Saturday, November 7, 2009

Amalan bai'ah: Soal dosa dan survival PAS

Malaysian Insider

PETALING JAYA, Nov 7 — PAS yang terus-menerus berhadapan serangan politik dari dalam dan luar, dilihat terpaksa bersandarkan kaedah bai'ah atau sumpah taat setia jatuh talak tiga terhadap isteri bagi mengelak mana-mana pemimpin khususnya wakil rakyat mereka dari melompat parti.

Ia turut disahkan oleh Ahli Parlimen Shah Alam, Khalid Samad yang mengatakan bahawa langkah itu bagi memastikan tiada mana-mana wakil rakyat mengkhianati parti dengan menyertai parti lain.

"Sekarang di beberapa negeri dan Selangor saya nampak ada antara wakil rakyat PAS yang hendak ke arah mengkhianati parti dan rakyat," kata beliau dipetik Utusan Malaysia hari ini.

Isu ini tercetus di sebalik langkah PAS mengadakan seminar politik hari ini dan desas-desus ada pemimpinnya menyokong kerajaan perpaduan membabitkan Umno-BN sejak pilihan raya umum ke-12 tahun lalu.

Bagaimanapun Khalid yang juga Yang Dipertua PAS Shah Alam memberitahu, amalan bai'ah bukan bertujuan mengkhianati institusi rumah tangga.

"Soal keluarga dan isteri penting. Bukan memperlekeh persoalan rumah tangga tetapi disebabkan ia penting, bai'ah sedemikian digunakan.

"Ia bagi menunjukkan kepada semua wakil rakyat PAS sekiranya mereka menganggap soal rumah tangga adalah penting, begitu jugalah kesetiaan kepada parti dan rakyat," katanya.

Setiausaha Badan Perhubungan PAS Selangor, Mohd. Khairuddin Othman pula berkata, amalan bai'ah terhadap isteri mana-mana pemimpin PAS yang mengkhianati parti itu telah lama wujud.

Katanya, ia akan diikrarkan oleh semua calon yang bakal bertanding dalam pilihan raya di hadapan Pesuruhjaya PAS negeri masing-masing dan dilakukan bagi menjamin kesetiaan mereka yang telah dipilih.

Kata Khairuddin, beliau sendiri pernah melakukan bai'ah semasa dipilih menjadi calon pilihan raya umum 2004 dan 2008.

Bai'ah antara lain berbunyi "sekiranya kami mengkhianati parti maka akan tertalak tigalah isteri-isteri kami".

Dalam pada itu, Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Jamil Khir Baharom berkata, umat Islam di negara ini tidak wajar mengangkat sumpah menceraikan isteri sekiranya mereka keluar parti kerana tindakan sedemikian hanya memporak-perandakan institusi rumah tangga.

"Membawa kemudaratan kepada ahli keluarga sendiri yang tidak berdosa boleh dianggap satu penganiayaan dan kezaliman," katanya.

No comments:

Post a Comment