Monday, April 5, 2010

Najib akui Kerajaan tiada duit, Kakitangan Kerajaan di paksa sokong GST kalau mahu gaji naik

Parti Islam Se-Malaysia (PAS) persoalkan kenyataan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak yang mengakui bahawa asas perolehan negara pada masa ini tidak kukuh dan Kerajaan tidak mampu untuk membayar gaji penjawat awam, sedangkan pada akhir tahun lepas kerajaan bangga mengumumkan bahawa ekonomi berkembang dengan baik iaitu 4.5 peratus dan tahun ini dijangka melebihi 5.5 peratus pula.

Najib terdesak membuat pengakuan itu demi untuk menarik perhatian kakitangan awam untuk menyokong pelaksanaan Cukai Barangan dan Perkhidmatan (GST) yang kini ditolak oleh majoriti rakyat. Kenyataan Najib itu membuka pekung pemerintahannya yang kini sedang sibuk menabur duit di Hulu Selangor sempena pilihanraya kecil.

Tindakan Najib memaksa kakitangan awam menyokong dasar ini secara membuta tuli adalah tidak wajar dan bertentangan dengan prinsip demokrasi negara ini dimana setiap warganegara berhak untuk membuat pilihan sama ada mahu menyokong atau tidak.

Tidak guna gaji kakitangan Kerajaan dinaikan sedangkan dalam masa yang sama cukai GST diperkenalkan. Jika GST dilaksanakan, keadaan ekonomi kakitangan awam mungkin lebih teruk kerana kenaikan gaji hanya sekitar RM200-RM500 sahaja sedangkan pertambahan kos sara hidup berkemungkinan meningkat lebih dari kadar itu.
Najib juga dilihat zalim kerana menjadikan kakitangan kerajaan sebagai 'hamba' yang kena terima apa sahaja yang kerajaan ingin lakukan. Oleh itu, kakitangan kerajaan harus bijak dan menolak dasar ini. Kerajaan boleh tangguhkan kenaikkan gaji sehingga ekonomi pulih sepenuhnya tanpa perlu perkenalkan cukai baru.
Jika GST dilaksanakan, bukan sahaja 1.2 juta kakitangan awam akan jadi mangsa, lebih 25 juta rakyat Malaysia akan terima kesannya. Pekerja swasta yang tidak mendapat kenaikan gaji akan menerima kesan yang lebih teruk, kerana kos hidup mereka secara purata bertambah 4 peratus.

Oleh itu PAS berharap agar kakitangan Kerajaan tidak menurut sahaja kehendak Najib. Jika dasar ini dilaksanakan bersama Model Ekonomi Baru, maka rakyat negara ini akan lebih sengsara. Ketiadaan syarat ekuiti tempatan akan menyebabkan pasaran negara akan datang dimonopoli oleh pelabur dan perniagaan asing. Dan pastinya mereka tidak peduli kesusahan rakyat dinegara ini dan mereka boleh kuasai harga jual beli pasaran dalam negara dengan mudah. Jika mereka naikan harga, maka nilai 4 peratus cukai GST juga naik. Kerajaan tidak mampu kawal perkara ini, malah Kerajaan kini cuba juga untuk hapuskan subsidi bagi melepaskan diri dari tanggungjawab membantu rakyat. Jadi bayangkanlah harga gula, beras, minyak tanpa subsidi tapi ditambah dengan cukai GST 4 peratus.

Tidak cukup dengan itu, dengan begitu banyak perjanjian perdagangan bebas (FTA), pelabur dan peniaga tempatan juga akan bungkus kerana tidak dapat bersaing kerana harga barang mereka akan jadi lebih mahal jika dicampur dengan GST, berbanding harga barang China yang lebih murah kos pembuatannya.
Jadi, GST bukan sahaja akan beri kesan kepada Kakitangan kerajaan, ia akan memberikan kesan kepada seluruh sistem ekonomi negara. PAS tetap akan menentang dasar ini untuk kepentingan rakyat.

Ketua Penerangan PAS Pusat

1 comment:

  1. Assalamualaikum, ana menyokong dan bersetuju jika kita parti yang menegakkan syiar islam membantah perkara-perkara berkaitan cukai yang sememangnya membebankan rakyat.

    ReplyDelete