras dengan tuntutan Islam, bagi menbela rakyat dalam segala aspek dan di semua peringkat.
"Jika PAS dan Pakatan Rakyat diberikan mandat memerintah negara, rakyat bolehlah menilai sendiri tindakan yang kita lakukan selaras dengan janji kita itu.
"Sekiranya janji itu tidak kita tunaikan dan pemerintahan Pakatan Rakyat tidak juga berubah tetapi sama juga dengan Umno BN, rakyat berhak menumbangkan kembali kerjaaan Pakatan Rakyat," tegasnya.
Namun sekira PAS dan Pakatan Rakyat memerintah, katanya, rakyat pasti dapat melihat perubahan yang dijanjikan itu dalam negara ini kerana para pemimpin PAS dan Pakatan Rakyat amat jauh berbeza dengan para pemimpin Umno BN.
"Umno BN bukannya membela rakyat. Mereka sebenarnya gila kuasa kerana untuk kepentingan mereka sendiri. Mereka tak hirau pun tentang rasuah dan jenayah sebab itulah indeks rasuah dan jenayah dallam negara tak menurun.
"Mereka gunakan wang negara dengan sewenang-wenangnya untuk kepentingan peribadi mereka, termasuk untuk menyelesaikan urusan pertunangan anak di Khazastan, pada hal itu urusan keluarganya, bukannya urusan negara dan wang yang digunakannya itu wang rakyat," katanya.
Begitu juga dengan isteri Perdana Menteri, ujarnya, yang juga selalu ke luar negara dan turut menggunakan wang rakyat dengan begitu banyak untuk kepentingan peribadi dan keluarganya.
"Semua itu hanyalah sebahagian contohnya yang boleh dinilai sendiri oleh rakyat bagaimana teruknya pemimpin Umno BN.
"Itu semua tidak akan dilakukan oleh para pemimpin PAS dan Pakatan Rakyat jika diberikan mandat memerintah negara kerana kita sememangnya berbeza dengan mereka," ujar beliau.
Dipetik Dari HarakahDaily.Net
No comments:
Post a Comment