Lim Hong Siang
"Memang saya ingin balik ke tanahair saya. Saya akan cuba dengan pelbagai cara, (ketawa) seludup masuk pun boleh...entah boleh berjaya atau tidak... saya sendiri pun tak dapat pastikan. Saya akan cuba.... cuba."
Demikianlah luahan Chin Peng, Setiausaha Agung Parti Komunis Malaya (PKM) dalam bahasa Melayu ketika diminta untuk menyatakan perasaan dan kedahagaan beliau untuk kembali ke tanahair, dalam bahasa kebangsaan.
Chin Peng, 85 walaupun mengakui bahawa dirinya sudah lama tidak berucap dalam bahasa Melayu, tetap sudi untuk mencuba.
Satu hasrat sahaja
Chin Peng berkata sedemikian selepas satu wawancara yang dihadiri semua media cetak bahasa Cina di Malaysia, termasuk media internet MerdekaReview, Malaysiakini dan The Nut Graph. Wawancara yang mengambil masa lebih daripada satu jam ini diadakan pada kira-kira 4 petang (waktu Malaysia), di J.B Hotel, Hatyai.
Chin Peng atau nama asalnya, Ong Boon Hua yang jarang muncul di khalayak umum, hanya menyampaikan satu mesej kepada wartawan dalam wawancara tersebut, iaitu hasratnya untuk pulang ke Setiawan. Secara terus-terang, pemimpin komunis yang tidak pernah menyesal dengan perjuangannya itu mengakui, bahawa satu-satunya kekesalan beliau adalah hasratnya untuk pulang ke tanahair tidak kesampaian.
Walaupun diajukan pelbagai soalan, misalnya mengapa masih berdegil untuk kembali ke Malaysia, memandangkan Malaysia bukan negara impiannya kerana tidak mengamalkan komunisme, beliau menjawab, "ini tiada kena-mengena dengan komunisme atau tidak. Saya nak pulang ke Malaysia yang mengamalkan sistem kapitalisme, (kalau) Malaysia yang mengamalkan komunisme, lagi saya ingin pulang. Mengapa? Kerana itu tempat saya berasal... Ibu bapa saya terkubur di sana. Adik beradik saya yang terkubur di situ."
"Saya berasa, sepanjang umur hayat saya, saya nak cuba sedaya-upaya untuk pulang, dan menyembah mereka (ibu bapa dan adik beradik). Saya tak ada tujuan selain itu. Saya bukan nak pulang untuk bertanding, saya hanya nak balik untuk menunaikan tanggungjawab saya sebagai anak dan seorang saudara. Itu sahaja," katanya.
"Saya menganggap saya diperbodohkan"
Menjelang ulang tahun ke-20 Perjanjian Damai Hadyai ditandatangani, Chin Peng hanya terusik dengan ketidaksampaian hasratnya untuk kembali ke Malaysia. Beliau mengungkit insiden di mana beliau dihubungi pegawai kerajaan Malaysia, untuk bertemu di suatu tempat dan kemudian dibawa balik ke Malaysia, tetapi tidak berakhir seperti apa yang dijangkakan oleh Chin Peng. Untuk Chin Peng, beliau menganggap dirinya "diperbodohkan" dalam insiden ini.
Namun, ketika ditanya adakah beliau berasa dirinya tertipu, jawapannya, tidak. Chin Peng cuba mengasingkan antara Perjanjian Hadyai, dengan apa yang berlaku kemudiannya, dengan berkata, "...kerana kami (PKM dengan kerajaan Malaysia) berbincang bersama. Kami bertoleransi antara satu sama lain. Maka tercapailah muafakat untuk menandatangani perjanjian. Jadi, apa yang berlaku selepas itu (perjanjian itu dibuat), itu persoalan lain."
Ditanya wartawan pula mengapa kerajaan Mahathir Mohamad menandatangani perjanjian ketika itu, seandainya tidak berniat untuk membenarkannya kembali, Chin Peng memberi jawapan bahawa senario ketika itu mendorong kedua-dua pihak, iaitu kerajaan Malaysia dan PKM untuk berdamai, kerana itulah yang diingini oleh rakyat.
Enggan menyelar kerajaan Malaysia
Jelas, Chin Peng masih menaruh harapan untuk kembali ke tanahairnya, malah sanggup menerima seandainya dibenarkan untuk kembali secara "senyap". Beliau tidak menyelar kerajaan Malaysia, walaupun beberapa kali soalan diumpankan kepadanya untuk berbuat demikian.
Misalnya, ketika ditanya mengapa kerajaan masih menghalang beliau daripada kembali ke tanahair, dengan ringkas Chin Peng menjawab, "saya masih belum membuat permohonan lebih lanjut kepada kerajaan setakat ini, adalah tidak baik dan tidak wajar kalau saya meneka sekarang."
Malah, apabila diasakkan kepadanya kenyataan Timbalan Perdana Menteri, Muhyiddn Yassin, "tiada maaf bagimu", Chin Peng sekadar membalas, "saya hanya boleh berkata saya kesal dengan kenyataan ini. Kenyataan sedemikian tidak dapat menyelesaikan masalah."
Baru-baru ini, lawatan Setiausaha Agung Parti Komunis China, Hu Jintao ke Malaysia disambut secara besar-besaran, lantas mencungkil kritikan bahawa kerajaan Malaysia adalah hipokrit kerana mengambil sikap double-standard ketika menangani isu Chin Peng. Namun, Chin Peng tidak berfikir sedemikian, sebaliknya mengharapkan hubungan kerajaan China dengan Malaysia bertambah erat kerana ia memanfaatkan rakyat kedua-dua negara.
