Friday, November 13, 2009

Benarkah sokongan orang muda terhadap PAS berubah?

Alhamdulillah, hasrat sebilangan pihak melihat perbalahan dan perpecahan besar dalam PAS tidak menjadi kenyataan. Sekurang-kurangnya itulah kesimpulan awal dapat dibuat dengan berlangsungnya Seminar Memperkasakan Parti di Markas Tarbiyah PAS Pusat, Taman Melewar, Sabtu (7 November) lalu. Berbeza dengan apa yang diramal dan digema-riuhkan segenap saluran media arus perdana sebelumnya, seminar khas itu berlangsung dengan tenang dan beradab. Meskipun sesekali ia turut dibauri emosi dan perbahasan hangat, setiap hadirin mengambil bahagian dalam suasana penuh tanggungjawab dan kesedaran mencapai maksud ia diadakan. Walaupun seminar sehari itu tidak merongkai semua isu dan permasalahan yang menjadi inti pertikaian dalaman PAS kebelakangan ini, paling tidak ia telah memperjelaskan letak duduk PAS dalam politik negara, terutama berhubung peranannya dalam Pakatan Rakyat. PAS buat kali yang entah ke berapa mengulangi pendiriannya untuk memperkukuhkan perjuangan bersama pakatan pembangkang, bertepatan dengan keputusan dua muktamar terakhir parti. Namun itu tidak bermakna parti itu bersedia mengorbankan dasar dan prinsip Islam yang menjadi teras perjuangannya selama ini. "PAS bergerak di atas sifatnya sebagai sebuah parti dakwah. Hubungan yang terbentuk ini (dalam Pakatan) kuat tetapi fleksibel. Bukan hubungan yang kuat, kukuh tapi tidak fleksibel. Strategi bersama ini berjaya menyekat BN," tegas Presiden PAS, Dato' Seri Tuan Guru Abdul Hadi Wang dalam ucaptamanya. Pendirian serupa dipertegaskan Naib Presiden PAS, Dato' Tuan Ibrahim Tuan Man. Katanya, "PAS perlu berpijak kepada dasarnya, kita memang hendak menang tapi jangan gadaikan prinsip Islam untuk dapatkan undi." Penegasan kedua-dua mereka itu sepatutnya sudah cukup untuk memperjelaskan asas segala percaturan politik PAS. Dalam apa juga keadaan, kepentingan mendapatkan undi tidak sepatutnya mengorbankan prinsip Islam. Asas itu seyogia menunjangi halatuju dan apa juga perancangan politik parti, terutama dalam keghairahannya mengecapi kemenangan lewat pilihan raya umum akan datang. Sebab itu apabila fakta mengenai kemerosotan sokongan terhadap PAS didedahkan, ia wajar diterima dan diteliti. Seminar diberitahu sokongan golongan muda kepada PAS beralih arah secara mendadak selepas Pilihan Raya Umum (PRU) ke-12, Mac 2008. Fakta itu dibacakan pengasas dan Pengarah Zentrum Future Studies, Prof Madya Dr Abu Hassan Hasbullah, yang dijemput sebagai panel seminar tersebut. Katanya, 70 peratus golongan muda yang percaya pentadbiran PAS sangat baik ketika PRU-12 kini berpendirian berbeza. Beliau yang juga pensyarah Pengajian Media Universiti Malaya (UM), menyatakan demikian dalam kertas kerja bertajuk 'Kajian Mikro Kepercayaan Politik di Malaysia Dari Persepsi Pola Kepercayaan Untuk PRU ke-13 akan datang'. Sementara para pemimpin tertinggi PAS memberikan reaksi positif terhadap dapatan kajian itu dan merangka tindakan susulan mengenal pasti langkah menangani kemerosotan sokongan tersebut, beberapa penelitian lain juga wajar dibuat. Pertama, kajian membabitkan hanya 2,100 responden terutama di negeri Utara dan Pantai Timur. Apakah jumlah sekecil itu boleh dijadikan sampel yang ideal dan tipikal untuk keseluruhan sokongan terhadap PAS? Kedua, jumlah responden itu membabitkan pelbagai peringkat usia. Hanya fakta kemerosotan sokongan golongan muda yang ditonjolkan. Bagaimana dengan sokongan peringkat usia lain? Ketiga, fakta-fakta diberikan kajian itu juga menampakkan golongan dimaksudkan bukannya kalangan ahli atau pendokong PAS. Mereka hanyalah penyokong. Masakan ada ahli parti yang hanya kenal lima pemimpin utama PAS? Menurut kajian itu, golongan muda cuma mengenali Tuan Guru Nik Abdul Aziz, Tuan Guru Abdul Hadi, Dato' Seri Mohamad Nizar Jamaluddin (Menteri Besar Pakatan Perak), Mohamad Sabu dan Dato' Seri Azizan Abdul Razak (Menteri Besar Kedah). Mereka juga mendakwa PAS gagal menonjolkan pemimpin muda. Ini satu lagi fakta menampakkan mereka tidak begitu mengenali PAS. Ia bertentangan dengan realiti, terutama jika diteliti saf kepimpinan PAS Pusat yang dibarisi kebanyakannya tokoh muda, jika pun tidak pada usia pemuda. Keempat, keputusan beberapa pilihan raya kecil dilalui PAS selepas PRU-12 juga membantu. Jika pun ada sedikit kemerosotan sokongan orang muda di Manek Urai, undi mereka diakui banyak membantu kemenangan PAS di Kuala Terengganu dan Bukit Gantang. Apakah penilaian lebih baik mengenai sokongan mereka selain kertas undi? Kelima, kemerosotan sokongan kepada mana-mana parti tidak hanya disebabkan kelemahan parti tersebut. Faktor tawaran, janji dan habuan parti lawan juga tidak boleh diperkecilkan. Justeru, hasrat PAS melakukan kajian semula terhadap hasil kajian tadi amat wajar. Paling utama, sebarang cadangan dan tindakan ke arah memaut golongan muda menyokong PAS tidak sepatutnya mencalarkan prinsip asal perjuangan. Misalnya, mungkin ada penganalisis menganggap tindakan Dewan Pemuda PAS yang gemar membantah konsert artis antara faktor golongan muda menjauh diri dari parti itu. Maka apakah PAS sanggup memekakkan telinga dan memejamkan mata terhadap aktiviti merosakkan moral masyarakat sebegitu, semata-mata demi memenangi sokongan orang muda?

No comments:

Post a Comment