Buat kali pertamanya, lima parti komponen Barisan Nasional Selangor mengambil inisiatif untuk mengadakan konvensyen, melaungkan slogan "STOP, Selangor Takeover Plan", menjelang pilihan raya kecil Hulu Selangor.
Konvensyen ini kononnya untuk menyatupadukan BN Selangor, namun hanya membariskan pemimpin UMNO di atas pentas semasa upacara perasmiannya. Malah, lagu UMNO berkumandang dalam konvensyen, kelihatan seoalah-olah Perhimpunan Agung UMNO yang berlangsung.
Kira-kira 1,500 perwakilan daripada UMNO, MCA, MIC, Gerakan dan PPP menghadiri konvensyen yang dimulakan pada 9:30 pagi, semalam. Apabila Pengerusi Barisan Nasional, yang juga Perdana Menteri Najib Abdul Razak hadir di sebelah petangnya, kehadiran menghampiri 2,000 orang.
Namun, dalam upacara perasmian di sebelah paginya, Sekreteriat BN Selangor yang bertanggungjawab untuk mengadakan konvensyen ini hanya menyediakan kerusi untuk empat orang pemimpin UMNO di atas pentas, termasuklah Timbalan Pengerusi BN Selangor, Noh Omar yang mewakili UMNO dan Pengerusi Penganjur Mohd Zin Mohamed, yang juga ahli parlimen Sepang.
MCA keluar dewan
Selain itu, Naib Presiden MCA Donald Lim Siang Chai yang terpilih baru-baru ini, Timbalan Presiden MIC G.Palanivel dan Presiden PPP Kayveas, hanya duduk di bawah pentas untuk mendengar ucapan perasmian Noh Omar dan Mohd Zin Mohamed.
Seterusnya, selepas lagu kebangsaan dan BN dimainkan, lagu UMNO pula yang berkumandang dalam dewan. Ini mencungkil ketidakpuasan 15 orang perwakilan dari MCA Bahagian Kapar, lantas keluar dewan secara senyap sebagai tanda protes, ketika Noh Omar sedang berucap.
Bagaimanapun, Mohd Zin Mohamed mendakwa bahawa dirinya tidak menyedari peristiwa itu, ketika ditanya wartawan kemudiannya. Malah beliau berkata, beliau sudi meminta maaf seandainya beliau sedar bahawa MCA tidak berpuas hati.
Pada masa yang sama, Mohd Zin Mohamed menjelaskan kepada media, "Ini konvensyen pertama BN, disertai MCA, MIC dan parti komponen yang lain. Namun, jawatankuasa majlis ini adalah ahli UMNO terutamanya. Jadi, saya berpendapat adalah sesuatu yang biasa jika dimainkan lagu UMNO pada sebelah paginya. Tapi, hanya lagu BN dimainkan semasa PM datang pada sebelah petang."
Mengkaji faktor kekalahan BN
Walau bagaimanapun, seandainya dilihat pada situasinya sebelum jamuan tengahari, ia seolah-olah Perhimpunan Agung UMNO. Tiga ceramah yang masing-masing bertemakan politik, ekonomi dan sosial, membariskan lapan orang panelis keseluruhannya.
Namun demikian, dalam dua ceramah yang bertemakan politik dan ekonomi, enam orang panelis hampir tidak menyentuh isu teras, atau mengemukakan dasar politik dan ekonomi, tetapi lebih tertumpu untuk mengkaji faktor kekalahan BN dalam PRU ke-12.
Antaranya, Normah Omar dari UiTM menuding jari kepada perang siber Pakatan Rakyat ketika mengupas faktor kekalahan BN di Selangor. Beliau mengambil contoh bahawa seandainya dimasukkan istilah "Ekonomi Selangor", carian di internet kebanyakannya akan menemui laman yang berhubung-kait dengan ahli politik PR.
Jadi, Normah Omar (gambar kiri) mempertikaikan bahawa BN tidak menggunakan publisiti melalui saluran internet sebaik-baiknya. Pada masa yang sama, beliau menyenaraikan dasar yang diutarakan oleh PR, dan menyeru agar wakil rakyat BN memainkan peranannya untuk memantau kerajaan PR, malah menggunakan informasi internet yang tepat dengan sepenuhnya untuk menangkis serangan PR.
Di samping itu, panelis yang lain mengulangi hujah lama, misalnya penjenayahan yang berleluasa, kenaikan harga minyak, masalah rakyat gagal diselesaikan sebelum PRU ke-12. Keadaan menjadi lebih parah ditambah dengan fenomena BERSIH dan HINDRAF.
Najib: Rakyat harapkan perubahan
PM Najib pula menegaskan bahawa pengundi tidak menolak BN, tetapi berharap agar BN akan berubah. Jadi, kekalahan PRU ke-12 hanyalah pengajaran pengundi kepada BN. Menurut Najib, jikalau BN ikhlas untuk berubah, maka pengundi akan kembali kepada BN. Oleh itu, Najib menegur agar parti komponen mengotakan janji dan memperbaiki kelemahan yang sedia ada.
Malah, Najib (gambar kiri) mengingatkan bahawa segala ini adalah proses perubahan yang perlu dilalui, barulah konvensyen semalam memberi makna, dan rakyat dapat melihat perubahan BN. Apa yang menarik adalah, tema konvensyen semalam ialah "BN mampu berubah".
Jelas, ucapan Najib di sebelah petang meraih sokongan ahli parti komponen BN, yang menyambutnya dengan tepukan dan sorakan. Walau bagaimanapun, beliau tidak menyentuh sebarang isu sensitif. Malah, apabila diajukan soalan dalam sidang media sama ada beliau akan mengikut jejak bekas Presiden MCA, Ong Tee Keat untuk mengumumkan bahawa dirinya "Malaysian first", beliau enggan menjawabnya dengan alasan "ini perangkap pembangkang", dan beliau enggan terjerat ke dalam kontroversi ini.
Konvensyen BN hanya selepas kehadiran Najib
Pada pengamatan wartawan, konvensyen BN Selangor tanpa kehadiran Najib seolah-olah Perhimpunan Agung UMNO. Ketika Noh Omar mengulas isu ekonomi, beliau mempertikaikan mengapa duit zakat digunakan ke atas bukan Islam, dan membuka pintu UiTM kepada bukan Melayu. Walaupun Noh Omar tidak membacakan beberapa soalan dalam power point-nya, tetapi "agenda UMNO" jelas terpampang melalui skrin.
Sungguhpun Najib akhirnya mengumumkan bahawa PRK Hulu Selangor akan ditandingi calon MIC, namun retorik UMNO sepanjang hari tetap kekal dalam ingatan orang ramai. Biarpun dikatakan konvensyen ini adalah cubaan sulung BN Selangor, namun apakah ia akan membawa perubahan untuk BN di Selangor? PRK Hulu Selangor akan menjawab kemudiannya.
*Wong Shu Qi ialah wartawan MerdekaReview, edisi bahasa Cina. Diterjemah dan disunting oleh Lim Hong Siang.
No comments:
Post a Comment