Wednesday, October 14, 2009

PAS kaji punca kalah di Bagan Pinang

Malaysiakini

Presiden PAS, Datuk Seri Abdul Hadi Awang meminta semua ahli parti itu supaya tidak menuding jari dan menyalahkan sesiapa, sebelum punca sebenar kekalahan PAS dalam pilihanraya kecil DUN Bagan Pinang, dikenalpasti.

Sehubungan itu, katanya, PAS akan melakukan bedah siasat untuk meneliti pelbagai aspek - politik tempatan dan nasional - mengenai punca kekalahan parti itu.

Dalam pilihanraya tersebut, calon BN Tan Sri Isa Samad mengekalkan kerusi tersebut dengan mendapat 8,013 undi, menewaskan calon PAS Zulkefly Mohd Omar yang mendapat 2,578 undi.

Isa menang dengan majoriti 5,435 undi, iaitu lebih dua kali ganda daripada majoriti BN dalam pilihanraya umum lalu (2,333 undi).

BN juga menang di kesemua lapan daerah mengundi, termasuk di Pekan Silliau, Ladang Atherton dan Sua Betong, yang dimenangi PAS pada 2008.

Dalam satu kenyataan hari ini, Abdul Hadi berkata, kepimpinan PAS akan mengambil langkah strategik yang bersesuaian tanpa mengorbankan prinsip perjuangan parti dalam melaksanakan penambahbaikan.

“Dalam suasana keriuhan kegagalan kita memenangi kerusi DUN Bagan Pinang ini, semua ahli PAS diminta bertenang dan tidak keliru dengan status-quo kemenangan BN yang dirayakan oleh mereka.

“PAS menyedari bahawa semua pihak menaruh harapan yang tinggi untuk mengambil kerusi DUN Bagan Pinang dari BN.

“Hakikatnya ialah kita menyertai pilihanraya ini dengan penuh maklumat bahawa ianya merupakan satu tugas yang mencabar dan penuh dengan insiden provokasi oleh pihak lawan,” katanya.

Bagaimanapun, katanya, PAS berterima kasih kepada pengundi yang masih memilih PAS serta petugas parti itu dari segenap pelusuk tanahair yang berkampung di DUN Bagan Pinang.

Abdul Hadi juga mengucap terima kasih orang perseorangan dari pelbagai rumpun bangsa yang datang memberikan tenaga dan sokongan serta semua pihak yang telah berusaha bersama-sama dengan jentera parti dalam berhadapan dengan pilihanraya kecil tersebut.

No comments:

Post a Comment