Sudi berjumpa dengan Najib
Wawancara ini disusuli dengan "penerokaan" pelbagai kemungkinan beliau boleh kembali ke Malaysia, misalnya apakah beliau akan cuba berjumpa dengan PM Najib Razak yang bakal melawat Selatan Thai pada bulan depan? Chin Peng menyatakan bahawa dirinya sudi untuk berjumpa dan mengemukakan permohonannya di depan PM ini, namun terpulang kepada Najib untuk memutuskan, sama ada ingin berjumpa dengannya atau tidak.
Malah, ketika ditanya sama ada Chin Peng sanggup menerimanya, jikalau kerajaan Malaysia memberi lampu hijau kepadanya, dengan syarat beliau balik secara senyap-senyap, Chin Peng menjawab, "saya tak kisah (untuk pulang secara senyap-senyap)."
Chin Peng yang tidak menyelindung bahawa dirinya seorang penganut komunisme sehingga hari ini, dan tidak menyesal dengan perjuangannya itu, bagaimanapun tidak menerima jikalau "permohonan maaf secara terbuka"dikenakan sebagai syarat untuk pulang ke Malaysia.
Kenyatan ini mencungkil keraguan jikalau dibandingkan dengan wawancaranya bersama Star, yang disiarkan pada 22 November 2009. Transkrip asal wawancara bersama Star yang dikemaskini oleh pembantu Chin Peng diedarkan untuk menjelaskan konteks kenyataan tersebut dikeluarkan.
Menurut transkrip ini, Chin Peng pada ketika itu menyatakan bahawa beliau sudi meminta maaf (apologize) kepada mangsa dan keluarga mangsa, seandainya "PKM dibuktikan benar-benar membunuh mereka yang tidak berdosa secara berniat", maka beliau sanggup meminta maaf secara terbuka.
Latar belakang Chin Peng
Chin Peng dilahirkan pada tahun 1924 di Setiawan, Perak. Beliau menjadi ahli Parti Komunis Malaya pada tahun 1940, dan menyandang jawatan Setiausaha Agung PKM pada Mei 1947 ketika berusia 23 tahun.
Selepas Rundingan Baling pada tahun 1955, Chin Peng hanya muncul di khalayak umum 34 tahun kemudian, iaitu pada 2 Disember 1989, untuk menandatangani Perjanjian Hadyai bersama kerajaan Malaysia.
Sepanjang 20 tahun ini, Chin Peng pernah ditemuramah BBC, dan Sin Chew Daily pada Mac 1998. Menjelang ulang tahun ke-20 Perjanjian Hadyai, Chin Peng kini menjadi tumpuan media, setelah ditemuramah oleh Malaysian Insider dan Star.
"Saya sanggup korban demi tanahairku.."
Pengganas, atau pejuang kemerdekaan? Identiti Chin Peng begitu kontroversial, dilemparkan dengan pelbagai label dan tuduhan dalam buku teks sejarah Malaysia. Ketika ditanya tentang perjuangan bersenjata, Chin Peng menjelaskan bahawa ianya adalah satu-satu pilihan dalam konteks sejarah pada ketika itu.
Daya ingatan Chin Peng semakin lemah. Beliau tidak ingin mengulas dengan panjang lebar apa yang berlaku pada masa silam. Malah, beliau enggan menilai perjuangannya sendiri, sebaliknya menyerah kepada rakyat Malaysia untuk membuat penilaian terhadapnya.
Suara hati Chin Peng mungkin terdengar seandainya dirujuk kepada bukunya, My Side of History, bab ke-32. Chin Peng meluahkan kerinduan dirinya terhadap Setiawan apabila menulis, "aku tidak merintih dan menyesal, meskipun dalam keperitan semasa zaman perjuangan bersenjata, apatah lagi sekarang?..."
"Kedahagaanku untuk kembali ke tanahair telah aku simpankan. Hanya pada waktu kesepian, ianya akan menjelma dalam ingantanku. Aku akan mulai dari Setiawan, semasa zaman kanak-kanak. Selepas bersembahyang di kubur nenek moyang, aku akan menjenguk sekolah asalku. Kemudian, aku akan berjalan di lorong kampungku, mengimbas persahabatan yang terjalin dahulu..."
"Ingatan ini tidak akan meninggalkanku. Lorong, pohon, rumah dan papan tanda, segala-gala ini memberitahu aku, inilah Malaysia, bukannya tempat lain. Aku dahaga untuk kembali ke ribanya..."
Malah, bukunya mencatatkan pertanyaan berikut, "aku sanggup terkorban demi tanahairku. Mengapa tidak membenarkan aku untuk menjenguknya?"
"Selamat tinggal," Chin Peng
Pada akhir wawancara tersebut, Chin Peng diminta untuk mengungkap sepatah bahasa Melayu yang paling ingin disampaikan kepada rakyat Malaysia. Setelah merenung sejenak, "Selamat tinggal" terkeluar dari mulutnya.
Wartawan agak terkejut dengan jawapannya. Untuk Chin Peng, selamat tinggal boleh membawa maksud "hidup dengan baik dan selamat", juga boleh memberi makna "selamat jalan".
Dengan terus-terang, dan sambil ketawa, Chin Peng mengakui bahawa usia dirinya telah lanjut dan bakal kembali ke pangkuan Tuhan tidak lama lagi. Walaupun belum sempat kembali ke riba Setiawan, namun "selamat tinggal" pula yang terpaksa diucapkan.
Dengan kata lain, apakah ini juga sebagai petanda seorang bekas pejuang bersenjata meninggalkan sejarah Malaysia, yang pernah dilakari sebahagiannya oleh dirinya?
Sedutan soal-jawab antara media dengan Chin Peng
No comments:
Post a Comment