Tuesday, April 13, 2010

PAS perakui sokong Zaid di Hulu Selangor

Malaysian Insider

Oleh Syed Mu’az Syed Putra

HULU SELANGOR, 14 April — PAS secara terbuka memberi jaminan akan memberikan sokongan padu kepada Datuk Zaid Ibrahim yang dipilih sebagai calon Pakatan Rakyat (PR) untuk mengekalkan kerusi Parlimen Hulu Selangor.

Presiden PAS Datuk Seri Abdul Hadi Awang berkata, sudah tentu calon yang dipilih itu merupakan individu hebat untuk dihantar ke Parlimen.

“Calon yang dipilih PKR mesti seorang yang hebat, seseorang yang boleh membawa suara rakyat. Bukan calon yang hanya mengangguk dan mengiakan sahaja apa yang dilakukan oleh kerajaan Barisan Nasional (BN).

“Kita mahu calon yang boleh bercakap dan berucap yang boleh membawa suara rakyat,” katanya.

“Jadi ambil peluang ini untuk menghantar wakil yang boleh menegur kerajaan dan juga memperjuangkan hak rakyat,” kata beliau ketika berucap pada Majlis Penerangan Pentadbiran Kerajaan Negeri Selangor di Dewan Komuniti Serendah di sini malam tadi.

Zaid diumumkan sebagai calon PR pada majlis itu.

Ucapan beliau itu dilihat sebagai perakuan terbuka PAS kepada Zaid, bekas Ahli Parlimen Kota Baru, ketika wujud tanggapan parti itu tidak akan menggerakkan jenteranya dengan aktif sepanjang kempen pilihan raya kecil ini.

Zaid dilaporkan pernah membawa kes terhadap kerajaan negeri Kelantan dan Terengganu berhubung langkah memperkenalkan undang-undang jenayah Islam pada 2002.

Dalam temu bual dengan The Malaysian Insider semalam Zaid menegaskan beliau yakin penuh akan menerima sokongan padu PAS.

Hadi menambah, pilihan raya kecil kerusi Parlimen Hulu Selangor ini merupakan peluang rakyat untuk menjadi hakim.

“Melalui amalan demokrasi yang diamalkan, ini adalah peluang untuk rakyat menjadi hakim.

“Ini bukan pilihan raya membina jalan raya, bukan pilihan raya tampal poster, bukan pilihan raya untuk dapatkan wang kempen tetapi ia merupakan harga diri untuk menentukan masa depan negara dan juga rakyat terutamanya generasi muda,” katanya.

Abdul Hadi berkata, selama dua tahun PR memerintah di Selangor sudah banyak perubahan yang dilakukan demi rakyat.

“Walaupun baru dua tahun memerintah tetapi PR di bawah pimpinan Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim telah membuat banyak perubahan yang tidak dapat dilakukan oleh kerajaan Umno-BN selama 50 tahun memerintah.

“Segala masalah rakyat kita tahu, apa yang mereka mahukan pun kita tahu. Jadi dalam tempoh dua tahun memerintah kita cuba untuk membantu menyelesaikan masalah yang dihadapi rakyat,” katanya.

Beliau yang juga Ahli Parlimen Marang mengakui situasi sekarang tidah memihak kepada PR kerana bakal berdepan dengan kerajaan BN bukan parti BN.

“Kita bukan berdepan dengan parti BN tetapi kerajaan BN yang mana mereka mengawal hampir kesemua media yang ada.

“Selain itu, mereka tanpa rasa malu menggunakan segala jentera, alat dan kemudahan dengan tidak mengikut prosedur yang betul.

“Walaupun berlawan di atas padang yang tidak sama rata tetapi kita percaya dengan kerjasama yang wujud antara PKR, Pas dan DAP sudah pasti kerusi Parlimen Hulu Selangor dapat kita kekalkan.

“Justeru saya menyeru kepada jentera-jentera PAS di semua peringkat supaya turun padang dan bergerak dalam satu pasukan yang besar bagi memastikan kemenangan milik PR,” katanya.

No comments:

Post a Comment