Saturday, October 31, 2009

Persepsi pun kena urus juga

Oleh: Man Bom
sumber

Tuan Azizi,

Pertama sekali, minta maaf banyak-banyaklah kerana kirim surat ini dekat tuan. Tuan tak minta pun, saya yang terlebih hemoi. Tapi saya nak minta tolong dekat tuan. Saya mohon dekat tuan, tolong siarlah surat ini dalam blog tuan. Biar orang-orang Pas, orang-orang yang sokong Pas yang bukan Melayu, macam Ah Seng dan Muthu pun boleh baca.

Saya nak cakap tentang gambaran orang. Depa kata ‘persepsi’ orang terhadap Pas. Apakah kesan persepsi ini dalam PRU13 nanti.

Mai kita buka kamus sikit. Mengikut Kamus Dewan, edisi keempat, 2005 ‘persepsi’ itu “gambaran atau bayangan dalam hati atau fikiran(tentang sesuatu), pandangan (menerusi pancaindera)”.

Itu persepsi. Mai kita tengok satu-satu...

Siapa pengundi kita

Kalaulah kita tanya seorang rakyat Malaysia itu, “Apa pandangan tuan tentang Pas?” Jawapan yang kita terima mungkin bergantung pada ‘persepsi’ orang itu terhadap Pas. Mungkin ‘persepsi’ ini bergantung pada ‘asal usul’ dia. Apakah orang itu:

i) Seorang penyokong kuat Pas yang tak undi yang lain kecuali Pas. Ada orang kata ini ‘hard core’ Paslah. Ada istilah yang lebih teruk lagi: Sang ‘fanatik’ Pas.

ii) Apakah orang itu ‘hard core’ Umno? Jika kita pakai istilah di atas, yang ini si ‘fanatik’ Umno yang karatnya biru.

Kedua-dua kumpulan yang ini, biasanya orang-orang Melayulah.

Lepas itu, ada juga pengundi kita yang datangnya dari kelompok-kelompok macam:

iii) Adakah orang itu bukan Melayu; Cinakah atau pun Indiakah.

iv) Apakah sumber maklumat orang-orang ini, banyakkah atau sikitkah maklumat yang dia ada: Banyak maklumat, rajin membaca, banyak bergaul dengan orang dll.

v) Adakah orang itu tinggal di bandar atau di luar bandar.

Sebagai pengundi orang-orang ini ada persepsi dia sendiri-sendiri. Kecuali untuk golongan yang ‘hard core’ yang selalunya tak berubah, kelompok-kelompok lain mungkin berubah.

Ada benda lain yang kita kena perhati..

Parti lawan pun makan nasi juga

Bila kita nak masuk PRU13 nanti, apakah mood masa itu? Apakah orang-orang Malaysia masih dok kata ‘undilah siapa pun kecuali Umno/BN?’ Mood ini akan berulang lagikah? Apakah kesan 1 Malaysia dan program-program lain yang Tok Jib nak buat menjelang PRU13 tak memukau pengundi, lebih-lebih lagi yang dok atas pagar?

Strategi untuk menang

i) Adakah kita masih dok harap lawan lemah, supaya kita boleh menang?

ii) Adakah kita Pas ni, di mata rakyat, sudah betul-betul nampak macam parti yang dah bersedia untuk perintah Malaysia? Atau kita masih dok serak parau dengan slogan ‘pemerintahan Islam’ hingga berbuih-buih keluar dari kepala (atau mulut?) ulamak kita?

iii) Adakah kita masih dok raba-raba, tercari-cari apakah yang patut kita buat dulu. Macam sembahyanglah mesti tertib, yang dulu didahulukan. Apakah dia keutamaan yang pengundi kita tuntut?

iv) Atau apakah kita juga, macam Umno juga dok syok betul dengan slogan?

