Wednesday, November 25, 2009

MB S'gor tiada kuasa halang sertai kursus BTN


Menteri Besar Selangor tidak mempunyai kuasa untuk menghalang kakitangan awam persekutuan, masyarakat dan syarikat swasta daripada menghadiri kursus anjuran Biro Tata Negara (BTN), kata Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin.

Kakitangan persekutuan, kata beliau, tidak tertakluk kepada arahan kerajaan negeri Selangor itu.

"Menteri Besar Selangor tidak mempunyai kuasa menghalang orang ramai daripada mengikuti kursus BTN.

"Tunjukkan saya di manakah peruntukan undang-undang yang membolehkan Menteri Besar untuk berbuat demikian," katanya di Pagoh selepas majlis penyerahan lembu untuk dikorban sempena sambutan Hari Raya Aidiladha esok.

Muhyiddin dan rakannya yang menyumbangkan 31 ekor untuk dikorbankan esok, lapor Bernama.

Mengulas lanjut beliau berkata, kerajaan persekutuan tetap akan meneruskan kursus-kursus BTN walaupun Selangor mengambil tindakan sedemikian.

"Kita akan tetap teruskan kursus BTN. Jikalau dia (Selangor) tidak mahu, tidak mengapa. Kita tidak boleh halang jika orang ramai mahu mendalami konsep 1Malaysia, semangat kenegaraan dan perpaduan masyarakat," katanya.

Muhyiddin kakitangan persekutuan tidak tertakluk kepada arahan kerajaan negeri Selangor itu.

Muhyiddin berkata demikian ketika diminta mengulas keputusan kerajaan Selangor melarang kakitangannya dan pelajar institusi pengajian tinggi milik kerajaan negeri itu daripada menghadiri kursus BTN, berkuatkuasa serta merta, dengan alasan kononnya kursus BTN adalah satu proses doktrinasi oleh kerajaan BN.

Exco Pendidikan, Pendidikan Tinggi dan Pembangunan Modal Insan Selangor, Dr Halimah Ali dilaporkan berkata surat arahan berkaitan larangan itu akan dikeluarkan segera kepada semua jabatan, Institusi Pengajian Tinggi (IPT) serta anak-anak syarikat milik penuh kerajaan negeri.

"Kita merasakan kursus BTN adalah proses doktrinasi BN yang menimbulkan fenomena perkauman dan seolah-olah memecahbelahkan penduduk pelbagai bangsa dan agama," kata Halimah.

Mengulas lanjut, Muhyiddin berkata kerajaan negeri Selangor dan Menteri Besar Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim telah diberi gambaran yang salah tentang BTN.

"Masyarakat dan syarikat-syarikat swasta tidak sepatutnya dihalang daripada menghadiri kursus-kursus yang dianjurkan BTN," katanya.

Muhyiddin juga berkata kursus BTN tidak bermotifkan doktrinasi politik tetapi sebaliknya ia menerapkan semangat kenegaraan dan perpaduan masyarakat selaras dengan konsep 1Malaysia.

"Kursus BTN tidak bertujuan untuk membawa peserta-peserta kepada Umno dan BN. Ia tidak mempunyai niat yang jahat, ia mempunyai tujuan-tujuan yang baik," katanya.

No comments:

Post a Comment