Saturday, October 24, 2009

Nik Aziz Tetap Mahu Muktamar Khas Walaupun Ada Yang Tolak

Bernama
KOTA BAHARU, 24 Okt (Bernama) -- Mursyidul Am PAS Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat tetap dengan keputusannya meminta pimpinan parti itu mengadakan muktamar agung khas bagi menentukan kedudukan beberapa pemimpin yang menimbulkan masalah dalaman kepada parti berhubung isu kerajaan perpaduan. Katanya beliau tidak kisah walaupun ada negeri yang menolak cadangan itu, kerana apa yang penting hasrat untuk menyampaikan isi hatinya demi menyelamatkan parti, tercapai. "Saya tidak akan menarik balik cadangan itu kerana ia dibuat atas hasrat dan isi hati saya sendiri yang mahu menyelamatkan parti," katanya kepada pemberita selepas merasmikan Masjid Noraini, Kampung Pasir Hor, dekat sini pada hari Sabtu. Turut hadir bekas Menteri Luar, Tengku Ahmad Rithaudden yang membiayai pembinaan masjid berharga RM500,000 di kampung itu. Menteri Besar Kelantan itu berkata demikian ketika ditanya mengenai cadangannya, supaya PAS mengadakan muktamar khas bagi menentukan kedudukan pemimpinnya, ditolak oleh sesetengah pemimpin PAS peringkat negeri atas alasan cadangan itu tidak perlu kerana tidak wujud pergolakan kepimpinan parti itu sama ada di peringkat pusat mahupun negeri ketika ini. Sambil menafikan bahawa cadangan itu dibuat kerana terpengaruh oleh individu tertentu dalam politik, Nik Abdul Aziz berkata beliau sudah matang dalam politik dan tidak perlu mengikut telunjuk mana-mana pihak. Pada majlis yang sama, Naib Presiden PAS, Salehuddin Ayub berkata pimpinan tertinggi PAS akan membincangkan amanat Mursyidul Amnya itu berhubung cadangan mengadakan muktamar khas parti itu dalam masa terdekat ini, selepas mengadakan pertemuan dengan Nik Abdul Aziz.

No comments:

Post a Comment