KUALA LUMPUR, 20 Jun — Buku Hijau, yang bakal memperincikan konsep negara berkebajikan PAS, akan menjadi pelengkap kepada Buku Jingga Pakatan Rakyat yang diterima komponen-komponen perikatan itu Disember lalu.
Buku Jingga antara lain menggariskan program 100 Hari yang akan dilaksanakan sekiranya Pakatan Rakyat berjaya menawan Putrajaya.
Khamis lalu, PAS menubuhkan satu panel khas pelaksana yang akan memperincikan konsep negara berkebajikan dalam bentuk Buku Hijau untuk dijelaskan kepada rakyat negara ini.
Menurut Naib Presiden PAS Salahuddin Ayub, Buku Hijau yang akan diedarkan ke seluruh negara dalam masa terdekat tidak bercanggah dengan keputusan bersama Pakatan Rakyat yang diterjemahkan dalam Buku Jingga.
Sebaliknya kata Salahuddin (gambar) yang juga pengerusi panel khas pelaksana itu, Buku Hijau negara berkebajikan itu akan menjadi pelengkap kepada Buku Jingga.
“Tidak... tidak... ia (Buku Hijau) akan menjadi satu nilai tambah dan ia sama sekali tidak bercanggah dengan Buku Jingga Pakatan Rakyat.
“Apa yang ada dalam Buku Jingga itu adalah ciri-ciri penting negara berkebajikan dan Buku Hijau ini akan menjadi pelengkap, gandingan dua buku ini akan memperkukuhkan antara satu sama lain,” katanya kepada The Malaysian Insider.
Tambah Ahli Parlimen Kubang Kerian ini, Buku Hijau dirangka supaya rakyat memahami negara berkebajikan yang mahu dibawa parti Islam itu yang mendapat kritikan hebat oleh Umno.
“Kalau kita lihat respons yang diberikan rakyat terhadap Buku Jingga dan negara berkebajikan, ia sangat menarik dan menggamit rasa ingin tahu kandungan konsep itu.
“Jadi apabila buku ini dilancarkan kita berharap rakyat memahami dengan jelas akan konsep negara berkebajikan yang mahu kita bawa,” kata Salahuddin sambil menambah, Presiden PAS Datuk Seri Abdul Hadi Awang akan menerbitkan sebuah buku tentang negara berkebajikan.
“Buku Hijau adalah sinopsis daripada buku yang akan dikeluarkan presiden,” tambah beliau.
Panel khas itu akan mengadakan mesyuarat pertama hari ini untuk memperincikan konsep negara berkebajikan, yang diketengahkan dalam ucapan dasar Presiden PAS pada 3 Jun lalu.
Ucapan dasar itu bertemakan “Membangun Negara Berkebajikan”.
Panel khas pelaksana itu turut dianggotai oleh Ketua Penerangan PAS Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man, dua ahli jawatankuasa kerja pusat Dr Dzulkefly Ahmad dan Idris Ahmad, Pengerusi Institut Kajian Polisi PAS Dr Zuhdi Marzuki dan Timbalan Ketua Dewan Muslimat Dr Siti Mariah Mahmud.
Sementara itu, Tuan Ibrahim yang juga Pesuruhjaya PAS Pahang berkata Buku Hijau bertindak sebagai penerangan tentang konsep negara berkebajikan dan ia tidak bercanggah dengan Buku Jingga.
Jelas beliau, segala maklumat dan ciri-ciri negara berkebajikan akan dirumuskan seterusnya diterjemahkan dalam bentuk dokumen iaitu Buku Hijau.
“Kita kini dalam persiapan untuk menyiapkan buku lengkap tentang konsep negara berkebajikan, apa yang kita bincangkan akan dirumuskan supaya rakyat faham apa matlamat kita.
“Buku Hijau ini tidak bercanggah dengan Buku Jingga kerana ia dokumen yang bersifat pelengkap... Buku Jingga itu adalah tawaran Pakatan Rakyat manakala Buku Hijau ini adalah konsep tapi dalam ruang lingkup yang lebih dasar,” katanya.
Justeru beliau percaya konsep negara berkebajikan akan diterima baik sekiranya rakyat memahami dan jelas tentang dasar itu.
“Buku Hijau ini tidak bercanggah, malah konsep negara berkebajikan ini diterima oleh PKR dan DAP, malah tinjaun di peringkat akar umbi juga baik.
“Setelah buku ini, siap kita akan edarkan kepada masyarakat dan kita harap ia dapat membantu rakyat memahami dengan lebih jelas, sekali lagi Buku Hijau ini akan membantu memperkukuhkan Pakatan Rakyat,” katanya.
Manifesto pilihan raya umum 2008 PAS juga bersandarkan tema negara berkebajikan.
Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak berkata, keputusan pemilihan PAS yang memihak kepada golongan profesional adalah kemenangan kepada DAP kerana parti itu berjaya “mempengaruhi” parti Islam itu mengubah dasar memperjuangkan negara Islam kepada negara berkebajikan.
No comments:
Post a Comment