Wednesday, November 25, 2009

Pemimpin parti politik wang tiada upaya selesai krisis MCA - Nik Aziz

Harakah daily
KOTA BHARU, 26 Nov: Terlebih sudu dari kuah, mungkin ia dapat menggambarkan peringatan Timbalan Presiden Umno, Tan Sri Muhyiddin Yassin bagi menyelesaikan krisis dalaman MCA yang semakin parah sekarang.

Sedangkan Umno sendiri banyak perkara yang tidak boleh diselesaikan, malah lebih teruk berbanding MCA.

Ini dibuktikan dengan rekod pertembungan sesama pemimpin Umno sehingga membawa kepada pengharaman Umno pada 1987. Ketika itu berlaku perebutan jawatan presiden Umno antara Tun Dr Mahathir Mohamad dan Tengku Razaleigh Hamzah.

Kemudian berlaku lagi pertembungan di antara Dr Mahathir dengan ramai pemimpin Umno lain termasuk Tun Musa Hitam, Datuk Seri Anwar Ibrahim dan Tun Abdullah Ahmad Badawi.

Mursyidul Am PAS, Tuan Guru Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat berkata, pertelingkahan dalaman Umno sehingga membawa kepada pengharaman parti itu tidak pernah berlaku dalam sejarah parti politik di Malaysia.

"Saya hairan tiba-tiba seorang pemimpin dari parti yang begitu tenat dengan masalah politik wang mampu menyelesaikan krisis MCA seperti yang dihasratkan Timbalan Perdana Menteri.
"Bagi saya politik orang Cina lebih ke hadapan dan lebih matang. Macam mana Umno hendak ajar orang Cina berpolitik.

"Apa perasaan orang Cina apabila Umno hendak ajar mereka berpolitik sedangkan rumah guru pun berselerakan," katanya di sini.

Baru-baru ini Muhyiddin mahu diberi tempoh seminggu bagi menyelesaikan krisis dalaman MCA yang semakin tenat sekarang.

Beliau membuat kenyataan itu selepas diberi amanah bagi menyelesaikan kemelut MCA oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak yang kini sibuk ke luar negara.

Ekoran kenyataan Muhyiddin tersebut ramai pemimpin Cina marah kerana memperlihatkan sikap Timbalan Presiden Umno itu seorang yang angkuh dan memperkecil keupayaan pemimpin MCA menyelesaikan masalah mereka.

Tuan Guru Nik Abdul Aziz yang juga Menteri Besar Kelantan berkata, pemimpin politik Melayu Umno hanya masyhur mempertahankan politik wang.

"Rekod pemimpin Umno cemerlang dalam sektor mengutip komisen. Sesetengahnya ada kelulusan sehingga peringkat PhD apabila mendapat kontrak memberi ali baba kepada pihak lain pula," tambahnya.

Beliau juga berkata, sekiranya benar orang Cina mendengar nasihat pemimpin Umno, sudah tentu mereka telah memberi undi besar kepada Umno dan BN pada pilihan raya umum lalu.

Sebelum ini Muhyiddin gagal menyelesaikan krisis Umno Terengganu yang kini terbelah kepada dua kumpulan iaitu Datuk Ahmad Said dan Datuk Seri Idris Jusoh.

No comments:

Post a Comment