22 APRIL — Berbaki empat hari lagi untuk melabuhkan tirai, kempen pilihan raya kecil Parlimen Hulu Selangor semakin rancak apatah lagi dengan penarikan diri dua calon Bebas, sekali gus menyaksikan pertembungan satu lawan satu antara Barisan Nasional (BN) dan Parti Keadilan Rakyat (PKR).
Pilihan raya kecil kali ini amat penting bagi kedua-dua parti, sama ada BN atau PKR dalam usaha meraih sokongan rakyat terutama bagi persiapan Pilihan Raya Umum ke-13 nanti. Namun kelebihan kini lebih memihak kepada BN yang menampilkan calon anak tempatan berbanding PKR, calon import dan kegagalan pembangkang menunaikan janji selama dua tahun menerajui Hulu Selangor juga pastinya dinilai rakyat.
“Calon import” pastinya menjadi halangan PKR mendekati pengundi apatah lagi masyarakat tempatan di situ tidak begitu mengenali hati budi calon PKR yang penuh kontroversi itu. Apa yang pasti, pengundi Hulu Selangor mahukan anak tempatan.
Calon BN, P Kamalanthan sebagai anak tempatan, dilihat tidak menghadapi laluan sukar di sebalik beliau diibaratkan sebagai calon “underdog” berbanding Datuk Zaid Ibrahim yang dianggap calon popular dan nama besar dalam politik nasional.
Rata-rata pengundi Umno dan MCA sudah menyatakan komitmen bagi menzahirkan kemenangan pada calon BN. Pengundi golongan tua juga sudah terpikat dengan keperibadian Kamalanthan yang bersederhana tetapi mereka berpendapat rakyat Hulu Selangor tidak memerlukan orang luar untuk membantu mereka.
Berbeza dengan calon PKR yang belum tentu mendapat sokongan pengundi Pas di situ, kerana dosa Zaid pada Pas belum dapat dimaafkan penyokong Pas, walaupun pucuk pimpinan parti itu menganggap perkara itu sudah selesai. Namun bagi akar umbi Pas, cubaan Zaid menyaman kerajaan Pas Kelantan berhubung pelaksanaan hukum hudud tidak boleh dilupakan begitu saja.
Selain itu, PKR juga berdepan tekanan dan masalah dalaman apabila kepemimpinan parti itu sendiri tidak yakin dengan keupayaan calonnya.
Pengunduran Datuk Dr Halili Rahmat, memberi tamparan hebat kepada Penasihat PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim, bagi meyakinkan 64,500 pengundi di Hulu Selangor bahawa parti itu masih relevan.
Bagaimanapun agak pelik sedikit apabila Anwar tidak menyerang Dr Halili yang dianggap sebagai rakan dan doktor peribadi kepadanya. Mungkin bimbang bekas pemimpin PKR itu akan mendedahkan siapa Ketua Pembangkang sebenarnya, maka Anwar memberi alasan Dr Halili sudah tidak aktif sejak 2004 bagi mengaburi mata pengundi.
Menyedari akan keupayaan PKR untuk memenangi pilihan raya kecil kali ini agak tipis, pembangkang mula mencipta helah bagi menarik perhatian orang ramai terhadap masalah parti itu sendiri. Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menjadi sasaran pembangkang apabila menuduh badan berkenaan sebagai dalang kepada usaha BN untuk menjatuhkan pakatan pembangkang.
PKR yang ketandusan isu menjadikan pemindahan tempat pengundian dilakukan SPR sebelum berlaku pilihan raya kecil itu, sebagai alat untuk meraih sokongan rakyat dan mencipta alasan awal sekiranya tewas dengan melabelkan SPR sebagai memihak kepada BN serta badan berkenaan tidak bebas dalam melaksanakan tanggungjawabnya.
Adalah tidak wajar Pengarah Pilihan Raya PKR, Fuziah Salleh, menyalahkan SPR berhubung perkara itu dan menuduh SPR sebagai dalang BN tanpa usul periksa.
Bagi mengelak rakyat terkeliru dengan dakyah pembangkang, Timbalan Pengerusi SPR, Datuk Wan Ahmad Wan Omar, tampil memberi penjelasan dan menyifatkan apa yang dilakukan pihaknya itu tidak bertentangan dengan peruntukan perundangan dan mereka berhak melakukannya berdasarkan Akta Pilihan Raya 1958 (Seksyen 7) bagi memberi keselesaan serta kemudahan kepada pengundi.
Wan Ahmad berkata, melalui seksyen 7 Akta Pilihan Raya 1958, SPR diberi kuasa menyemak setiap masa dan mengemas kini serta melakukan belah bagi. Kuasa berkenaan akan digunakan apabila pengundi mencecah sehingga 3,000 atau lebih. Ia dilakukan dari semasa ke semasa di seluruh negara dan tidak semata-mata kerana pilihan raya kecil itu.
Namun yang menjadi persoalan, mengapa PKR perlu menggunakan isu berkenaan untuk meraih undi, sedangkan tujuan SPR adalah memberi keselesaan, memudahkan pergerakan pengundi di hari membuang undi dan ia tidak akan mengelirukan orang ramai kerana pada hari pengundian, pusat mengundi yang lama akan ditutup.
Oleh itu masih banyak masa untuk rakyat Hulu Selangor berfikir sebelum membuat keputusan, soal pemilihan wakil rakyat bukannya perkara kecil dan ia tidak boleh dipilih berdasarkan perasaan serta nafsu, sebaliknya menilai parti mana yang mampu bekerja untuk rakyat dan calon mana berupaya menunaikan permintaan rakyat. — Berita Harian
* This is the personal opinion of the writer or publication. The Malaysian Insider does not endorse the view unless specified.
No comments:
Post a Comment