Sunday, October 4, 2009

Kes Azeez: Nik Aziz nasihat segerakan berdamai

Oleh Mohd Zuharman

MalaysianInsider

KOTA BHARU, Okt 4 — Sebagaimana dalam pilihan raya kecil Kuala Terengganu, Ketua Putera Umno, Datuk Abdul Azeez Abdul Rahim mendakwa dia dipukul lagi oleh para penyokong PAS.

“Yang saya tahu lebih daripada sembilan orang menyerang saya dan lebih 20 tumbukan saya terima,” kata Azeez sambil mendakwa orang yang menyerangnya terdiri dari orang lelaki memakai baju berlogo PAS.

Laporan menyebut kejadian itu berlaku semasa beliau berada di tengah-tengah kelompok penyokong PAS di luar pusat penamaan calon pada kira-kira jam 9.20 pagi.

Namun bagi MUrsyidul Am PAS, insiden pergaduhan yang dikatakan berlaku di pusat penamaan calon bagi pilihan raya kecil Dun Bagan Pinang melibatkan Abdul Azeez Abdul Rahim, bukan isu politik tetapi isu peribadi.

Sehubungan itu, Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat, menyeru orang ramai supaya lebih bijak mentafsir realiti makna politik dan peribadi di dalam sesuatu kes agar tidak wujud sebarang spekulasi berunsur provokasi antara satu pihak dengan pihak yang lain.

Nik Aziz menegaskan meskipun insiden itu berlaku dalam suasana politik, namun hukuman terhadap perkara yang berlaku itu tidak wajar kalau dikaitkan dengan politik.

“Konteks politik dan peribadi adalah tidak sama. Kita mesti berpandangan jauh bersabit dua perkara ini” katanya ketika mengulas kejadian insiden tersebut selepas merasmikan majlis Penutupan Pesta Air di Pantai Irama Bachok dekat sini malam tadi.

Namun, bagi pengarah pilihan raya PAS Bagan Pinang, Salahuddin yang juga Ahli Parlimen Kubang Kerian melahirkan keraguan tentang kejadian itu kerana beliau sendiri sempat bersemuka dengan Azeez di perkarangan Dewan Majlis Perbandaran Port Dickson (MPPD).

Tambahnya lagi, Azeez juga tidak seperti seorang yang dipukul, jika dilihat sendiri pada keratan sebuah akhbar harian semalam.

Januari lepas, Azeez dilaporkan menuduh penyokong PAS cuba mengkasarinya dalam pilihanraya kecil Kuala Terengganu.

Padahal, Azeez selaku salah seorang ejen yang membawa pengundi hantu di sana sebenarnya cuba meloloskan diri, apabila petugas-petugas PAS mula memburunya.

Salahuddin juga menyifatkan Azeez mempunyai niat yang sama, seperti di Kuala Terengganu dahulu.

Abdul Azeez yang juga selaku ketua Putera Umno semasa hadir ke pusat penamaan calon di Dewan Majlis Perbandaran Port Dickson semalam mendakwa diserang dan dipukul bertubi-tubi oleh penyokong PAS.

Akibat kejadian beliau dilaporkan mengalami kecedaraan tulang serviks kesan daripada serangan tersebut dan membuat laporan polis di balai polis Port Dickson.

Persoalannya, kenapa Azeez boleh berada ditengah-tengah kelompok penyokong PAS? Agak menghairankan pula, di tengah kekalutan serangan berlaku beliau sempat mengira jumlah orang serta tumbukan yang mengenai badannya. Selain daripada kiraan jumlah yang agak besar itu beliau tidak mengalami kecederaan parah. Suatu keanehan!

Sehubungan itu Nik Aziz menasihati mereka terlibat supaya terus berdamai dan tidak melanjutkan perkara tersebut sehingga menimbulkan perasaan dendam yang boleh menyebabkan berlakunya keadaan yang lebih buruk.

Tambah Nik Aziz, lebih-lebih lagi pergaduhan itu berlaku antara sesama bangsa sendiri yang masing-masing mengakui beragama Islam.

Beliau tidak menafikan insiden tersebut boleh mencemarkan imej orang Melayu di samping imej orang Islam itu sendiri.

No comments:

Post a Comment