Wednesday, April 28, 2010

Zaid: Pakatan lancar kempen ‘Mengenali Pemimpin Anda’ dedah BN

Malaysian Insider

TERKINI

Oleh G. Manimaran

KUALA LUMPUR, 28 April — Datuk Zaid Ibrahim (gambar) telah gagal mempertahankan kerusi Parlimen Hulu Selangor Ahad lalu, tetapi sekurang-kurangnya gelanggang itu memanfaatkan beliau - memperoleh idea untuk menggerakkan kempen “Mengenali Pemimpin Anda”.

Zaid yang berhadapan dengan serangan peribadi sepanjang kempen pilihan raya kecil memberitahu, beliau bersama Pakatan Rakyat akan melancarkan kempen itu bagi membolehkan rakyat tahu setiap inci tentang pemimpin mereka.

Anggota Majlis Pimpinan Pusat PKR berpendapat sudah tiba masanya pengundi-pengundi mengenali dengan dekat dan mengetahui latar belakang pemimpin mereka.

“Pakatan Rakyat akan menggerakkan satu kempen untuk menjadikan pilihan raya bebas dan adil menjadi kenyataan di negara ini,” kata beliau.

Zaid berkata, beliau mahu mendedahkan segala-galanya tentang seseorang pemimpin termasuk aspek tidak moral mereka yang digunakan Barisan Nasional (BN) di Hulu Selangor.

“Anda melabelkan seseorang itu kaki minum tetapi pada masa yang sama (seolah-olah) mengecualikan pemimpin-pemimpin Umno.

“Saya akan mendedahkan sikap hipokrit pemimpin-pemimpin Umno,” kata beliau pada sidang media khas susulan pilihan raya kecil Hulu Selangor Ahad lalu.

Zaid tewas dengan perbezaan 1,725 undi di tangan calon BN P. Kamalanathan.

Dalam kes ini kata beliau, satu benda yang baik ialah mereka mendedahkan tentang segala kekurangan yang wujud.

“Saya merasakan itu tidak salah jika betul. Tetapi isunya ia telah diputarbelitkan dengan memanggil saya menggunakan pelbagai nama untuk memancing undi,” katanya sambil menambah, ia satu perkara yang tidak wajar.

Sehubungan itu kata Zaid, dengan orang ramai sudah mengetahui tentang dirinya beliau akan merayu kepada orang ramai agar sama-sama mengenali pemimpin mereka yang lain.

“Mari mengetahui menteri-menteri kita dengan mendalam,” katanya.

“Kasino mana yang mereka pergi, perempuan simpanan yang mereka ada. Kami tahu,” tambah bekas Ketua Umno Kota Baru ini.

Kempen itu menurut beliau, akan mendedahkan nama menteri dan sanak saudara mereka yang terlibat dalam kegiatan-kegiatan tidak bermoral.

“Apa salahnya menamakan mereka jika kita ada bukti? Jika kita ada maklumat,” kata beliau menjawab soalan wartawan.

Malah menurut Zaid, Pakatan International Support juga akan dilancarkan di London Julai ini untuk mendapatkan sokongan bagi menikmati pilihan raya yang bebas dan adil.


No comments:

Post a Comment