Persepsi terhadap Pas di mana saja, on the ground setelah PRU12

Persepsi pengundi terhadap kita: Pas itu parti yang boleh belot bila-bila masa saja

i) Apakah persepsi yang kita ni (baca: Pemimpin besar Paslah) yang nak belot lepas PRU12 dah betul-betul tak akan belot lagi? Kira semua orang dah betul-betul tak ingat lagilah yang kita ni pernah nak belot? Orang dah lupa? Pengundi bukan Melayu dan bukan Islam pun sudah yakin yang Pas ni baik dan takkan main kayu tiga? Susah tu. Macam mana nak tahu yang orang betul-betul yakin? Kata depa bolehkah ‘damage control’ ala sumpah ‘wa tatak buat lagi’, diterima? Ini kes Mongolia yang buat semua orang tak yakin sampai bila-bila.. Nak buat macam mana? Apakah cukup dengan kata, “Dak, sumpah, abang tak buat, percayalah!!” Itu EGMlah yang kena tengok. Biar cuci macam kata iklan; bersih sebersih-bersihnya. Tak boleh? Tuan Azizi, tak boleh begitu?

ii) Apakah kita yakin yang semua jenis pengundi yang bukan hard core Pas telah yakin, cukup-cukup yakinlah yang Pas boleh ini boleh diharap? Atau adakah kita ni, sama macam Umno tak berdaya nak betul-betul mengaku INILAH masalah besar kita sekarang ni? Pemimpin-pemimpin besar kita, macam pemimpin besar Umno juga ada kisah macam Mongolianya sendiri. Mereka pernah mau main kayu tiga.

iii) Apakah kita yakin yang hard core Pas juga tidak meluat yang amat sangat dengan skandal belot yang menyakitkan hati depa ini?

Pas, macam Umno parti untuk Melayu: Islam hanya sebagai pelaris jualan saja

“Pas for all” atau “Pas untuk semua” tak banyak berbeza dengan 1Malaysia atau Islam Hadhari. Ini gimik jualan murah musim raya. Tak betul? Serangan Pas terhadap beer, dok bisu masa tragedi kepala lembu dll contoh perangai kita. Itu belum lagi masuk gian kita dok ligan konsert maksiat. Ah Chong dan Muthu pun dok pening. Awat tak ligan Khir?

Penutup

Tuan

Rasanya ada yang marah dengan tulisan ini. Mungkin ramai yang tuduh tuan ni agen Umno kerana siar tulisan ini di blog tuan. Saya, depa kata pecacai busuk Umno yang dibayar untuk buat fitnah.

Saya rasa para pemimpin kita, pemimpin besar Pas, sebagai ulamak tentu lebih mengetahui. Depa tau, sebab depa ulamak... (Tak boleh diteruskan, nanti dicap menghina..itu dan ini.)

Tuan tahu, apa dia tragedi kita? Kita, sama macam Umno tak terupaya nak urus pandangan yang tak sama. Kita kutuk orang yang tak setuju dengan kita. Saya mengarut? Tak apalah kalau tuan tak setuju. Biarlah kita berbeza pandangan. Saya juga tidak berbeza, sama seperti Umno? Ya, tuan mungkin juga betul. Saya manusia biasa yang makan nasi macam orang-orang Umno, dan tentulah saya bukanlah ulamak.

Tuan,

Tuan tak payah pergi jauh-jauh, tuan tengok gaya pengurusan kita.... termasuk yang ulamak. Tengok macam mana kemelut yang akhir-akhir itu diurus. Ada tikar, ada sampah. Biarlah tuan marah, bagi saya Pas ini tak banyak beza dengan Umno/BN yang selalu tergila-gila nak tubuh jawatankuasa bila ada masalah.

Agak-agak berapa juta jawatankuasa yang dah kita tubuh, sejak merdeka? Pas nak jadi macam tu?

Semua ini fitnah jahat yang dikutuk Tuhan? Nah, itulah sebabnya kita, Pas mesti belajar mengurus: Termasuk nak urus persepsi pengundi untuk PRU13 nanti.
Tak perlu? Lambat lagi?

Itulah sikit pandangan. Terima kasihlah kerana bagi laluan. Lepas ni tuan terimalah peluru depa-depa yang mengamuk!! Ha..haa..

Salam tuan,

Daripada:
Man Bom


Komen:

Saudara Mat Bom,

Rasa berat nak siarkan tulisan anda. Tetapi apabila saya membaca dengan teliti, ada baiknya juga, lebih-lebih lagi jika ini dibaca oleh pemimpin Pas yang kita sayangi. Saya juga sayangi Pas tetapi takkan tidak ada cacat pula.

Salam, azizi abdullah

No comments:

Post a Comment