Sunday, April 25, 2010

Kemenangan BN sekadar catatan palsu

Pilihan raya kecil Parlimen Hulu Selangor tidak akan membuat DS Najib Tun Razak tidur nyenyak, kerana kemenangan yang diperolehi adalah hanya satu retorik dan catatan palsu.

Satu kemenangan yang dibeli dengan harga yang tersangat mahal mencecah puluhan juta ringgit. Umno dan Barisan Nasional pastinya bersorak sorai untuk menyembunyikan kegusaran kehilangan kuasa apabila menghadapi pilihanraya umum yang mendatang dalam tidak seberapa waktu lagi.

Umno dan BN ternyata semakin tumpul taringnya. Hanya duit yang memegang kuasa undi padanya. Umno semakin mereput. Berpaut pada undi Melayu semata-mata. Itupun pada Melayu veteran yang berkarat hatinya, manakala geng muda Melayu sudah bertabuh bersama Pakatan Rakyat.

TS Muhyiddin Yassin melaungkan akan memperolehi majoriti 6,000 undi, namun ia tersasar jauh. Memalukan. Yang bererti laporan risikan yang diterimanya hanya pepat di luar runcing di dalam. Risikan sekadar penyedap hati.

BN sekadar memperolehi majoriti 1,725 undi. Itupun separuh daripadanya adalah undi pos. Manakala PR meningkat 95 undinya, tetapi tetap kalah. Jelasnya undian terhadap PR kekal.

Ertinya apa jua isu yang dimainkan oleh UBN, ia tidak berjaya mengubah pendirian penyokong PR. Isu sekadar memanaskan suasana. Lantaran itu PR perlu bekerja kuat untuk menambat dan menambah jumlah penyokongnya. PR perlu membuktikan bahawa PR boleh. Pengundi ingin melihat bukti.

Tiada apa yang dapat dibanggakan Najib dengan majoriti sebanyak itu. Lagipun tiga Dun di kawasan parlimen itu dikuasai Umno. Ternyatalah UBN sedang menghadapi zaman kemalapannya.

BN hanya hidup atas sokongan Melayu. Tiada Melayu, maka akan lenyapkan BN. MIC dan MCA sekadar menumpang kekuatan Melayu Umno. Jika tidak ia akan punah dan musnah. Inilah feneomena yang sedang menanti BN pada pilihan raya umum akan datang. Pengundi Cina sudah tidak mempedulikannya lagi, majoriti pengundi Cina menyokong PR.

Setiausaha BN, Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor turut tidak mampu menutupi kebimbangannya apabila berkata walaupun menang dengan majoriti 1,725, tetapi pengundi Cina tidak menyokong BN.

"Kita perlu melihat di mana silap kita. Saya akan berjumpa dengan parti-parti komponen untuk membincangkan perkara ini, tetapi kita gembira kerana pengundi India kembali menyokong BN. Begitu juga dengan pengundi Melayu", kata Adnan.

Presiden Gerakan, Tan Sri Dr Koh Tsu Koon berkata walaupun BN menang, tetapi terdapat pelbagai isu yang perlu ditangani dan diselesaikan.

"Sokongan di kalangan masyarakat Cina tidak bertambah. Apabila kita mula berkempen di sini, tahap sokongan hanya sekitar 12 - 15 peratus. Selepas PM turun menemui rakyat, ia meningkat kira-kira 25 peratus, kata Dr Koh.

Kemenangan BN itu juga memberi petanda selamat jalan kepada era presidennya DS Samy Vellu. Lantaran itu BN akan menghadapi satu lagi gelodak permasalahan dalam parti komponennya. Kemenangan itu adalah hasil pilihan calon oleh Umno selepas menolak calon pilihan Samy Vellu, iaitu Timbalan Presiden Datuk G Palanivel.

Nampak gaya, selepas kemelut MCA yang kononnya selesai dengan perubahan pucuk kepimpinannya diterajui oleh DCSL (yang dicemari isu seksual) kini MIC sedang menuju jalan perpecahan. Ayuh Samy berundur sebelum anda diundurkan oleh Umno.


* Tulisan di atas adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian Harakahdaily.net. Harakahdaily.net tidak bertanggungjawab terhadap sebarang implikasi daripada tulisan berkenaan.

No comments:

Post a Comment